Cara Islam Menangani Hak Asasi Manusia

CARA ISLAM MENANGANI HAK ASASI MANUSIA
Masyarakat celaru penuhi keinginan

Berita Harian – Jan 2019

Kebelakangan ini, terdapat banyak suara dan gerakan yang memperjuangkan hak asasi. Namun, seringkali hak yang diperjuangkan itu dipertikaikan kerana ia bukanlah hak yang disepakati kerana ia adalah keinginan sahaja. Memang dalam menentukan hak ini, manusia seringkali mengalami kekeliruan kerana ada mereka yang menyangka ia adalah hak, tetapi sebenarnya ia hanyalah keinginan sahaja. Ada yang keliru untuk membezakan antara hak asasi dan keinginan. Dalam masa yang sama, ada pula yang menjadikan hak asasi itu sebagai topeng untuk memperjuangkan keinginan yang akhirnya membawa kecelaruan kepada masyarakat.

Sebagai contoh, ada dakwaan yang mengatakan bahawa berjudi itu adalah hak untuk berhibur, minum arak itu adalah hak untuk mencapai ketenangan, berzina itu adalah hak untuk mendapat kepuasan, menukar jantina itu adalah hak untuk menikmati rasa jati diri, dan membuka aurat itu adalah hak untuk berhias

Semua di atas ini bukanlah hak seperti yang disangka, tetapi ia hanyalah keinginan dan hawa nafsu manusia. Jika dituruti semua tuntutan nafsu dan seluruh selera manusia, maka pastinya ia akan membawa kerosakan kepada masyarakat.

Hak merupakan perkara yang perlu dan patut diperoleh oleh seseorang manusia untuk membolehkannya hidup dalam keadaan yang sempurna. Contohnya hak isteri, hak anak, hak pelajar, hak pekerja dan hak rakyat. Tanpa mendapat hak yang sepatutnya, manusia akan hidup susah atau tidak mendapat kesejahteraan dalam kehidupan.

*Tidak ganggu orang lain*

Kita mungkin ada mendengar alasan dari kaki judi yang mendakwa bahawa “apa salahnya berjudi kerana dia tidak menganggu orang lain”. Begitu juga dengan dakwaan dari penzina “apa salahnya mereka berzina kerana suka sama suka”. Mereka mendakwa itu adalah hak mereka, lagi pun mereka tidak mengganggu orang lain dan perbuatan itu dilakukan secara suka sama suka.

Itu adalah sebahagian daripada dialog yang menggambarkan salah satu bentuk pemikiran liberal yang berasaskan kepada hak asasi. Perbuatan yang dianggap tidak menganggu orang lain itu sebenarnya dilarang dalam agama. Alasan ini tidak boleh digunakan, kerana ia mungkin tidak menganggu orang lain tetapi ia melanggar hak Allah.

Sebenarnya, mereka tidak mahu sebarang peraturan dan undang-undang yang berasaskan kepada agama, kerana agama bagi mereka alam ghaib yang tidak realistik. Mereka tidak boleh menerima alasan dosa dan pahala, syurga dan neraka. Hanya alasan yang mengikut logik akal sahaja diterima.

Pemikiran yang berteraskan kebebasan dan hak asasi ini berasaskan kepada rasional dan logik akal semata-mata. Dikhuatiri hak asasi dijadikan sebagai topeng untuk mendapatkan kebebasan atau sesuatu keinginan mereka. Tiada cara lain yang dapat menyelesaikan kekeliruan dan konflik antara keinginan dan hak ini melainkan dengan panduan wahyu kerana ketetapan wahyu ketuhanan itu bersifat universal.

*Pendekatan Islam*

Telah terbukti bahawa kedatangan Islam telah berjaya membebaskan wanita dari diperhambakan dan menyelamatkan rakyat marhain dari ditindas. Kalau ikutkan, Rasulullah boleh diangkat sebagai pejuang hak asasi. Tetapi Rasulullah bukanlah sebagai pejuang hak asasi, tetapi baginda berdakwah ialah dengan mengajak manusia beriman dengan Allah dan meninggalkan segala kemungkaran. Baginda menekankan tentang tanggungjawab yang diabaikan terutamanya tanggungjawab dengan Allah dan menghapuskan perhambaan kepada nafsu dan kepada manusia. Hasil dari usaha dakwah baginda, suatu masyarakat yang terbaik dapat dihasilkan.

Cara Islam menangani tuntutan hak asasi ialah dengan cara menekankan tentang tanggung jawab dan mengajak manusia beriman kepada Allah. Sekiranya semua tanggung jawab berjalan dengan baik, maka segala hak yang perlu diperoleh oleh manusia akan dipenuhi. Di mana ada hak, di situ ada tanggung jawab. Keduanya saling bergandingan dan tidak boleh dilupakan salah satu dari keduanya. Namun Islam memilih untuk menekankan tentang tanggung jawab kerana kalau ikutkan keinginan manusia, selera hawa nafsu mereka tidak akan berkesudahan.

Islam merupakan agama yang menyediakan aturan kehidupan yang mengurus kemahuan dan keinginan manusia sesuai dengan fitrah mereka. Sebagai contoh, Islam telah menetapkan hukum nikah kahwin, nafkah dan cerai untuk mengatur keinginan dan keperluan manusia kepada hubungan jenis. Islam tidak membenarkan perzinaan secara suka sama suka tanpa nikah apatah lagi dengan paksaan atau perkosa. Ini adalah cara Islam menguruskan keinginan manusia iaitu dengan menekankan tentang tanggung jawab.

Keistimewaan Islam ialah apabila ia mempunyai wahyu dari Allah untuk manusia. Islam menyediakan peraturan yang cukup baik kepada manusia untuk mereka mengenal pasti hak asasi yang sebenarnya kepada manusia dan memberikan kebebasan yang tidak mutlak kepada manusia untuk melampiaskan semua keinginan. Undang-undang Islam yang berteraskan kepada wahyu yang bersifat “dari atas ke bawah” boleh menyelesaikan kekeliruan manusia untuk membezakan antara hak asasi dan keinginan. Kalau diberikan sepenuhnya kepada manusia bagi menentukan semua itu, manusia akan terus berada di dalam kegelapan kerana manusia biasanya akan mementingkan dirinya sendiri berbanding dengan orang lain.

Walau bagaimanapun, tidak dinafikan ada sebahagian dakwaan dari kumpulan hak asasi ini berasas kerana ada orang yang mengabaikan tanggung jawab. Namun ada sebahagian pula yang memperjuangkan keinginan atas nama hak asasi.

*Lima tujuan perundangan Islam*

Agama merupakan sumber hukum yang menjelaskan tentang tanggung jawab yang perlu dipikul oleh manusia. Melaksanakan tuntutan agama bermaksud melaksanakan segala tanggungjawab. Sekiranya semua manusia menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik, seluruh hak manusia akan dipenuhi. Ia boleh dicapai kerana Islam mempunyai matlamat perundangannya yang menjaga lima kepentingan manusia.

Menjaga agama, menjaga nyawa, menjaga akal, menjaga harta dan menjaga keturunan. Semua hukum dan perundangan Islam bertujuan untuk menjaga lima perkara ini. Setiap satunya berbeza dengan barat dari sudut cara untuk menjaganya. Sebagai contoh, Islam mengharamkan perzinaan walaupun suka sama suka, tetapi barat membolehkannya. Islam mengharamkan arak, kerana ia memabukkan dan boleh merosakkan fungsi akal tetapi barat membolehkannya. Malahan Islam menjadikannya sebagai ibu maksiat.

Sifat perundangan Islam yang berteraskan kepada wahyu dan mungkin ada yang tidak sesuai mengikut selera manusia. Allah lebih tahu tentang manusia kerana dia adalah tuhan yang menjadikan manusia. Pepatah pun ada menyebutkan “Kalau ikut rasa, akan binasa. Kalau ikut hati, akan mati”. Ini menggambarkan bahawa selera manusia tidak boleh untuk dituruti sepenuhnya. Namun, ada manusia yang liberal mengatakan bahawa “kami tidak ganggu orang lain”. Dia mungkin buat-buat lupa bahawa dia melanggar hak Allah SWT.

*Iblis engkar perintah Allah*

Dalam meneliti kecelaruan manusia untuk mengenali antara hak dan nafsu keinginan, mereka memerlukan bimbingan dan panduan dari Allah. Manusia tidak mampu untuk membezakan antara keduanya kerana manusia sering mementingkan dirinya sendiri berbanding orang lain. Oleh kerana Allah merupakan pencipta manusia, Allah mengetahui sifat semula jadi kejadian manusia, Allah juga tahu meletakkan dengan sempurna antara hak dan keinginan manusia.

Cukuplah kita mengambil pengajaran dari kisah Iblis yang diabadikan di dalam al-Quran apabila Allah memerintahkannya sujud pada Adam. Iblis telah membangkang perintah ini kerana baginya tidak logikkejadian yang hebat diperintahkan untuk sujud kepada Adamyang lebih lemah ciptaannya. Dia gagal untuk membezakan antara hak dan kemahuan serta keegoannya, akhirnya ia tergolong di kalangan orang yang kafir.

Kita pelru menghayati tuntutan agama dengan baik. Ia merupakan tanggung jawab kita bersama. Namun, cabarannya ialah tanggung jawab merupakan sesuatu yang berat kerana ia adalah tugas yang perlu digalas dan dilaksanakan. Manakala hak asasi bersifat keinginan yang memang digemari oleh manusia. Oleh itu, marilah sama-sama kita menyempurnakan tanggung jawab yang diabaikan dan melaksanakan tanggung jawab yang ditinggalkan. Mudahan masyarakat akan jadi baik.

Dr. Muhamad Faisal Ashaari
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengajian Islam, UKM
4 Jan 2019

CARA ISLAM MENANGANI HAK ASASI MANUSIAMasyarakat celaru penuhi keinginanBerita Harian 4 Januari 2019Kebelakangan…

Posted by Dr. Muhamad Faisal on Khamis, 3 Januari 2019

Previous article

Intergriti Tabung Haji

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

66 + = seventy four