Usah Kaitkan Kesalahan Individu Dengan Institusi Tahfiz – Mufti Wilayah

Beliau berkata, spekulasi hanya akan menimbulkan polemik yang lebih besar dan semua pihak diminta untuk menunggu keputusan yang bakal dikeluarkan oleh mahkamah.

Katanya, institusi tahfiz sewajarnya dihormati dan kesalahan individu tidak wajar dikaitkan dengan institusi berkenaan.

“Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) sejak daripada dahulu sentiasa konsisten menentang sebarang bentuk manipulasi, penderaan, ketidakadilan dan penindasan kepada kanak-kanak.

“Bagaimanapun, institusi tahfiz sewajarnya dihormati dan kesalahan individu tidak wajar dikaitkan dengan institusi berkenaan sebagaimana pepatah Melayu, ‘Marahkan nyamuk, kelambu dibakar’.

“Membina persepsi dan spekulasi terhadap institusi berkenaan hanya menyuburkan bibit Islamofobia yang sepatutnya tidak berlaku di negara umat Islam berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Zulkifli berkata, pihaknya berharap semua pihak dapat menggunakan kebijaksanaan akal dan ilmu bagi mendepani isu seperti ini supaya tidak terpandu oleh emosi yang mengatasi simpati dan empati.

Tegas beliau, keadilan adalah selama-lamanya tunjang yang utuh dalam Islam walaupun terhadap individu yang dibenci.

“Firman Allah SWT, dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. (Surah al-Ma’idah: 8).

“Sejujurnya kita akui bahawa institusi tahfiz seperti mana-mana institusi pendidikan yang lain, ada kelemahan yang perlu diperbaiki. Kami amat menyayangi para guru, pentadbir dan pelajar-pelajarnya.

“Kita letakkan sepenuh kepercayaan kepada mahkamah. Semoga mendung ini bakal berlalu dan menghadirkan sinar kecemerlangan buat institusi tahfiz di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, sudah sampai masa untuk mempertimbangkan beberapa cadangan bagi memperkemaskan urus tadbir institusi pendidikan tahfiz negara.

“Antaranya, Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) hendaklah terus diperkasakan dan pemantauan berkala urus tadbir dan kebajikan pelajar Ma’ahad Tahfiz di setiap kawasan dijalankan oleh Ahli Parlimen kawasan.

“Selain itu, cadangan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Fuziah Salleh, bagi pendaftaran Ma’ahad Tahfiz (yang tidak berdaftar) adalah satu cadangan yang wajar dipandang serius,” katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/09/477415/usah-kaitkan-kesalahan-individu-dengan-institusi-tahfiz-mufti-wilayah

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

seventy nine − = 73