Tuan Guru Dr Haron Din Dalam Kenangan Kolektif kita semua

Tuan Guru Dr Haron Din Dalam Kenangan Kolektif kita semua
Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Sidang Muktamar kali ke 64 berhenti seketika untuk membaca surah alfatihah , manakala sebahagian terus mendoakan almarhum dimana saat para amilin PAS berhimpun di Stadium Tertutup Gong Badak kali ini, telah dua tahun pemergian mantan Mursyidul Am PAS ketiga, Dr Haron Din. Terasa sayu dan basah relung hati kami semua, seolah almarhum masih berada diatas pentas utama, dengan senyum khas almarhum yang mengunyah pandangan-pandangan para perwakilan. Jarang almarhum menguzurkan diri pada setiap sidang muktamar berlangsung,kadang beliau mencatat, kadang menatap pandangan jauh kearah khalayak.

” Riduan, anta ni, jubah hitam …tak tukar warna lain ka?”, beliau bergurau dan aku hanya senyum. Takzim. Sosok ini menuturkan nasihat di akhir hujung sesi muktamar, juga berdoa pada sesi perasmian muktamar PAS. Wajah bening dengan guratan bersih rapi itu meluncurkan kalimah-kalimah penuh mutiara berharga.

Tokoh sarjana muslim ini bukan sahaja mencanai intelektualnya dengan puluhan buku dan ratusan kerta kerja di menara gading,namun menyumbang kepakarannya untuk masyarakat umum negara ini. Namanya mengharum dalam perubatan Islam, bukan sekadar beliau mengubati masyarakat yang sakit daripada sudut akidah tetapi melahirkan jumlah yang besar pengamal perubatan Islam dengan tertubuhnya Darul Shifa’ di Bangi. Darul Shifa’ juga mempunyai jaringannya diseluruh negara, berbakti pada masyarakat.

Minat murabbi ini kepada pendidikan Islam tak mampu diremehkan, kerana usaha jihad ta’lim telah berakar dalam jiwanya. Beliau menjadi banyak penasihat kepada institusi pendidikan dan dakwah, antaranya Pusat Dakwah Serantau yang banyak melahirkan para daie dan menebarkan dakwah di kawasan pedalaman. Tuan Guru juga dalam keadaan uzur, masih lagi berulang ke Perlis, negeri kelahirannya untuk menyampaikan kuliah, antaranya di MATIN. Jiwanya segar apabila menyampaikan ilmu kerana itulah cinta dan citranya dalam kehidupan. Memberikan ilmu seolah therapi baginya dan tak banyak memberi alasan bila diajak menyumbangkan ilmu kepada masyarakat. Jika beliau tak hadir dalam majlis ilmu yang dirancangkan, bermakna beliau sakit yang tenat atau dalam pemerhatian doktor.

Dr Haron Din antara tokoh PAS yang dibenci oleh kelompok politikus liberal pragmatis kerana ketegasan beliau mempertahankan prinsip perjuangan Islam. Beliau dicaci dan dinista, namun ini tidak menjadi kudis buta kepada semangat beliau untuk membahterai perjuangan Islam ini. Walaupun telah kembalj kerahmatullah, musuh masih lagi menfitnah sosok ini. Sebagai Mursyidul Am, beliau mengambil tindakan bersama Majlis Syura dalam menentukan PAS tidak menjadi perkakas politik kepada musuh Islam untuk memanipulasi kekuatan jentera PAS. Memutuskan hubungan dengan rakan pemuafakatan politik yang tidak menghormati prinsip Islam mungkin pahit kepada pemimpi Putrajaya,namun itulah rakaman sejarah yang berlaku semasa Dr Haron memimpin Majlis Syura Ulama.

Sikap pemurah beliau diketahui umum, membantu pembinaan kompleks tarbiah, sekolah agama, masjid serta pelbagai institusi Islam di negara ini. Masyarakat umum menghormatinya melepasi garisan sempadan politik kepartian, beliau dianggap milik ummat Islam. Kitab tulisannya bertebaran dan digunakan sebagai teks pengajian, termasuk oleh PDRM.

Penulis teringatkan sosok maestro dakwah ini dalam mengobarkan api semangat, beliau hadir ke daerah Besut dalam bulan Mac 2016 untuk merasmikan kompleks Dakwah Malaysia ( KODIM) yang diusahakan oleh Ustaz Dr Nik Zawawi. Murabbi ini berucap lebih sejam diatas mimbar masjid, guratan wajahnya gembira serta energinya kelihatan seperti masih muda. Beliau juga merasmikan majlis pecah tanah kompleks Pendidikan an Nur Besut yang penulis usahakan, dalam keadaan agak penat beliau tidak menghampakan. Mendoakan supaya diberkati segala usaha mengajak manusia untuk hidup bertuhan serta dimudahkan segala gerakerja membina mercutanda pendidikan di daerah agrarian itu. Kompleks pendidikan itu kini telah digunakan oleh masyarakat dengan pelbagai program, pelajar-pelajar menghafal al Quran dan masjid Siti Khadijah digunakan untuk solat berjemaah.

Masa berlari pantas meninggalkan kita , Hari ini kita telah dua tahun kehilangan murabbi ummah dengan segunung kebaktian di medan amal Islami. Penulis merasakan wajar mana- mana institusi masyarakat seperti kolej, sekolah,masjid, hospital wakaf diabadikan nama almarhum. Beliau sangat inspiratif , menyemangati semangat zaman.

Negara kita bersedih kerana almarhum adalah milik semua orang, menyantuni orang susah, merawat yang sakit, mencerdaskan akal ummat. Terbayang senyuman manis dan doanya yang lirih serta taujihatnya yang menunjal-nunjal lubuk hati dan akal kita. Bersemadilah wahai sang murabbi, kami semua menjadi saksi akan kebaktianmu, kebaikanmu, juga dedikasimu di jalan juang ini.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

three + 6 =