Khutbah Jumaat: Jangan Ulangi Perangai Bani Israel


KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS 

JANGAN ULANGI PERANGAI BANI ISRAIL

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُۥ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْمَبْعُوْثُ رَحْمَةً لِلْعَالَمِيْنَ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ الرَّحْمَة وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَلَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa. Maka demi sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita mengambil iktibar dan pengajaran daripada firman Allah Ta’ala:

يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ اذْكُرُوا نِعْمَتِيَ الَّتِي أَنْعَمْتُ عَلَيْكُمْ وَأَوْفُوا بِعَهْدِي أُوفِ بِعَهْدِكُمْ وَإِيَّايَ فَارْهَبُونِ ﴿٤٠﴾ [سورة البقرة : ٤٠]

(Maksudnya): Wahai Bani Israil, ingatlah akan nikmat-Ku yang telah Aku anugerahkan kepadamu, dan penuhilah janjimu kepada-Ku, nescaya Aku penuhi janji-Ku kepadamu; dan hanya kepada-Ku lah kamu harus takut (tunduk).

Allah s.w.t mewahyukan ayat ini di Madinatul Munawwarah ketika Nabi s.a.w membenarkan orang-orang yahudi Bani Israil menjadi rakyat dalam negara Islam yang didirikan dengan tidak memaksa mereka masuk Islam. Mereka diberi peluang untuk berfikir, mendengar ayat-ayat Al-Quran yang diwahyukan dan melihat hukum-hukum Islam yang diamalkan oleh umat Islam melalui pimpinan Rasulullah s.a.w.

Bani Israil adalah anak-anak cucu zuriat Israil iaitu Nabi Yaakub bin Ishak bin Ibrahim ‘alaihimus sholatuwas salam daripada keturunan nabi-nabi yang mulia di sisi Allah s.w.t.

Ayat ini dibaca oleh mereka, bagaimana menunjukkan benarnya Nabi s.a.w sebagaimana benarnya nabi-nabi Bani Israil. Mudah-mudahan mereka masuk Islam. Bahkan kedatangan Nabi Muhammad s.a.w diberitahu oleh nabi-nabi Bani Israil, disebut di dalam kitab Taurat dan Injil, kitab yang benar dan rasul-rasul yang benar.

Mereka dikurniakan nikmat oleh Allah s.w.t. Dikisahkan di dalam Al-Quranul Karim bagaimana mereka diselamatkan dan diberi kemenangan oleh Allah s.w.t secara mukjizat, ditenggelamkan Firaun dan bala tenteranya yang menzalimi Bani Israil.

Generasi pada masa itu melihat dengan mata mereka sendiri dan generasi yang kemudian dalam kalangan Bani Israil mengetahui cerita itu dengan benarnya. Malangnya mereka menjadi umat yang paling jahat dan paling ingkar. Kitab-kitab Allah s.w.t dikufurkan, kalangan nabi-nabi dan rasul-rasul dibunuhnya. Padahal mereka diminta perjanjian oleh nabi-nabi di zaman masing-masing supaya apabila mereka sempat dengan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w mereka hendaklah beriman, mengikut, menolong dan berjuang bersama dengan nabi itu bagi menegakkan Islam.

Malangnya mereka menjadi bangsa yang dilaknat oleh Allah s.w.t. Mereka mempermainkan nabi-nabi dan rasul-rasul, membunuh nabi-nabi dan rasul-rasul, serta mempermainkan kitab Allah yang diwahyukan kepada mereka.

Tujuan Allah s.w.t memaparkan kisah ini di dalam Al-Quranul Karim supaya diambil iktibar oleh umat Islam. Para ulamak menyatakan:

الْعِبْرةُ بِعُمُومِ اللَّفْظِ لَا بِخُصُوصِ السَّبَبِ

(Maksudnya): Pengajaran diambil daripada lafaz yang umum, bukan sebab yang khusus.

Adalah menjadi kewajipan kepada umat Islam tidak mengulangi perangai kaum Bani Israil yang meninggalkan kitab Allah s.w.t, menentang Rasulullah, menentang mereka yang mempusakai ajaran yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. Sekiranya Bani Israil yang nyata keturunan nabi-nabi dan rasul-rasul tetapi baka dan keturunan tidak memberi apa-apa faedah. Kitab yang diberi kepada mereka tidak memberi apa-apa faedah. Mereka dilaknat oleh Allah s.w.t serta menerima kecelakaan di dunia dan kecelakaan di hari akhirat.

Begitulah juga kita umat Islam sekiranya kita mengikut perangai Bani Israil, meninggalkan ajaran petunjuk yang terkandung di dalam kitab suci Al-Quranul Karim. Marilah kita menjadikan kisah ini sebagai iktibar kepada kita.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ.
وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ﴿٣﴾

(Maksudnya): Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ االْغَفُورُ الرَّحِيمُ.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

50 + = fifty four