Komunis Juga Penjajah

KOMUNIS JUGA PENJAJAH


Saya tertarik kepada polemik berkenaan adakah kumpulan komunis itu juga pejuang kemerdekaan yang perlu disenaraikan dalam perjuangan menentang penjajah dahulu?

Sebelum menghukum hendaklah dibaca dan dikaji sejarah dan kefahamannya. Kalangan ilmuan pengkaji sejarah bersepakat bahawa teori komunis adalah ijtihad manusia Yahudi German bernama Karl Marx. Dia bukan Melayu, bukan Cina, bukan India dan bukan juga dari kalangan penduduk asal di hutan rimba tanah air kita.

Teorinya yang ekstrem membela rakyat marhaen yang miskin sehingga menasionalisasikan (merampas dan memilik negarakan harta) sangat menarik pemikiran ramai rakyat Asia yang tertindas. Namun mereka terlepas pandang teorinya yang menolak adanya Tuhan yang dipercayai oleh semua agama, lebih-lebih lagi agama Islam yang lengkap pengajarannya melibatkan ekonomi, politik dan seluruh aspek kehidupan manusia sejagat. Maka Islam menjadi musuhnya paling ketat. Bahkan ramai daripada kalangan ilmuan dan pemimpin Barat menganggap Islam lebih bahaya daripada komunis, walaupun mereka juga berperang menentang komunis sehingga hari ini.

Walaupun komunis itu tidak membawa bala tenteranya seperti negara Barat yang menjajah kita, tetapi fahamannya menjajah pemikiran rakyat pelbagai kaum yang direkrut menjadi bala tenteranya. Memang mereka juga menentang penjajah Barat, tetapi mereka juga adalah bala tentera penjajah pemikiran komunis, di mana bahayanya lebih besar dari bala tentera penjajah Barat yang berkulit putih itu. Ini kerana fahaman komunis itu membunuh akidah secara ekstrem. Adapun penjajah Barat secara lebih terang-terangan dapat dilihat wajahnya.

Di sinilah saya memahami mengapa pemimpin generasi awal daripada PAS seperti Almarhum Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan lain-lain yang menentang penjajah British tidak bersama komunis ke dalam hutan. Bahkan mereka juga menyokong ISA kerana menentang komunis, bukannya menangkap ikut suka hati.

Kita juga membaca bagaimana tanah air umat Islam yang dijajah oleh komunis itu menerima akibat yang lebih dahsyat daripada penjajah Barat, di mana kesannya masih nyata pada hari ini. Walaupun ideologi komunis telah dikuburkan oleh penganutnya sendiri.

Saya dapati ijtihad pemimpin kita yang sama-sama menentang penjajah Barat, tiba-tiba menentang komunis adalah tepat kerana menentang musuh yang lebih berbahaya hendaklah diutamakan. Inilah petunjuk Allah kepada Rasulullah S.A.W dalam menghadapi percaturan antarabangsa pada zamannya di antara Rom dan Parsi yang menjadi sebab turun Surah Ar-Rum yang bermula dengan firman Allah:

غُلِبَتِ الرُّومُ (2) فِي أَدْنَى الْأَرْضِ وَهُم مِّن بَعْدِ غَلَبِهِمْ سَيَغْلِبُونَ (3) فِي بِضْعِ سِنِينَ لِلَّهِ الْأَمْرُ مِن قَبْلُ وَمِن بَعْدُ وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ (4) بِنَصْرِ اللَّهِ يَنصُرُ مَن يَشَاءُ وَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ (5)

”Orang-orang Rom telah dikalahkan. (2); Di negeri yang dekat sekali dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya. (3); Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira. (4); Dengan kemenangan yang diberi Allah. Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dialah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani. (5)”. (Surah Ar-Rum: 2-5)

Allah mewahyukan ayat-ayat ini apabila Rasulullah S.A.W dan para sahabatnya berdukacita Rom dikalahkan oleh Parsi, walaupun kedua-dua kuasa besar itu bermusuh terhadap Islam, tetapi Parsi yang beragama Majusi lebih besar bahaya daripada Rom. Al-Quran adalah petunjuk kepada umat Islam dalam segala aspek.

Maka kita mengharapkan mereka yang menjadi mangsa kekejaman komunis itu mendapat kelebihan para syuhada’ kerana menentang musuh Islam yang lebih besar dan mereka yang berpihak kepada komunis itu diampunkan dosa kerana kejahilannya. Inilah dia Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

”Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Naib Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia

Bertarikh: 24 Zulkaedah 1439 / 6 Ogos 2018

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

+ eighty one = 86