Perutusan Sempena Hari Raya Aidilfitri 1439H

PERUTUSAN NAIB PRESIDEN KESATUAN ULAMAK ISLAM SEDUNIA SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI 1439H

Hari Raya Aidilfitri adalah hari bergembira bagi setiap umat Islam setelah selesai menunaikan ibadat puasa selama sebulan yang menjadi salah satu Rukun Islam.

Hari Raya bukan sekadar memakai pakaian baru dan menyediakan hidangan juadah makanan serta kuih muih, malah kita juga disuruh memperbaharui iman dan pegangan kepada Islam dengan mencapai sifat-sifat taqwa sebagaimana tujuan disyariatkan berpuasa untuk menjadi orang bertaqwa.

Maka pada Hari Raya ini, kita hendaklah melakukan amalan-amalan yang soleh seperti bersedekah dan berjamu dalam keadaan sangat gembira, beristighfar kepada Allah, serta bermaaf-maafan di antara satu sama lain sehingga merapatkan hubungan silaturrahim dan persahabatan.

Hari Raya juga kita bertakbir bagi menyatakan kesyukuran kerana mendapat hidayah petunjuk menjadi penganut agama Islam. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 185:

وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (185(

“Supaya kamu memperbesarkan Allah kerana mendapat petunjuk dan supaya kamu bersyukur”

Akhirnya, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam walau di mana jua anda berada.

Marilah kita bergembira dengan mengharapkan rahmat dan keampunan Allah, serta dikurniakan keselamatan daripada api neraka kerana kehidupan kita bersambung selepas kematian dan akhirnya kekal berada di alam akhirat. Berhati-hati memandu di jalan raya, utamakan keselamatan dan patuhi undang-undang. Semoga selamat sampai ke destinasi.

ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR!

ABDUL HADI AWANG
Naib Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

79 + = eighty four