Tamatnya Kepungan Di Selestriya : Russia Gagal Kalahkan Othmaniyah Dalam Perang Crimea

 

TAMATNYA KEPUNGAN DI SELESTRIYA: RUSSIA GAGAL KALAHKAN OTHMANIYAH DALAM PERANG CRIMEA (23 RAMADHAN 1270)

PERSAINGAN pengaruh dua mazhab Kristian – Orthodoks dan Katholik – telah mempertembungkan kuasa-kuasa besar dunia pada pertengahan abad ke-19M, yang dikenali sebagai Perang Crimea atau Perang Timur (Oriental War). Perang yang tercetus di Semenanjung Crimea dan Laut Baltik ini disebut oleh British sebagai Perang Russia yang tercetus antara 1853M hingga 1856M. Ia melibatkan Empayar Russia di satu pihak dengan Daulah Othmaniyah, Perancis, Britain dan Sardinia di satu pihak yang lain. Perang ini dianggap permulaan bagi perang moden yang mempengaruhi bentuk perperangan masa depan, di mana teknik perang telah berubah melalui penggunaan keretapi dan telegraf untuk komunikasi, sistem perawatan tentera dan juga dokumentasi foto secara meluas. Russia yang menggerakan lebih 800,000 tentera telah bertempur dengan gabugan 600,000 tentera lawannya, termasuk 165,000 tentera Daulah Othmaniyah.

Perang ini tercetus akibat kudeta politik di Perancis oleh Napoleon III (1852-1870M) pada akhir 1851M. Napoleon III telah menuntut kepada Daulah Othmaniyah supaya Perancis diiktiraf sebagai penguasa berdaulat ke atas Tanah Suci (Baitul Maqdis) bagi penganut Kristian, sedangkan sebelumnya Russia adalah penguasa berdaulat melalui Perjanjian 1757M dan 1774M. Tindakan Daulah Othmaniyah mengakui kedaulatan Russia sebagai pelindung orang Kristian dalam wilayah Othmaniyah telah menyebabkan Perancis menghantar kapal perang ke Laut Hitam. Selain berdiplomasi dan mengenakan tekanan kewangan, kedatangan kapal perang Charlemagne Perancis telah memaksa Sultan Abdul Majid I menerima penjanjian yang mengiktiraf penguasaan Gareja Katholik Rom ke atas tanah suci, menggantikan Gareja Orthodoks Yunani.

Persaingan Pengaruh Mazhab Kristian Mengundang Perang

Berang dengan tindakan Napolean III, raja Russia, Tsar Nicholas I telah mengirimkan dua batalion tentera di sepanjang Sungai Danube, di samping menghantar menteri luarnya, Count Karl Nasselrode berundingan dengan Sultan Abdul Majid I, sebelum membawa hal yang sama kepada duta Britain di St Petersburg, George Hamilton Seymour. Pergolakan telah melibatkan tiga mazhab utama Kristian iaitu Orthodoks (Russia), Katholik (Perancis) dan Protestant (Britain) dalam menentukan siapakah penguasa berdaulat Kristian di tanah suci yang dikuasai oleh Daulah Othmaniyah itu. Russia mempertahankan hak tradisi mereka yang diwarisi sejak zaman Rom Timur, yang dikini telah diserahkan kepada Perancis melalui tekanan politik.

Britain yang cuba menjadi orang tengah dalam menyelesaikan masalah ini, gagal berbuat apa-apa apabila Daulah Othmaniyah menuntut pindaan kepada pelan perdamaian Britain, yang kemudiannya menimbulkan kemarahan Nicholas I. Dengan sokongan Britain dan Perancis, Daulah Othmaniyah mengisytiharkan perang terhadap Russia pada Oktober 1853M. Sebenar perang telah tercetus di Balkan (Romania sekarang) pada Julai 1853M apabila tentera Russia menduduki sepanjang Sungai Danube. Perang meletus secara rasmi pada 16 Oktober 1853M dan berakhir pada 30 Mac 1856, dengan melibatkan kawasan Balkan, Semenanjung Crimea, Laut Baltik, Laut Hitam dan Caucacus.

Pengepungan Russia Gagal: Perjanjian Paris Sebagai Penyelesaian

Kemarahan Russia terhadap Daulah Othmaniyah semakin memuncak sebaik sahaja perang meletus di lembangan Danube, yang merupakan wilayah naungan Daulah Othmaniyah. Bagi menghadapi serangan ini, jeneral Othmaniyah, Omar Pasya telah membuat pertahanan di kawasan Selestriya, dalam wilayah Qorum dengan15,000 tentera untuk menghadapi serangan Russia, selepas kalah di Sinop. Russia kemudian bertindak membuat pengepungan dengan 60,000 tentera selama 35 hari. Oleh kerana tentera Othmaniyah menghadang Russia dalam wilayah sendiri, mereka mendapat kelebihan, sedangkan tentera Russia semakin kehabisan bekalan. Tentera Othmaniyah kemudiannya dibantu oleh Perancis dan Britain di Gallipoli dan bergerak ke Varna pada Jun 1854M, membuatkan Russia mulai terdesak. Pada 23 Ramadhan 1270H, Marsyal Barnes yang memimpin kepungan ini terpaksa mengaku kalah dan menghentikan kepungan ke atas kota Selestriya.

Kesan daripada kekalahan ini, Russia turut kalah dalam Perang Sevastopol, Perang Alma dan Perang Balaclave yang menyebabkan Russia menyerah kalah pada Mac 1856M. Russia yang kehilangan 500,000 tentera kemudiannya telah kehilangan beberapa kepentingan lain dalam Perjanjian Paris pada 30 Mac 1856M termasuk kehilangan pengaruh di Laut Hitam, terlepas Romania (Wallachia dan Moldavia) yang dimerdekakan, dan penganut Kristian dari semua mazhab mendapat hak sama rata terhadap tanah suci.
MOHD FADLI GHANI
23 Ramadhan 1439 / 8 Jun 2018

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

thirty five − = thirty