Ulamak Seluruh Nusantara Sepakat umat Islam Wajib Mengundi Untuk Mendirikan Negara Islam

ULAMAK SELURUH NUSANTARA SEPAKAT UMAT ISLAM WAJIB MENGUNDI UNTUK MENDIRIKAN NEGARA ISLAM

DALAM satu Muktamar Islam Tenggara Asia yang diadakan di Kuala Lumpur pada 21 April 1954 telah memutuskan bahawa semua umat Islam adalah wajib keluar mengundi untuk membolehkan negara Islam yang melaksanakan syariat dibentuk. Fatwa para ulamak Nusantara ini dirumuskan ketika umat Islam di Indonesia dan Tanah Melayu sedang bersiap untuk menghadapi pilihan raya umum yang julung kalinya diadakan selepas Perang Dunia Kedua. Tanah Melayu mengadakan Pilihan Raya Umum pada 27 Julai 1955, manakala Indonesia berpemilu (pemilihan umum) pada tanggal 29 September 1955. PAS adalah parti Islam di Tanah Melayu, sedangkan Majlis Syura Muslimin Indonesia (Masyumi) menjadi parti Islam di Indonesia, di mana kedua-dua parti ini telah meletakkan matlamat mereka untuk menegakkan negara Islam melalui saluran demokrasi.

Terdahulu, di Indonesia, Muktamar Alim Ulamak dan Muballigh Se-Indonesia di Medan pada 11-15 April 1953 yang turut disertai oleh Setiausaha Agung Muktamar Islam Sedunia, In’manullah Khan bersama 205 ulamak seluruh Indonesia, telah mengambil pendirian bahawa umat Islam diwajibkan menyertai pilihan raya dengan mendaftarkan diri sebagai pemilih dan turun mengundi pada hari pembuangan undi, dengan maksud untuk menegakkan sebuah negara Islam. Majlis Syura Pusat Masyumi yang bersidang pada 24 Februari 1953 turut mengambil pendirian yang sama dalam menghadapi Pemilu Indonesia 1955. KH Abdul Rahman Shihab, Ketua Majlis Syura Pusat Masyumis mengumumkan pendirian ini bagi menggesa umat Islam supaya tidak memandang penglibatan mereka dalam pembuangan undi sebagai perkara remeh.

Muktamar Ulamak di Medan seperti mana yang disiarkan oleh Aliran Islam, No. 47, Thn. Ke-VII, 1953, telah memutuskan supaya semua parti Islam (Masyumi, Partai Sarekat Islam Indonesia, Perti dan PSII) serta badan-badan Islam yang besar (Nahdatul Ulamak, Muhammadiyah, Liga Muslim Indonesia dan Kongres Muslimin Indonesia) bersatu untuk memenangi pemilu bagi membentuk negara Islam, menggubal perlembagaan Islam, membela para ulamak dan memperkukuh perjuangan Islam. Demikian juga laporan majalah Perbaikan, No. 1-2, Thn. Ke-X, 1953 yang memetikan keputusan muktamar tersebut supaya umat Islam bersatu secara ukhuwah Islam bagi menjamin kemenangan Islam dalam pemilu.

Oleh kerana desakan parti politik di Tanah Melayu sejak awal 1953 menerusi National Conference dan National Convention supaya pilihan raya umum diadakan segera ke arah berkerajaan sendiri yang turut disokong oleh PAS, British telah bersetuju supaya satu pilihan raya umum diadakan dalam tahun 1955. Seperti mana di Indonesia, persoalan penglibatan umat Islam dalam pilihan raya ini juga menjadi isu, terutama hukum penyertaan umat Islam sebagai pemilih di Tanah dan Indonesia. Satu Muktamar Islam Tenggara Asia telah dianjurkan, di mana PAS sendiri telah menghantar tiga wakil iaitu Haji Sulaiman Basri, Haji Zabidi Ali dan Mohamad Hanif, manakala Setiausaha Pilihan Raya PAS, Abdul Hamid Sharif bersama Ustaz Othman Abdullah, Ustaz Mohd Asri Haji Muda, Haji Ahmad Ali dan Kiyai Yasiin hadir mewakili PAS sebagai pemerhati.

Muktamar ini, seperti yang dilaporkan oleh Berita APB, No. 94, Thn. Ke-VIII dalam kolum yang bertajuk ‘Alim Ulama Malaya Dan Soal Pemilihan Umum di Indonesia’. Berbunyi: “Seluruh alim ulama Malaya dalam satu sidangnya yang diadakan di Selangor dan dikunjungi oleh para alim ulama Malaya dari berbagai tempat telah memutuskan, bahawa penyertaan umat Islam Indonesia di dalam pilihan raya umum yang akan diadakan di Indonesia nanti adalah fardhu ain hukumnya, dan adalah haram jika umat Islam Indonesia tidak ikutserta dalam pilihan raya umum nanti.”

Kesimpulan daripada keputusan-keputusan para ulamak Asia Tenggara dalam dalam soal pilihan raya ini ialah:

I. Penyertaan Parti Islam dalam pilihan raya umum dengan menghantar calon-calon dan berkempen untuk kemenangan mereka bagi menegakkan negara Islam adalah wajib;

II. Penyertaan umat Islam sebagai pemilih dalam pilihan raya umum adalah fardhu ain; dan

III. Haram bagi umat Islam jika tidak ikut serta (tidak mengundi) dalam pilihan raya umum.

#MalaysiaSejahtera
#BangkitPertahan

MOHD FADLI GHANI
Head House of Resources,
Pusat Penyelidikan PAS
24 Rejab 1439 / 11 April 2018p

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

66 − fifty eight =