Tegakkan Islam, Semuanya Selamat

TEGAKKAN ISLAM, SEMUANYA SELAMAT

Firman Allah:

فَلَا تُزَكُّوٓاْ أَنفُسَكُمۡۖ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَنِ ٱتَّقَىٰٓ (النجم: 32)

“Janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja Yang Lebih Mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa).” (Surah An-Najm: 32)

Allah juga berfirman:

وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ (11). الضحى

“Dan adapun dengan nikmat Tuhan mu, maka hendaklah kamu ucapkan (menandakan kesyukuran kepada-Nya).” (Surah Ad-Dhuha: 11)

PAS bersyukur kepada Allah dan mengucap terima kasih, apabila pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi jawapan di Parlimen kepada soalan statistik pemimpin parti yang disoal siasat oleh SPRM. Jawapannya, BN paling besar jumlahnya dan diikuti oleh Pakatan Harapan (PH).

BN yang dipimpin oleh Umno sudah memerintah lebih daripada setengah abad, tidak dianggap luar biasa sifat kelemahan makhluknya. PH pula memerintah Pulau Pinang dan Selangor hanya dua penggal, namun sudah diadukan ada jangkitan wabak rasuah atau salah laku, disertakan pula oleh kalangan mereka pernah menjadi pemimpin BN dahulunya.

Walaupun baru di peringkat soal siasat yang tidak diketahui apakah keputusannya, Islam melarang kita menuding jari dan terus menjatuhkan hukuman sebelum dibuktikan dengan seadil-adilnya, kerana ada kalangan orang yang suka menuding jari dengan mudah.

Walaupun kita berpegang kepada kata-kata “pokok tidak bergoyang kalau tidak ada angin bertiup”, namun PAS tidak boleh menjatuhkan hukumannya semudah itu. Kebiasaannya pula, semua hilang dilupakan begitu sahaja seperti surat khabar lama dan dighaibkan dalam lipatan fail di bawah undang-undang manusia yang berkuasa. Kalau dikuatkuasakannya pula, hanya sekadar laksana sarang labah-labah yang memerangkap makhluk perosak yang kecil dan lemah sahaja.

Rakyat yang tidak mudah lupa semestinya ingat senarai nama yang datang bertali arus dan dilenyapkan satu demi satu. Bukan semua Melayu mudah lupa. Sudah tentu masih terpahat dalam ingatan bagi mereka yang tidak lupa terhadap nama-nama seperti BMF, KWSP, PERWAJA, Skyhawk, PETRONAS, FOREX, PERWAJA, Tabung Haji, PKFZ, Maika Holding, Kapal Selam dan lain lain. Malangnya semuanya berlalu tanpa natijah.

Terkini BN terpalit dengan 1MDB dan PH pula Rumah Banglo dan lainnya. Semuanya masih perlu disiasat dengan adil dan telus bersama konsep iman dan budiman sama ada kes-kes dahulu, kini dan akan datang selepas ini sekiranya terus diberi peluang lagi tanpa perubahan.

PAS pula tidak bertujuan menjatuhkan individu pemimpin semata-mata, bahkan PAS mahu perubahan total sikap dan pendekatan salah laku semua pemimpin. Maka jangan disalahkan kalau PAS tidak terikut dengan hanya 1MDB yang disebut-sebutkan oleh semua parti yang lain, tetapi melupakan skandal-skandal terdahulu. PAS tidak lupa semuanya kerana Melayu PAS tidak mudah lupa.

Alhamdulillah PAS kosong dan tidak ada markah salah laku untuk disiasat. PAS hanya pernah menerima tindakan ISA tanpa bicara atau tanpa mahkamah, menjadi korban seperti Peristiwa Memali dan sebagainya, dirampas haknya dan rakyat yang menyokongnya, sama ada pegawai kerajaan atau rakyat biasa menjadi mangsa kezaliman sepanjang masa, kerana kesalahannya kalau bersama PAS. Parti yang masih muda dan mentah belum merasai apa yang dialami oleh PAS.

Sepatutnya sudah cukup diberi kepercayaan oleh rakyat kepada PAS bagi memimpin negara mengikut keputusan pertandingan rasuah dan salah laku itu.

Sepatutnya PAS diberi kuasa yang lebih kuat oleh rakyat dalam PRU 14 ini supaya terus melangsungkan jasa dan pengorbanannya yang lebih besar menyelamatkan negara dan rakyat bersama Islam.

PAS berkemampuan menyembuhkan penyakit yang menimpa negara dan membebankan rakyat sekiranya diberi kuasa memerintah negara. Bukan sahaja penyakit rasuah dan salah laku, begitu juga seperti cukai yang membebankan, harga barangan yang sentiasa melambung, kos sara hidup yang mengongkong, tiada peluang pekerjaan, menanggung hutang PTPTN, kadar jenayah dan kemalangan yang meningkat dan sebagainya.

Rahsia kejayaan PAS di peringkat negeri kerana PAS beristiqamah bersama Islam, di masa menang berkuasa atau kalah sehingga merempat dibelasah berbagai cara. Rahsianya juga PAS berserah kepada Allah dan terus berjuang menyelamatkan rakyat dengan hidayah Allah bernama Islam, aqidah, syariat dan akhlak, berwawasan dunia sehingga akhirat yang percayakan dosa dan pahala dalam kegiatan politiknya. Bukan sekadar kalah menang pilihan raya yang dihukum oleh rakyat atau mahkamah dunia dan undang-undang ciptaan manusia.

PAS mengajak rakyat bersama Islam yang sempurna untuk menyelamatkan semua. Selamatkan bangsa sahaja tanpa Islam, bangsanya tidak selamat juga. Inilah nasib laungan hidupkan Melayu sahaja tanpa Islam yang diimani dan diamal sepenuhnya. Hanya tegakkan Islam yang memerintah, nescaya Melayu selamat dan semua bangsa selamat.

Kepada penganut Islam, percayalah bahawa Islam menjadi penyelamat Melayu yang telah pun menganut Islam. Manakala bukan Islam pula jangan takut kepada Islam yang dibawa PAS ini. PAS bukan Taliban dan bukan ISIS.

Cubalah bersama PAS! Wajib akan disaksikan bahawa Islam adil untuk semua dan rahmat Allah kepada seluruh alam.

PAS telah menunjukkan betapa kerajaannya tanpa campuran di Kelantan sehingga kini dan di Terengganu. PAS pernah memimpin Kerajaan Campuran di Kedah, PAS pernah juga menyertai kerajaan yang dipimpin DAP di Pulau Pinang dan dipimpin PKR di Selangor. Terbukti betapa bersihnya pemimpin PAS.

Dahulunya, PAS juga pernah bersama menubuhkan BN, namun PAS selamat apabila nakhoda bahteranya tidak menggunakan kompas yang betul. Bukan memuji diri sendiri, namun diakui oleh lawan dan musuh yang sentiasa mengintai kesalahannya, walaupun yang terlalu kecil nescaya diperbesarkannya. Kalau dikesan sedikit kesalahan PAS walaupun hanya noktah yang kecil, diperbesarkan laksana kubah yang paling besar diangkat tinggi.

Hanya budaya fitnah digunakan bagi melawan PAS. Inilah sebabnya PAS menyokong undang-undang melawan fitnah. PAS tidak takut kepada undang-undang ini kerana PAS mengharamkan ahlinya melakukan fitnah, bahkan PAS bersedia menerima kalau ada kalangannya yang melakukan fitnah supaya dikeluarkan daripada PAS. Hanya kalangan yang berkepentingan dengan berita bohong dan fitnah sahaja menentang sekeras-kerasnya. Kalau benar mestilah berani dan kalau takut memang bersalah.

Dihukumnya PAS mendapat habuan 90 juta untuk melawan orang yang bagi 90 juta itu pula. Hujah yang sangat fitnah dan berputar belit. Dihukumnya PAS tanpa mahkamah yang sebenarnya, dihukumnya PAS dengan Mahkamah Media Sosial dengan hujung jari tanpa otak dan akalnya yang tidak nampak rupa paras hakim dan saksinya.

PAS terlalu murah harganya kalau sekadar 90 juta, pada halnya untuk dapat lebih daripada itu boleh diusahakan bersama ahlinya yang mencecah 1 juta, tanpa pelahap kepada sumbangan pihak lawan yang tidak menunjukkan sikap yang ikhlas.

PAS tegas membawa ke mahkamah di UK di tempat dilemparkan batu sembunyi tangan, walaupun sudah ada orang tengah yang cuba memujuk supaya selesai di luar mahkamah setelah marasakan kalahnya kerana berita palsu.

Dijadikan modal kempen juga PAS pernah menyokong kerajaan apa sahaja yang berkait dengan kebaikan negara dan rakyat, PAS tetap membangkang segala kemungkaran. PAS bukannya pembangkang yang bertempik dan bersorak melulu tanpa akhlak. Sikap PAS berpandukan Al-Quran dan Sunnah supaya kita menerima yang baik dan benar walaupun daripada musuh. Inilah pendekatan hidayah Allah.

Firman Allah:

﴿ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ  وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ  إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ  وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ١٢٥ وَإِنْ عَاقَبْتُمْ فَعَاقِبُوا بِمِثْلِ مَا عُوقِبْتُمْ بِهِ  وَلَئِنْ صَبَرْتُمْ لَهُوَ خَيْرٌ لِلصَّابِرِينَ١٢٦ وَاصْبِرْ وَمَا صَبْرُكَ إِلَّا بِاللَّهِ  وَلَا تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ وَلَا تَكُ فِي ضَيْقٍ مِمَّا يَمْكُرُونَ١٢٧ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الَّذِينَ اتَّقَوْا وَالَّذِينَ هُمْ مُحْسِنُونَ١٢٨﴾ [النحل: 125-128]

“Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad S.A.W.) dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang Engkau serukan itu) dengan cara yang terbaik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat Hidayah petunjuk. (125) Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan seksama Yang sama seperti Yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) Sesungguhnya Yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang Yang sabar. (126) Dan bersabarlah (Wahai Muhammad S.A.W.)terhadap perbuatan dan telatah golongan Yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah Engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah Engkau bersempit dada disebabkan tipu daya Yang mereka lakukan. (127) Sesungguhnya Allah beserta orang-orang Yang bertaqwa, dan orang-orang Yang berusaha memperbaiki amalannya). (128)” (Surah An-Nahl: 125-128)

Sabda Rasulullah S.A.W di antara tanda munafik itu ialah:

وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ صحيح البخاري (1/ 16(

“Apabila dia berdebat atau berkelahi, dia jahat”

Bermaksud menolak juga yang baik kerana mahu menang berdebat.

Maka PAS mengikut Sunnah Rasulullah S.A.W apabila mencapai kemenangan (Fathu Makkah), mendahulukan kemaafan bukannya geram dan dendam menghukum apabila berkuasa.

PAS tidak berketuakan orang yang menolak Sunnah Rasulullah S.A.W dan menyalahgunakan akalnya yang bijak sehingga dirasakan seperti Tuhan atau memilih hukum Allah secara terpilih, berani mengkritik hukum Tuhan, atau membuat andaian kalau menjadi Tuhan.

PAS tidak boleh berketuakan orang jahil murakkab dalam agamanya, yang tidak sedar dirinya jahil. Kalangan seperti ini disebut oleh Rasulullah S.A.W sebagai muncul menjadi tanda dunia akhir zaman.

Sabda Rasulullah S.A.W.

الْمُؤْمِنُ الْقَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنَ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيفِ وَفِي كُلٍّ خَيْرٌ احْرِصْ عَلَى مَا يَنْفَعُكَ وَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَلَا تَعْجَزْ وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ فَلَا تَقُلْ لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا وَلَكِنْ قُلْ قَدَرُ اللَّهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ – حديث صحيح رواه مسلم

“Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih dikasihi Allah daripada orang beriman yang lemah. Namun tiap-tiapnya diberi kebaikan. Bersungguhlah lakukan apa yang memberi manfaat kepadamu, mintalah pertolongan Allah, jangan merasa lemah. Kalau engkau ditimpa sesuatu musibah (keburukan) jangan berkata: “Kalau aku buat begini tidak jadi begini”. Katakanlah: “Takdir Allah”. Apa Allah kehendaki pasti berlaku mengikut kehendaknya. Kerana perkataan ‘kalau’ adalah membuka kerja Syaitan” (Hadis Sahih Muslim)

Maka kalau bercakap berkenaan takdir pun besar padahnya, maka kalau diandai dia si makhluk menjadi Tuhan sangat besar padahnya.

Allah memerintah supaya bersama Al-Quran yang disertakan Sunnah Rasulullah S.A.W.

﴿وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ  وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا٣٦﴾ [الأحزاب: 36]

“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya, maka Sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata).” (Surah Al-Ahzab: 36)

Maka jangan memilih yang sesat atau yang salah lakunya, kerana menuju kepada sesat juga. Allah akan mengumpul semuanya pada Hari Kiamat nanti, bukan hanya sekadar habis pilihan raya. Firman Allah:

﴿إِذْ تَبَرَّأَ الَّذِينَ اتُّبِعُوا مِنَ الَّذِينَ اتَّبَعُوا وَرَأَوُا الْعَذَابَ وَتَقَطَّعَتْ بِهِمُ الْأَسْبَابُ١٦٦ وَقَالَ الَّذِينَ اتَّبَعُوا لَوْ أَنَّ لَنَا كَرَّةً فَنَتَبَرَّأَ مِنْهُمْ كَمَا تَبَرَّءُوا مِنَّا  كَذَلِكَ يُرِيهِمُ اللَّهُ أَعْمَالَهُمْ حَسَرَاتٍ عَلَيْهِمْ  وَمَا هُمْ بِخَارِجِينَ مِنَ النَّارِ١٦٧﴾ [البقرة: 166-167]

“(Ingatlah) ketika ketua-ketua yang menjadi ikutan itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutnya, sedang kedua-dua pihak melihat betapa ngerinya azab seksa itu, dan (ketika) terputusnya Segala hubungan di antara mereka. (166) Dan (pada masa Yang mengecewakan itu) berkatalah orang-orang Yang menjadi pengikut: Alangkah eloknya kalau Kami (dengan itu dapat Kami berlepas diri daripada mereka sebagaimana mereka berlepas diri daripada Kami (pada saat ini)! Demikianlah Allah perlihatkan kepada mereka amal-amal mereka (dengan rupa yang mendatangkan) penyesalan yang amat sangat kepada mereka, dan mereka pula tidak akan dapat keluar dari neraka).” (Surah Al-Baqarah: 166-167)

Inilah janji Allah, bukan janji PAS kerana Syurga Neraka kepunyaan Allah, bukan PAS punya. Ikut PAS selagi PAS tidak melawan Allah dan Rasulullah S.A.W. Maka, PAS menyebut syarat ini dalam lafaz baiah kepada semua calon yang bertanding pilihan raya. Mereka yang tidak percaya kepada baiah, jangan masuk PAS. Kalau sudah masuk PAS, boleh keluar daripada PAS bila-bila masa. Maka PAS tetap menjadi bahtera yang selamat selagi beristiqamah bersama Islam.

Ukuran dan perhitungannya bukan sekadar ucapan dan kenyataan sebelum berkuasa di tengah-tengah kempen pilihan raya. Semuanya boleh berucap dengan lidah yang tidak bertulang dan membuat kenyataan dengan dakwat yang cair, tetapi lihat apa yang dibuat dan perangainya setelah berkuasa. Kalau berkuasa sekadar kawasan sekangkang kera dalam masa yang singkat sudah menunjukkan perilakunya, maka sepatutnya rakyat yang mengundi wajib berhati-hati.

Buah salak, buah kedondong,
Sila letak ke dalam baldi,
Bukan salah ibu mengandung,
Tetapi salah memangkah undi.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Naib Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia

Bertarikh: 20 Rejab 1439 / 6 April 2018

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

ninety three − = ninety