Kuasai Ilmu Dengan Bahasa Ibunda, Bukan Dengan Bahasa Asing

Kuasai Ilmu Dengan Bahasa Ibunda, Bukan Dengan Bahasa Asing 

Oleh: Asmaa Yusof

Kayu ukur kejayaan sistem pendidikan sesebuah negara adalah berdasarkan penggunaan bahasa yang diterapkan kepada masyarakat.

Naib Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (KUIS), Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menjelaskan bahawa al-Quran telah menekankan perkara demikian melalui surah Ibrahim yang bermaksud “Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka.”

Tegas beliau, apa yang disebutkan dalam al-Quran mengenai penggunaan bahasa yang tepat adalah selari dan menepati kajian yang dihasilkan pihak UNESCO; satu badan yang berkait dengan pendidikan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Katanya, hasil kajian menegaskan supaya pendidikan mestilah menggunakan bahasa ibunda masing-masing dan penggunaan bahasa asing adalah gagal.

Tuan Guru turut memberi contoh beberapa buah negara yang telah berjaya melalui sistem pendidikan mereka.

“Negara-negara besar dalam dunia hari ini tegas dengan bahasa ibunda masing-masing.

“Jepun dengan bahasa Jepun, Jerman dengan bahasa Jerman, Cina dengan bahasa Cina.

“Kita dapati Jepun dan Jerman yang kalah dalam perang dunia kedua dengan kekalahan yang dahsyat boleh pulih balik dengan memperkasakan rakyat melalui pendidikan dengan bahasa mereka sendiri,” jelasnya.

Seterusnya, Tuan Guru turut mengungkapkan kata-kata yang pernah dinukilkan Ibn khaldum mengenai pengabaian bahasa ibunda sesebuah negara.

Katanya, Ibn Khaldum pernah berkata bangsa yang hina ialah mereka yang terpengaruh dengan bahasa penjajah.

Meneruskan misalan tersebut, beliau menjelaskan bangsa yang terpengaruh dengan bahasa dan budaya penjajah akan meninggalkan agama mereka sendiri.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi menghuraikan peranan bahasa dalam mendidik kaum menerusi sesi siaran langsung yang disiarakan di laman Facebook beliau hari ini; berdurasi kira-kira 10 minit.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

five + 5 =