Kebendaan Yang Meranapkan Iman

KEBENDAAN YANG MERANAPKAN IMAN

Membaca dan menatap sirah Baginda saw selayaknya menatijahkan dua perkara. Iaitu semakin bertambah minat untuk mentadabbur Al Quran dan kedua semakin meyakini tiada jalan yang lebih selamat selain Islam.

Antara kisah yang wajar diambil pengajaran sebanyaknya ialah kisah surat Baginda saw kepada Raja Rom Heraclius.

▪Meninggikan Islam dalam apa jua keadaan

Surat Baginda saw dimulakan dengan Bismillahirrahmanirrahim kemudian Nabi menyebutkan “ dari Muhammad Hamba Allah dan PesuruhNya kepada Heraclius Pembesar (Raja) Rom, sejahteralah sesiapa yang mengikut petunjuk. Islamlah, nescaya kamu akan selamat”.

Memulakan surat dengan ‘intonasi’ sebegini, menunjukkan suatu akhlak terpuji Nabi yang sentiasa meletakkan Islam dengan kedudukan yang tinggi. Sekalipun dari aspek kekuasaan, Rom boleh dikatakan sebagai Kuasa Besar dan Madinah hanyalah kerajaan kecil yang baru muncul.

▪Jiwa Besar Nabi saw

Kesungguhan Nabi menyampaikan Islam kepada pemimpin tertinggi sebuah kerajaan kafir dengan mengajaknya masuk Islam bukti ketinggian politik Nabi. Membawa mesej Islam tanpa selindung dan menerangkan tujuannya dengan jelas. “Selamatlah sesiapa yang mengikut petunjuk, Islamlah, nescaya kamu akan selamat”.

Bermegah dengan kuasa dan merasa tinggi dengan Islam adalah dua perkara yang berbeza. Orang yang menunjukan kuasa biasanya mengugut dengan kekuasaan dan tentera, ia nyata berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Baginda saw yang tidak memiliki bala tentera yang ramai sebagaimana Rom.

Pemimpin yang baik meletakkan nilai negaranya di atas ‘tangannya’ sendiri, bukan bergantung pada sesiapa apatah lagi kuasa besar. Sentiasa merasa mulia dengan ajaran Islam, akan membangkitkan perasaan kebolehupayaan Islam memimpin, kecuali jarum Islamophobia menghantui jiwa dan sanubari.

▪Acah-acah merindui Nabi

Dalam dialog yang panjang antara Heraclius dan Abi Sufian (ketika itu masih belum Islam), sekalipun Abu Sufian cuba untuk menipu dan menyeleweng, tetapi setiap kali itulah beliau memberi jawapan yang menambah keyakinan Heraclius bahawa Muhammad adalah Nabi yang dinanti-nanti!

Dalam dialognya, direkodkan dalam Soheh Bukhari secara kesimpulannya bahawa Raja Heraclius meyakini perkara berikut:

I. Kenabian Muhammad saw sebagai Nabi yang terakhir
II. Ajaran Muhammad sebagai kesinambungan daripada ajaran Taurat dan Injil
III. Mengakui Kebenaran ajaran Islam
IV. Sentiasa berharap dapat bertemu dengan Nabi

Heraclius mengatakan “kalaulah beliau (Muhammad) ada didepanku, nescaya aku akan basuh kedua kakinya”.

Ucapan ini memberi pengajaran kepada kita bahawa, semata-mata mencintai atau merindui batang tubuh baginda saw, bukan jaminan untuk kita selamat. Sebaliknya yang menyelamatkan kita adalah beriman dengan ajarannya. Nyata Heraclius amat berharap dapat melihat baginda saw namun tidak mahu beriman.

Pada hari ini, selayaknya kita sentiasa mengajak masyarakat cinta dan rindu kepada baginda saw, seterusnya menekankan aspek mengikut ajaranNya. Selayaknya kita mencontohi para Sahabat R.A yang menjadi bukti kehebatan cinta dan kerinduan yang sebenar terhadap baginda saw.

▪Najasyi & Heraclius : 2 darjat Raja yang berbeza

Raja Najasyi merupakan pemimpin kerajaan Habsyah (Eutophia) yang memberikan suaka politik kepada umat Islam pada tahun kelima Kenabian.

Dialog yang berlaku antara umat Islam yang diwakili Jaafar bin Abi Talib dengan Raja Najasyi, gara-gara salah faham yang ditimbulkan oleh Amru bin Al ‘Asr mewakili pihak Musyrikin Mekah akhirnya memihak kepada umat Islam dan berakhir dengan keislaman Najasyi!

Bahkan diriwayatkan, Najasyi menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam keadaan beriman sekalipun tidak pernah bersua muka dengan Nabi! Allah taala memuji Najasyi di dalam surah Al Maidah ayat 83 :

(وَإِذَا سَمِعُوا مَا أُنْزِلَ إِلَى الرَّسُولِ تَرَىٰ أَعْيُنَهُمْ تَفِيضُ مِنَ الدَّمْعِ مِمَّا عَرَفُوا مِنَ الْحَقِّ ۖ يَقُولُونَ رَبَّنَا آمَنَّا فَاكْتُبْنَا مَعَ الشَّاهِدِينَ)

[Surat Al-Ma’idah 83]

Berbeza dengan Raja Heraclius. Dalam dialognya bersama Abu Sufyan jelas menyatakan kenabian Muhammad, namun dihujungnya beliau memilih untuk tidak beriman khuatir kehilangan kedudukan dan kestabilan kerajaan Rom tergugat.

▪Kisah Raja Daghathir yang syahid

Hiraclius bimbang penghujungnya umpama Raja Rom sebelumnya iaitu Daghathir, yang dikatakan beriman dengan ajaran Taurat dan Injil lalu dia dipukul dan dibunuh. Mulialah pengakhiran Daghathir yang syahid kerana memilih iman berbanding kedudukan!

▪Pengajaran
Kebendaan, samada berbentuk harta, mahupun kedudukan nyata perangkap yang ampuh untuk membolosi iman.

‘Masuk Islam, selamat semuanya’ – mesej yang mengatasi semua ideologi politik dan anutan yang ada didunia. Tawaran yang tidak disukai oleh golongan yang berkuasa, termasuk golongan yang berkepentingan kerana akan mengenepikan semua nafsu serakah yang ingin kekal di atas takhta.

Semoga kita semua diselamatkan Allah dengan godaan ini yang kesannya bukan sahaja meranapkan iman, bahkan mampu meruntuhkan sebuah kerajaan Islam.

Rujukan
– Islamstory – surat Rasul kepada Raja Heraclius
– Kitab Permulaan Wahyu Soheh Bukhari
– Fathul Bari syarah Soheh Bukhari
– Wikipedia: Raja Heraclius

Mohd Adlan Mokhtaruddin
23 Februari 2018

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

eighty three − seventy seven =