AL-AFKAR #6: Mencuba Alatan Ritual Agama Lain

AL-AFKAR #6: Mencuba Alatan Ritual Agama Lain

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Pautan ke laman web PMWP: https://goo.gl/SLCC4L

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Telah sampai kepada kami sebuah video yang menunjukkan seorang wanita yang seakan sedang mencuba ritual sembahyang di sebuah tokong, dalam program lawatan ke rumah ibadah agama lain. Samada ianya berlaku di Malaysia atau tidak, apa yang lebih penting adalah memahami hukumnya kerana ia melibatkan batas-batas akidah seorang Muslim.

Untuk makluman, alat yang dicuba oleh wanita berkenaan adalah alat menilik nasib. Antara kaedah yang dapat dilihat di dalam video itu dinamakan kau cim. Ianya mudah ditemui di kebanyakan tokong di mana-mana. Kaedahnya adalah melibatkan goncangan batang-batang buluh kecil hingga salah satu tercampak keluar dari bekasnya. Setiap batang buluh itu bertulis maklumat ramalan yang kemudiannya diperjelaskan oleh seseorang yang pakar atau sami.[1]

Terdapat satu lagi alatan yang terdapat dalam video iaitu Pwak Pwee (disebut puak pui). Ia dikenali juga sebagai Jiaobei Ia adalah satu ritual yang melibatkan dua bentuk kayu yang menyerupai bulan sabit yang dilontar ke tanah/lantai untuk meminta petunjuk daripada dewa dan lain-lain. Jawapan dilihat daripada kayu yang terjatuh samada, depan (terbuka) atau belakang (tertutup). Apabila salah satu terbuka dan yang lainnya tertutup, berarti jawapannya Shi Pui yang bererti setuju atau positif. Apabila keduanya terbuka, berarti dewa/dewi tertawa, namun ini bermaksud negatif. Apabila keduanya tertutup, bererti dewa/i marah, dan jawapannya Ba Pui yaitu negatif.[2]

Hukum Tenung Nasib

Tenung nasib adalah perbuatan meramal masa depan atau hal-hal ghaib yang tidak diketahui oleh seseorang. Berkenaan hukum tenung atau tilik nasib, ianya adalah haram kerana hanya Allah SWT yang mengetahui segala yang ghaib. Firman Allah SWT:

وَعِنْدَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ

Maksudnya: “Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja”
(Surah Al An’am: 59)

Begitu pula dalam ayat lainnya disebutkan,

قُلْ لَا يَعْلَمُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ

Maksudnya: “Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!”
(Surah al-Naml: 65)

Allah SWT secara jelas memerintahkan orang beriman supaya menjauhkan diri daripada amalan tenung nasib sebagaimana firman-Nya:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ وَأَنْ تَسْتَقْسِمُوا بِالْأَزْلَامِ ذَلِكُمْ فِسْقٌ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik…”
(Surah al-Ma’idah: 3)

Menurut Syeikh Mustafa al-Maraghi, ayat berkaitan pengharaman merenung nasib ini bermaksud diharamkan untuk meminta ilmu tentang apa yang telah ditentukan kepada seseorang dengan anak panah sebagaimana yang dilakukan oleh Arab Jahiliah. Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/52.

Selain itu, Allah SWT juga berfirman.

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
(Surah al-Ma’idah: 90)

(الْأَزْلَامُ) menurut Ibnu Abbas, Mujahid, Ata, Sa’id ibnu Jubair, dan Al-Hasan serta lain-lainnya ialah anak-anak panah (yang tidak diberi bulu pengimbang dan tidak diberi hujung). Alat ini biasa mereka pakai untuk mengundi nasib. Demikianlah menurut apa yang diriwayatkan oleh Ibnu Abu Hatim. Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/161.

Kalimah (الرِّجْسُ) dari segi bahasa menurut Imam Fakhruddin al-Razi adalah segala perbuatan yang dilihat dan dianggap kotor atau keji. Menyatakan ia adalah amalan syaitan merupakan satu penyempurnaan bagi perbuatan yang dilihat dan dianggap kotor atau keji kerana syaitan itu sendiri adalah najis yang bersifat khabith (buruk/kotor/teruk). Lihat Mafatih al-Ghaib, 12/423.
Tasyabbuh Ibadah Orang Kafir

Rasulullah SAW telah melarang kita dari menyerupai orang kafir. Sabda Baginda SAW dari hadis Ibn Umar R.Anhuma:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka mereka tergolong dalam golongan itu”.
Riwayat Abu Daud (4031)

Berdasarkan hadis di atas maka seorang Muslim itu dilarang untuk meniru gaya atau kelakuan atau pakaian yang khusus dikenali syiar/simbol agama atau bentuk perayaan yang boleh menimbulkan salah sangka orang ramai terhadap orang yang menyerupai agama-agama lain

Imam al-San’ani rahimahullah berkata bahawa hadis di atas menunjukkan barang siapa yang menyerupai orang-orang fasiq ataupun kafir ataupun orang yang melakukan bid’ah dalam apa jua perkara yang dikhaskan padanya dari segi pemakaian, tunggangan ataupun gerak-geri tingkah laku maka dirinya tergolong dalam kalangan mereka. Lihat Subul al-Salam, 2/647.

Disebutkan juga pendapat lain yang mengatakan bahawa tasyabbuh itu juga berlaku dalam perkara-perkara dalaman bersifat i’tiqad, iradat (kemahuan dan kehendak) dan perkara-perkara luar dari segi perkataan, perbuatan yang boleh menjadi ibadat dan adat. Lihat Faidh al-Qadir, 6/104.

Hukum Mencuba Alatan Tenung Nasib

Berdasarkan hujah di atas, kami melihat bahawa perbuatan wanita terbabit adalah satu bentuk tasyabbuh (penyerupaan) dengan ritual agama lain yang diharamkan Islam, walaupun ia dibuat dengan niat untuk belajar. Pastinya terdapat pelbagai kaedah lain yang lebih sesuai dan tidak menyalahi syarak untuk mempelajar dan memahami hal-hal agama lain. Walaubagaimanapun, kami bersangka baik bahawa wanita tersebut tidak tahu akan hukumnya. Kami juga menyarankan masyarakat supaya tidak menyebarkan video berkenaan kerana:

1. Akan membawa sangkaan-sangkaan yang buruk.
2. Menjatuhkan maruah.

Dalam masa yang sama, kami suka untuk mengingatkan kepada umat Islam untuk sedaya upaya menjauhi ruang-ruang fitnah dan tohamhan. Ini berdasarkan satu kaedah

اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ
Maksudnya: Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.

Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar RA,

مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ
Maksudnya: Barangsiapa yang menempuhi, laluan-laluan tohmahan, akan ditohmah.

Apa jua perkara yang berisiko menimbulkan fitnah, hendaklah sedaya upaya dielakkan kerana ia akan memberi kesan yang buruk baik untuk jangka masa pendek mahupun panjang.

Semoga kita menginsafi akan pentingnya untuk lebih berhati-hati memelihara batas-batas aqidah dalam setiap aktiviti harian kita. Wallahu a’lam.

_______________

[1] Rujukan lanjut di http://accesschinese.com/divination/kaucim/kaucim.php

[2] Rujukan lanjut di https://exemplore.com/fortune-divination/chinese-jiaobei-or-moon-blocks-divination

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

thirty nine + = forty one