AL-KAFI #710 : Adakah Batal Solat Sekiranya Tersentuh Kanak-kanak Yang Belum Berkhatan?

AL-KAFI #710 : Adakah Batal Solat Sekiranya Tersentuh Kanak-kanak Yang Belum Berkhatan?

Soalan:

Assalamualaikum wbt,

Apakah hukum bersolat jemaah bersebelahan dengan kanak-kanak yang belum berkhatan? Adakah terbatal solat sekiranya bersentuhan dengan mereka?

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Menurut mazhab Syafie, pendapat yang muktamad menyatakan sunat hukumnya untuk mengasingkan saf kanak-kanak selepas saf orang dewasa. Namun, Imam al-Mawardi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir menukilkan mengenai permasalahan di atas, kata beliau: “dan telah berkata sebahagian ashab kami, yang lebih utama itu adalah dengan meletakkan kanak-kanak (di dalam saf) di antara dua lelaki kerana lebih membawa kanak-kanak tersebut kepada mempelajari pergerakan-pergerakan solat.” Lihat al-Hawi al-Kabir (2/340).

Begitu juga dalam mazhab Syafie, kanak-kanak yang tidak berkhatan dianggap menanggung najis jika tidak dicuci najis di bawah kulup zakar kanak-kanak lelaki. Justeru, sekiranya seseorang dewasa menanggung kanak-kanak yang bernajis ini ketika solat maka batallah solatnya kerana salah satu syarat sah solat ialah bersih daripada najis pakaian, badan dan tempat.

Imam al-Syirazi Rahimahullah menyebut: “Maka jika seseorang yang bersolat itu menanggung benda hidup yang suci ketika solat maka sah solatnya kerana Nabi SAW pernah mendukung Umamah bin Abi al-As ketika solat. Ini kerana najis yang berada dalam benda hidup itu sama hukumnya dengan najis yang berada dalam badan orang yang solat itu.”

Imam al-Nawawi Rahimahullah mensyarahkan: “Jika seseorang itu menanggung benda hidup yang suci tiada najis pada zahirnya ketika solat maka sah solatnya tanpa khilaf.”

Rujuk al-Majmu` (3/150)

Syeikh Hasan al-Kaf hafizhahullah berkata tidak sah solat seseorang yang memegang hujung tali yang bersambung dengan najis, sekalipun sebahagian tali itu tidak bergerak dengan pergerakan dirinya. Ini kerana dia menanggung suatu yang bersambung dengan najis, sama hukumnya dia dengan menanggung najis tersebut. Namun begitu tidaklah memudaratkan kepada solat sekiranya najis itu di bawah kakinya kerana dia tidak dianggap menanggung. Rujuk Taqrirat al-Sadidah (Qism Ibadat) (hlm. 20)

Sebaliknya najis atau barang yang bernajis itulah yang menanggung orang itu. Contohnya seseorang memijak seliparnya tanpa menyarung, atau najis yang berada di bawah sejadah.

Daripada fakta ini, mafhumnya bahawa dengan semata-mata menyentuh dan tersentuh kanak-kanak yang belum berkhatan tidaklah membatalkan solat. Begitu juga sekiranya seseorang itu yakin bahawa kanak-kanak itu menanggung najis atau tidak, atau jika belum berkhatan, dia beristinja’ dengan sempurna atau tidak, maka kembali kepada hukum asal lagi zahir bahawa seseorang itu adalah tidak bernajis dan tidak membatalkan solat seseorang itu jika dia menyentuh atau menanggungnya. Ini berdasarkan hadis Umamah dan kenyataan Imam Nawawi di atas

Kaedah melihat kepada zahir ini dapat dilihat dalam pelbagai hukum antaranya hukum harus tetapi makruh menggunakan perkakas orang yang bukan Islam yang diketahui kebiasaannya tidak menjaga soal taharah atau kebiasaan mereka bermuamalah dengan najis seperti orang Majusi yang membasuh perkakas mereka dengan air kencing lembu. Ini kerana hukum asal bahawa bekas itu suci mendahului hukum kebiasaan yang berbentuk anggapan semata-mata.

Rujuk al-Iqna’ (hal. 49) oleh Imam al-Khatib al-Syirbini Rahimahullah.

Justeru kami berpendapat dalam isu seperti ini bahawa hukumnya tidak batal tetapi sebaik-baiknya berlaku pengasingan antara saf dewasa dan saf kanak-kanak seperti mana yang disarankan oleh ramai ulama silam. Wallahua’lam.

Pautan ke laman rasmi PMWP: https://goo.gl/mt2qGe

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

46 − = forty four