Panggilan Kecemasan’ Bantu Rohingya Segera’

Panggilan Kecemasan’ Bantu Rohingya Segera’

IZWAN ABDUL HALIM  11 FEBRUARY 2018

KUALA  LUMPUR: Umat Islam etnik Rohingya yang masih terkepung dan tinggal bertahan di kampung-kampung mereka di dalam Wilayah Arakan, Myanmar kini sedang berada dalam situasi kecemasan.

Ini berikutan serangan dan tindakan ekstrem terbaharu pihak pelampau Myanmar yang menyerang dan membakar kampung halaman penduduk serta sekatan bantuan ke atas mereka terutama di Maungdaw, Bathidung dan Rathidung.

Berikutan kejadian itu yang tercetus semula sejak 29 Januari baru-baru ini, penduduk Islam Rohingya berada dalam situasi kemungkinan kebuluran setelah sebarang usaha mendapatkan makanan dan keperluan asas terhalang.

Sehubungan itu, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) membuat ‘panggilan kecemasan’ kepada seluruh dunia agar segera bertindak membantu meleraikan situasi tersebut.

Naib Presiden MAPIM, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, sekurang-kurangnya kini dunia khususnya dari umat Islam sendiri mesti bertindak menghantar bantuan berterusan kepada Rohingya.

“Selain mereka yang di Arakan tekad mempertahankan diri, maruah dan kedudukan, jumlah dan keperluan pelarian di kem-kem pelarian terutama di Bangladesh amat mendesak.

“Makanan, perubatan, pakaian dan tempat tinggal perlu disedia serta mengelak risiko lebih buruk seperti jangkitan penyakit, kematian dan sebagainya.

“Oleh itu MAPIM merayu seluruh dunia segera menghulurkan sumbangan untuk kami usahakan penyaluran bantuan kepada mereka terutama yang masih bertahan di dalam Arakan,” serunya.

Semua sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank Baitul Rahmah-MAPIM 5520 9522 4432 dan kodkan ‘Food4Arakan’ dan sebarang pertanyaan hubungi Shukri (019 758 5658). – HARAKAHDAILY 11/2/2018

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

eight + one =