Di mana Tentera Islam Bersekutu?

SERANGAN UDARA ISRAEL DI SYRIA

DI MANA TENTERA ISLAM BERSEKUTU?

Israel telah melancarkan serangan besar-besaran terhadap Syria selepas pesawat F-16 milik entiti haram itu terhempas dalam misi ke atas negara tersebut. Kerajaan Syria mengaku bertanggungjawab atas insiden tersebut. Beberapa kawasan strategik disasarkan oleh Israel di sekitar Damsyik, seperti kompleks ketenteraan Syria dan pengkalan-pengkalan yang menempatkan fasiliti ketenteraan Iran.

TEKNOLOGI DRON

Tindakan nekad Israel tersebut ekoran dron milik Iran telah dikesan memasuki ruang udara Israel sebelum ini. Mengikut laporan pakar, dron tersebut dipercayai menggunakan sistem dron yang direka US, salah satunya ditangkap oleh Iran pada tahun 2011 di ruang udara mereka. Iran memiliki teknologi dron yang boleh dikira maju. Salah satu siri model yang hebat dinamakan sebagai Ababil. Ababil-T memiliki keupayaan mengebom, mengganggu sistem kawalan musuh dan mengumpul maklumat perhubungan dengan kawalan kira-kira 2000km. Namun menurut jurucakap ketenteraan Iran, ianya bukanlah model tercanggih yang mereka miliki. Sehingga kini, siri-siri Ababil telah digunakan oleh Hamas, Hezbollah, Houthi dan Sudan.

Walaupun dron tersebut telah berjaya ditembak jatuh dan dirampas, tetapi ia menjadi satu peristiwa memalukan kerana Israel melalui syarikat Rafael Avanced Defense Systems sebelum ini mengumunkan memiliki teknologi anti-dron yang hebat termasuk drone dome. Mengikut rekod, Israel memiliki sistem pertahanan udara paling hebat di dunia dengan bantuan dana daripada US. Antara yang dibanggakan adalah Iron Dome. Malangnya roket-roket Hamas telah beberapa melewati sistem pertahanan tersebut dengan jayanya.

REKOD ISRAEL-SYRIA

Jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mendakwa bahawa mereka berjaya menghancurkan beberapa premis ketenteraan Syria dan Iran termasuk pusat kawalan dron milik Iran di Damsyik. Penganalisis berkata, serangan ini adalah yang paling besar dilancarkan terhadap Syria sejak perang Israel-Lubnan tahun 1982.

Syria pernah beberapa kali menyerang Israel sejak negara haram itu ditubuhkan. Antaranya pada tahun 1948 sejurus selepas negara haram Israel ditubuhkan. Seterusnga Perang Enam Hari pada tahun 1967 menyaksikan kekalahan memalukan pasukan arab yang dianggotai Syria, Mesir dan Jordan. Syria kehilangan Bukit Golan dalam peristiwa tersebut. 1973, sekali lagi Syria dan Mesir melancarkan serangan terhadap Israel dalam perang Yom Kippur, perang yang menjadi latar belakang kepada pengasasan sistem Petro-Dollar. Tahun 1982, Syria terlibat membantu Lubnan dalam perang menghadapi penjarahan Israel di wilayah selatan negara tersebut. Perang ni adalah lanjutan kepada serangan Iraq terhadap Iran, sebagai sebahagian daripada agenda US mengekang pengaruh Iran selepas revolusi 1979.

Syria juga menjadi hos kepada akitiviti musuh ketat Israel, Hamas di luar negara. Selain menjadi pusat perhubungan Hamas dengan dunia luar, Syria turut dijadikan sebagai tapak latihan dan pembangunan teknologi briged al-Qassam dan pusat pengumpulan bantuan kebajikan dan ketenteraan. Namun krisis Arab Spring 2011 telah memaksa Hamas menutup operasi mereka di Syria, setelah beberapa kali diancam serangan militan.

KERJASAMA KETENTERAAN IRAN-SYRIA

Sejak krisis Arab Spring, Syria telah membentuk pakatan dengan Rusia dan Iran bagi menghalang agenda barat terhadap negara tersebut seperti yang berlaku ke atas Iraq dan Libya. Kekuatan ketenteraan Syria banyak dibiayai dua negara terbabit. Pada 2017, Iran dan Rusia telah mengumumkan akan membina pengkalan tentera di Syria. Israel yang sudah hampa mengharapkan US untuk campurtangan dalam konflik ini, akhirnya bertindak sendiri mengecam hasrat Rusia dan Iran, dan akhirnya bertindak ke atas Syria.

Jurucakap Rejimen Al-Quds, sebuah pasukan elit milik Pengawal Revolusi Iran telah membuat kenyataan bahawa mereka telah mengenalpasti semua sasaran-sasaran serangan terhadap Israel di Tel Aviv dan Haifa. Tambah beliau, mereka memiliki peluru berpandu jarak jauh yang boleh sampai ke Israel dalam tempoh 7 minit setengah. Mereka akan bertindak bila-bila masa sahaja sekiranya kedaulatan dan keselematan Iran tercabar. Dipercayai misil tersebut berada di Syria.

DI MANA NEGARA ISLAM LAIN?

Sehingga ke hari ini, tiada mana-mana negara Islam yang membuat kenyataan mengecam tindakan Israel terhadap Syria. Berdasarkan pendirian terkini, pemimpin-pemimpin politik Islam mendokong pendiring Rumah Putih bahawa pengganas yang perlu dihapuskan adalah ISIS, Iran dan Syiah seperti resolusi yang dicapai pada Riyadh Summit Mei 2017. Tetapi tiada satupun kenyataan terhadap dikeluarkan dalam program tersebut. Persidangan Kemuncak Liga Arab di Kaherah beberapa bulan selepas itu turut mengulang fatwa US itu, dan membisu terhadap Israel.

Pada tahun 2015, Putera Mahkota Saudi Muhammad bin Salman telah menubuhkan Tentera Islam Bersekutu yang lebih dikenali sebagai Nato Arab. Gabungan yang berpusat di Riyadh itu dianggotai oleh tentera dari 41 buah negara Islam.Tujuannya adalah bagi membasmi keganasan di rantau umat Islam. Namun sehingga ke hari ini, pengganas yang ditentang hanyalah sebagaimana yang didefinisikan US iaitu ISIS dan negara di bawah pengaruh Syiah. Tiada langsung agenda memerangi Israel.

Pejuang-pejuang Islam yang berperang sesama sendiri di Syria samada Kurdis, IS, FSA, Jabhat dan lain-lain juga sehingga kini hanya berdiam diri daripada menyatakan pendirian mereka terhadap musuh utama umat Islam, Israel. Semangat jihad tidak menampakkan tanda-tanda untuk tercetus seperti era Arab Spring dahulu.

Masyarakat muslim dunia? Pertubuhan Ulama? Gerakan Islam? Kebanyakan sukar untuk menyatakan pendirian. Ini kerana yang terlibat dalam pertempuran bersama Israel adalah dari kalangan syiah. Sentimen anti-syiah sangat menebal dalam penganut Sunni samada yang beraliran Salafi/Wahhabis mahupun Sufi/Tradisionalis. Kebanyakannya dilihat buntu kerana mengecam Israel dalam isu ini menggambarkan pengiktirafan terhadap pendirian kerajaan Syria dan Iran, golongan yang sudah dicop terkeluar dari kelompok Islam.

25 Jumadal Ula 1439
11 Februari 2018

(Alang Ibn Shukrimun)

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

69 + = seventy