“HUNG PARLIAMENT” Membuka Seribu Satu Kemungkinan

‘HUNG PARLIAMENT’ MEMBUKA SERIBU SATU KEMUNGKINAN

Dalam sejarah politik Malaysia, belum pernah berlaku kesukaran dalam menubuhkan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU). Namun begitu pertembungan dalam PRU ke-14 nanti menjanjikan suasana berbeza apabila terdapat tiga gabungan berpengaruh bersaing secara berasingan hampir di seluruh negara. Tidak mustahil akan berlaku fenomena Parlimen tergantung atau hung Parliament selepas PRU ke-14 nanti.

Parlimen tergantung berlaku apabila tidak ada parti yang memenangi bilangan kerusi yang melepasi jumlah majority mudah (simple majority). Contohnya dengan jumlah keseluruhan kerusi 222 Dewan Rakyat, hanya parti yang melepasi jumlah 112 kerusi akan mampu menubuhkan kerajaan. Dalam situasi tiga gabungan berpengaruh bertanding, tidak mustahil fenomena ini akan berlaku.

Di United Kingdom, fenomena ini pernah berlaku dalam pilihan raya umum tahun 1974, 2010 dan 2017. Secara tradisinya, berlaku sistem dua parti di UK apabila kebanyakan pilihan raya didominasi oleh dua parti utama iaitu Parti Konservatif dan Parti Buruh. Dalam Pilihan raya umum tahun 2010, muncul kuasa ketiga iaitu Parti Liberal Demokrat yang meraih undi yang agak besar. Hasilnya parti itu mendapat 57 kerusi, manakala Parti Konservatif dan Parti Buruh masing-masing mendapat 306 dan 258 kerusi daripada 650 kerusi. Senario yang serupa berlaku selepas pilihan raya umum 2017 apabila Teresa May dari Parti Konservatif gagal mendapat mandat jelas sejurus mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Terdapat andaian yang mengaitkan situasi PRU ke-14 nanti dengan situasi yang berlaku di UK pada tahun 2010 dan 2017. Jika berlaku demikian, maka ia membuka seribu satu kemungkinan. Tidak mustahil nanti DAP akan berkerjasama dengan UMNO, atau PKR isytihar keluar Pakatan Harapan dan sertai BN, atau PAS bergabung dengan PH, atau parti-parti BN Sabah dan Sarawak isyitihar keluar BH untuk sertai PH. Atau mungkin juga wujud minority government (kerajaan minority) yang diterajui oleh parti yang paling tinggi bilangan kerusi, tetapi tidak sampai jumlah untuk mencapai majority mudah.

Apa yang pasti, situasi dan mood selepas PRU biasanya berbeza berbanding sebelum PRU. Jika Parlimen tergantung benar-benar berlaku, setiap parti akan mencongak masa depan masing-masing. Parti yang cepat, bijak dan berani mengambil peluang akan mendapat kelebihan. Kita sama-sama doakan agar apa yang akan berlaku nanti akan memberikan lebih kebaikan untuk agama dan ummah.

Dr Muhammad Fathi Yusof
Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan)
Universiti Teknologi Malaysia
Kampus Kuala Lumpur
[email protected]
3 Februari 2018

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

six + three =