Aktor Bukan Negara Dalam Politik Dunia Islam

Aktor bukan negara dalam politik dunia Islam

Selain kuasa-kuasa global dan serantau yang menguasai dan mencorakkan politik antarabangsa, kuasa-kuasa kecil terdiri daripada aktor bukan negara turut menyumbang kepada perkembangan rancak politik dunia Islam sejak beberapa tahun lalu, dan semakin menampakkan pengaruhnya kebelakangan ini.

Kumpulan-kumpulan ini telah menjadi subjek utama atau berperanan dalam peristiwa-peristiwa besar dilaporkan dalam berita-berita antarabangsa, walaupun masih ramai yang kurang menyedari kehadiran atau kepentingannya dalam perkembangan serantau di dunia Islam.

Di Asia Barat, rantau paling rancak persaingan geopolitik antara kuasa-kuasa utama, kumpulan-kumpulan ini berperanan sebagai proksi kepada kuasa-kuasa luar, tetapi pada masa sama mempunyai kepentingan tersendiri yang mahu dipertahankan dan dicapai, dan bukan sepenuhnya semata-mata alat kepada kuasa terbabit.

Lima kumpulan ini ialah aktor bukan negara paling menonjol sepanjang tahun-tahun lalu dan paling utama pada 2017, dan akan memainkan peranan lebih luas pada tahun 2018 ini, hasil pengaruh yang telah dibina.

1. Pasukan Mobilisasi Rakyat

Pasukan Mobilisasi Rakyat, dalam bahasa Arabnya Hashd as-Shaabi ialah satu gabungan puluhan militia Iraq yang ditubuhkan oleh kerajaan Iraq pimpinan Perdana Menteri Haider al-Abadi. Tetapi kumpulan ini sering dilihat sebagai sepenuhnya proksi Iran, disebabkan kumpulan Syiah yang mendominasinya.

Pasukan ini dibentuk oleh semua etnik termasuk Arab dan Turki. Baghdad kini berusaha menyerap elemen dalam pasukan ini ke dalam tentera Iraq, tetapi pada masa sama beberapa kumpulan yang didanai dan disokong Iran bertindak untuk kepentingannya dan kepentingan Iran.

Dalam kalangan kumpulan-kumpulan Syiah, selain yang dinaungi Tehran, sebahagian menurut kepimpinan Ayatullah Ali al-Sistani. Hasil kejayaan memerangi ISIS dan peranan dalam menangani militan Kurdi, Hashd al-Shaabi kini mempunyai pengaruh politik tersendiri di Iraq, melibatkan masyarakat Syiah dan juga Sunni.

2. Taliban

Taliban kekal sebagai kumpulan paling dominan di Afghanistan walaupun selepas pemerintahannya di Kabul dihapuskan, disebabkan sokongan pihak luar terutama Pakistan dan juga Iran kemudian. Sejak 2016, penguasaan Taliban semakin luas di seluruh Afghanistan, dan semakin diiktiraf peranannya oleh pihak luar.

Taliban dibina dan disokong oleh etnik utama, Pashtun, dan perkembangan sejak beberapa tahun ini meningkatkan lagi pengaruhnya. Kajian BBC baru-baru ini mendapati Taliban kini aktif di 70 peratus wilayah Afghanistan. Pada Oktober tahun lalu, sebuah kumpulan pemerhati Amerika Syarikat mendapati Taliban semakin meluaskan pengaruh sepanjang enam bulan hingga Ogos tahun lalu, dan telah menguasai 13 peratus daripada 407 daerah di Taliban.

Pakistan pada hujung tahun lalu mendakwa pengaruhnya terhadap Taliban semakin terhakis, dan pihak lain seperti Rusia kini mungkin lebih mampu mempengaruhi Taliban.

3. Houthi

Kumpulan Houthi kini menguasai ibu negara Yaman, Sanaa, dan telah muncul sebagai kumpulan terkuat di Yaman, menguasai kawasan paling ramai populasi dan didiami kabilah-kabilah utama.

Selepas Ali Abdullah Saleh dibunuh dan kumpulan Islah merosot pengaruhnya, Houthi yang sebelum ini mara dan menguasai Sanaa hasil kerjasama dengan tentera yang setia dengan bekas presiden kini berada di kedudukan paling selesa untuk menjadi pemerintah Yaman, walaupun hanya Yaman sebelah utara yang dikuasainya.

Walau bagaimanapun, Houthi tidak dijangka dapat memainkan peranan sebagai pemerintah dan pentadbir Yaman secara bersendirian ekoran ketiadaan pengalaman. Pada masa sama, Arab Saudi kekal menyokong kempen ketenteraan dan kepungan yang semakin melumpuhkan Yaman, memberi kesan pada keupayaan Houthi untuk terus mendominasi, dan di sebelah selatan, kumpulan pemisah telah mengukuhkan kedudukan dan sedang menuju pemisahan seperti sebelum tahun 1990.

4. Militan Kurdi

Dua kumpulan utama Kurdi berperanan di medan masing-masing, iaitu Peshmerga di utara Iraq dan Pasukan Pertahanan Rakyat atau YPG di utara Syria bersempadan dengan Turki. Kedua-duanya berpegang pada ideologi berbeza, tetapi mempunyai persamaan dalam perjuangan kemerdekaan etnik Kurdi.

Peshmerga ialah pasukan bersenjata pihak berkuasa Kerajaan Wilayah Kurdistan di utara Iraq, dan YPG ialah pasukan militia Kurdi di Syria yang kini menuntut autonomi, ditubuhkan oleh badan politik Kurdi Syria tetapi turut disertai etnik lain dan sukarelawan luar terutama dari Barat.

Tidak seperti Kurdi Iraq, YPG dan Kurdi Syria mempunyai hubungan rapat dengan Parti Pekerja Kurdistan di Turki yang dianggap sebagai teroris. Kedua-dua militia Kurdi ini berperanan cemerlang dalam perang dengan ISIS dan terus menerima bantuan daripada Amerika Syarikat, terutama Kurdi Syria pada masa ini. Kurdi Syria kini sedang diperangi oleh Turki, yang menganggap mereka yang bersekutu dengan PKK sebagai satu ancaman.

5. Pemisah Yaman selatan

Majlis Transisi Selatan ialah gabungan kumpulan di selatan Yaman yang menuntut pemisahan daripada Yaman yang disatukan pada 1990, penyatuan yang meneruskan penguasaan Ali Abdullah Saleh ke atas Yaman selama 30 tahun.

Kumpulan pemisah ini dipimpin oleh Mejar Jeneral Aidarus al-Zubaidi, yang memegang jawatan gabenor Aden dari Disember 2015 hingga April 2017. Kumpulan pemisah selatan ini semakin menggiatkan usaha membebaskan diri daripada Yaman yang bersatu kebelakangan ini dan menerima sokongan daripada Emiriyah Arab Bersatu, yang memasuki Yaman menerusi kempen ketenteraan pimpinan Arab Saudi pada 2015.

Abu Dhabi melalui kuasa ketenteraan dan bantuan kewangan mengukuhkan penguasaan pihak pemisah, sehingga meminggirkan pemerintah yang diiktiraf pimpinan Presiden Abdrabbuh Mansour Hadi. Minggu lalu, pihak pemisah selatan merampas pusat pemerintahan di Aden yang dijadikan pusat pemerintahan sementara kerajaan Yaman selepas Sanaa ditawan Houthi.

HARIS ZALKAPLI

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

forty − thirty four =