Khutbah Jumaat : Hidayah Allah

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG
HIDAYAH ALLAH

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُۥ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْمَبْعُوْثُ رَحْمَةً لِلْعَالَمِيْنَ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، ٱلرَّحْمَةِ المُهْدَاةِ وَالنِّعْمَةِ المُسْدَاةِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.
أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa. Maka demi sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita memberi perhatian kepada seruan dan peringatan daripada Allah s.w.t:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَجِيبُوا لِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيكُمْ ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ يَحُولُ بَيْنَ الْمَرْءِ وَقَلْبِهِ وَأَنَّهُ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ ﴿٢٤﴾ وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَّا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنكُمْ خَاصَّةً ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ ﴿٢٥﴾ [سورة الأنفال: ٢٥-٢٤]

(Maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan Rasul-Nya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepada-Nyalah kamu akan dihimpunkan. Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya.

Ayat ini mengingatkan kita supaya sungguh-sungguh memberi perhatian kepada ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w yang menerimanya dengan amanah daripada Allah s.w.t dan menyampaikannya juga dengan amanah serta diteruskan oleh ulamak-ulamak yang menyampaikan ajaran itu secara amanah juga.

Walaupun demikian, Allah s.w.t yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana menentukan sesiapa yang layak untuk mendapat hidayah (petunjuk), lalu menerima Islam, iaitu mereka yang benar hatinya dan ikhlas kepada Allah s.w.t. Ada pun mereka yang sombong dan takbur serta merasakan dirinya bijak dan pandai, tetapi lupakan Allah s.w.t. Walaupun dia bijak dan pandai, tetapi tidak mendapat hidayah daripada Allah s.w.t.

Di sinilah kita diajar pada tiap-tiap rakaat sembahyang berdoa:

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ ﴿٦﴾ [سورة الفاتحة: ٦]

(Maksudnya): Tunjukkanlah kami jalan yang lurus.

Termasuk nabi Muhammad s.a.w, para sahabat radhiAllahu ‘anhum, para ulamak yang paling alim dan orang yang sejahil-jahil mestilah menyebut اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ (tunjukkanlah kami jalan yang lurus).

Allah s.w.t telah menunjukkan makhluk yang sangat cerdik dan sangat bijak yang mengenal Allah s.w.t berada di alam malakut bersama dengan malaikat, tetapi sifat sombong ada di dalam dirinya iaitu iblis tidak mendapat hidayah daripada Allah s.w.t.

Begitu juga kalangan ulamak-ulamak ahli kitab daripada orang-orang yahudi dan orang-orang nasrani yang membaca di dalam kitab-kitab mereka, mengetahui tanda-tanda nabi akhir zaman Muhammad s.a.w, tetapi kerana taksubnya kepada bangsanya, dirinya, keluarganya dan puaknya, merasa diri mereka bijak, mereka tidak mendapat hidayah daripada Allah s.w.t.

Di sinilah perlunya kita belajar dan mengaji dengan bersungguh-sungguh, mendengar perkara agama Islam dan seterusnya dengan hati yang ikhlas memohon petunjuk daripada Allah s.w.t.

Firman Allah Ta’ala:

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ ﴿٦٩﴾ [سورة العنکبوت: ٦٩]

(Maksudnya): Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.

Sesiapa yang berbuat baik tetapi tidak ikhlas kerana Allah s.w.t juga tidak mendapat petunjuk daripada Allah s.w.t.

Sesungguhnya perkara hidayah ini sangat penting di zaman mutakhir atau di akhir zaman ini, zaman manusia dilanda oleh fitnah dan bencana yang mengelirukan mereka. Disebut peristiwa akhir zaman oleh Rasulullah s.a.w apabila berlakunya masa yang panjang wafatnya Nabi s.a.w:

سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ قِيلَ وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ قَالَ الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ. [رواه ابن ماجه عن أبي هريرة]

(Maksudnya): Akan datang tahun-tahun yang penuh dengan pendustaan yang menimpa manusia; orang yang benar didustakan, pendusta dipercayai, amanah diberikan kepada pengkhianat, orang yang jujur dikhianati. Dan Al-Ruwaibidhah turut berbicara. Lalu beliau ditanya, “Apakah Al-Ruwaibidhah itu?” Beliau menjawab: “Orang-orang yang bodoh yang mengurus urusan perkara umum”.

Manusia akan menjadi hanyut dalam keadaan yang sangat mengelirukan serta tidak mengetahui benar dan salah. Semua bercakap tentang agama Islam, khususnya Islam menjadi perkara yang laku dan laris. Setelah gagalnya agama-agama dan ajaran-ajaran yang lain daripada Islam, mereka yang menentang juga bercakap dengan Islam dan bersama dengan Islam, tetapi memesongkan manusia daripada ajaran Islam. Namun Nabi kita Muhammad s.a.w telah meninggalkan pesaka yang wajib dipegang oleh umat Islam. Sabdanya:

تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ. [رواه امام مالک]

(Maksudnya): Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengan keduanya. Iaitulah kitabullah dan sunnah nabi-Nya.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَ‌ٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا ﴿٥٩﴾ [سورة النساء: ٥٩]

(Maksudnya): Maka jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي الْكِتَابِ وَالسُنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

fifty − = forty