Umat Islam Mesti Berani Pertahankan Baitulmaqdis

Temubual Berita Harian bersama Naib residen KUIS

Umat Islam Mesti Berani Pertahankan Baitulmaqdis

Mutakhir ini, isu pengiktirafan Baitulmaqdis di Palestin sebagai ibu kota Israel oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendapat tumpuan umat Islam seluruh dunia. Pelbagai bentuk protes dan bantahan terhadap isu ini dizahirkan. Wartawan BH, Hanneeyzah Bariah Baharin mendapatkan pandangan Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) yang juga Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang mengenai isu ini, sekali gus menyingkap peranan umat dan negara Islam yang perlu dilakukan untuk menangani kejahatan musuh Islam ini.

BH: Bagaimanakah Dato’ Seri melihat penindasan Israel terhadap umat Islam di Palestin dan isu penaklukan Baitulmaqdis oleh AS?

TGHH: Pertama, kita perlu memahami Baitulmaqdis dan Palestin. Tempat ini berkait dengan agama. Agama Nabi-Nabi AS, al-Quran, hadis dan Nabi SAW juga menyebut Baitulmaqdis adalah tanah suci umat Islam. Tempat penghujung israk (perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis) dan bermulanya mikraj (perjalanan naik Rasulullah SAW dari Masjid al-Aqsa ke Sidratul Muntaha). Ia adalah tempat yang digalakkan dalam Islam untuk melawat dan beribadat di Masjid Al-Aqsa.

Dalam al-Quran menyebut bahawa tidak ada pemerintah yang boleh mengizinkan penganut agama lain menguasai Baitulmaqdis melainkan Islam. Apabila Kristian ortodok Byzantine menguasai Baitulmaqdis, mereka menindas kaum agama lain termasuk Yahudi. Sebelum ini, Yahudi juga menindas penganut agama lain. Begitu juga apabila tentera salib daripada Kristian Katolik dan Protestan menguasai Baitulmaqdis, mereka juga menindas dan tidak izin penganut agama lain, sehinggalah Saidina Umar membebaskan Baitulmaqdis dan membuat perjanjian dan sehinggalah penaklukan Salahuddin Al-Ayubi dan dibenarkan penganut agama lain mengerjakan ibadah di Baitulmaqdis.

Tindakan British melalui Perjanjian Balfour 1917 adalah perjanjian daripada mereka yang telah memiliki Palestin dan memberi kepada mereka yang tidak berhak. British menyerahkan Palestin kepada Yahudi. British bukan tuan punya Palestin. Yahudi tidak berhak di bumi Palestin itu. Yang berhak ialah Islam. Ini ada kaitan dengan agama. Bahkan termasuk orang Yahudi sendiri, Allah minta Nabi Musa dan Nabi Harun masuk ke Palestin dengan membebaskan daripada kezaliman kaum Jabbarin supaya menegakkan kitab Taurat, kitab Allah SWT. Apabila Yahudi meninggalkan kitab Taurat mereka dibinasakan, dihalau daripada Baitulmaqdis. Sehingga Islam berkuasa semula dan sehingga zaman kelemahan orang Islam British menakluk dan dilaksanakan Perjanjian Sykes-Picot, membahagikan Palestin dan serah pada Yahudi. Ini satu pencabulan terhadap kedudukan Islam, pencabulan terhadap hak politik yang sebenar bagi bumi Palestin.

BH: Di dalam al-Quran disebutkan bahawa Baitulmaqdis itu hak orang Islam, tetapi ia tidak diisytiharkan, menyebabkan ada usaha Israel untuk menguasai Baitulmaqdis.

TGHH: Perjanjian resolusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sangat lemah, membahagikan Baitulmaqdis kepada dua bahagian, iaitu satu Islam dan satu Yahudi. Itu satu yang sangat lemah kerana tunduk kepada pengaruh kuasa besar dunia yang mewujudkan negara Israel. Negara Israel diwujudkan oleh pakatan kuasa besar dunia yang diketuai oleh British dan Amerika Syarikat selepas perang dunia kedua dan sebelumnya ialah Perjanjian Balfour dilaksanakan pada 1948. Mereka membuat keputusan mengiktiraf negara Israel secara cara paksaan, dengan pengaruh orang Yahudi melalui pertubuhan Zionis. Kita semua tahu bahawa semua itu kepentingan AS.

Semua Perdana Menteri Amerika Syarikat, British termasuk Presiden Palestin pun, kalau mahu menang pilihan raya mesti sokong Zionis, Yahudi. Kalau tak sokong Yahudi, tidak menang pilihan raya kerana Zionis menguasai ekonomi. Bank menguasai media dan mereka kuasai rakyat. Oleh sebab itu semua calon presiden atau perdana menteri ini dipengaruhi oleh Zionis. Ini yang berlaku. Oleh kerana itulah dengan mudah mereka mewujudkan negara Israel dengan cara yang tidak halal, tidak sah. Negara yang sekitar Palestin itu, negara Arab, ialah negara yang dibahagikan oleh kuasa penjajahan selepas kejatuhan Uthmaniah. Dibahagikan kalangan pemimpin yang menyokong pihak barat dalam perang dunia pertama dan perang dunia kedua. Ini yang berlaku. Sebab itu kita kena sedar bahawa penubuhan Israel itu tidak sah daripada segi politik antarabangsa.

BH: Apakah kepentingan Baitulmaqdis kepada umat Islam?

TGHH: Ia satu-satunya tanah suci orang Islam dan tempat hujung Israk dan bermulanya Mikraj. Bahkan Nabi Muhammad SAW menggalakkan umat Islam menziarahi Baitulmaqdis. Ia dianggap tempat yang wajib dipertahankan oleh orang Islam. Baitulmaqdis tempat yang sangat mulia, kiblat pertama bagi orang Islam, sehingga beribadat di Baitulmaqdis menyamai 500 solat di masjid yang lain. Bukan sahaja daripada segi politik, tetapi juga kuat dari segi agama. Baitulmaqdis adalah hak umat Islam. Al-Quran juga menyebut, yang berhak menguasai Baitulmaqdis ialah mereka yang menegakkan kitab Allah, iaitu kitab Taurat. Sebab itu Islam yang menegakkan kitab Allah berhak ke atas Baitulmaqdis. Ini termasuk orang Arab sekali, kalau mereka tidak menegakkan Islam mereka tidak berhak.

BH: Mengapakah Yahudi dilaknat oleh Allah?

TGHH: Sebabnya mereka memperlekehkan Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul yang diutuskan oleh Allah. Ramai Rasul dibunuh oleh mereka. Mana-mana Rasul yang mereka setuju, mereka terima ikut hawa nafsu, mana yang tidak setuju, mereka bohongi dan bunuh, termasuk Nabi Musa AS. Yahudi tidak patuhi dan mereka main-mainkan juga. Ini perangai orang Yahudi sejak zaman dahulu kerana itu mereka dilaknat oleh Allah. Mereka meminda kitab Allah SWT. Yang halal diharamkan, yang haram dihalalkan, semata-mata kerana mengikut pemimpin dan bangsawan orang Yahudi.

BH: Ketika ini pelbagai pihak menyuarakan bantahan terhadap tindakan Amerika Syarikat untuk menakluk Baitulmaqdis. Apakah tindakan yang sepatutnya diambil dan cukupkah umat Islam sekadar berdoa sahaja?

TGHH: Apa yang menarik selepas Trump membuat kenyataan mengiktiraf Baitulmaqdis menjadi ibu kota bagi Israel, ia mendapat bantahan seluruh dunia. Bukan sahaja di kalangan orang Islam, termasuk kalangan negara Eropah dan negara komunis, kecuali Trump dan pengikutnya. Bahkan, ramai di AS sendiri pun tidak bersetuju dengan langkah drastik diambil Trump, kerana mereka mengetahui situasi yang sebenar di Baitulmaqdis. Apa yang penting ialah bagi orang Islam mesti mengambil peluang ini dengan berani. Oleh sebab itu, Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC di Istanbul, Turki itu sangat menarik dan disertai oleh semua pemimpin negara. Malangnya ada pemimpin negara yang masih malu-malu dan takut untuk hadir pada sidang yang penting itu.

BH: Apakah tindakan KUIS?

TGHH: KUIS mesti mengambil peluang dengan pengaruh yang ada dalam masyarakat, menggerakkan rakyat supaya bangkit untuk mempertahankan Baitulmaqdis. Sehingga hari ini protes berlaku di seluruh pelusuk dunia. Kita melihat demonstrasi bukan sahaja di Baitulmaqdis, dengan gagah berani, tidak tunduk pada kekerasan Israel termasuk di negara Arab dan negara Islam dari Morocco sehingga Malaysia dan Indonesia berlaku bantahan itu, sama ada oleh rakyat atau kerajaan. Kita wajib sedarkan masyarakat mengenai isu ini.

BH: Apakah seruan Dato’ Seri kepada umat Islam khususnya di Malaysia untuk menghadapi isu ini?

TGHH: Umat Islam di Malaysia mesti menyediakan satu saf atau kumpulan Islam yang menjadi mata rantai yang tidak putus dengan saudara seislam di mana sahaja mereka berada. Kita anggap gerakan mempertahankan Baitulmaqdis ini kepalanya di Baitulmaqdis, ekornya di Malaysia, Indonesia, Morocco dan seluruh pelusuk dunia Islam. Sebab itu kita menjadi gelombang yang tidak putus lalu menghidupkan isu ini sehingga Baitulmaqdis dibebaskan.

BH: Apakah yang patut dilakukan kerajaan kita. Ada pihak menganggap memutuskan kerjasama politik dan ekonomi dengan AS adalah jalan terbaik. Pandangan Dato’ Seri?

TGHH: Dalam polisi hubungan antarabangsa dan Islam, Islam membezakan di antara kerajaan dengan rakyat. Oleh sebab itu dalam hukum Islam, kita boleh mengadakan hubungan dagang dengan sesiapa sahaja yang bersifat damai dengan Islam, daripada negara sesama Islam sehingga negara yang tiada kaitan dengan Islam. Itulah adilnya Islam. Dalam Islam hubungan dengan rakyat dan hubungan dengan negara, dua perkara berbeza. Oleh sebab itu, tindakan Trump itu adalah kejahatan dia sahaja. Kita tahu bukan semua di AS itu setuju dengan tindakan Trump. Maka kerajaan perlu memilih dengan cara yang tepat, kalangan yang kita perlu menjalinkan hubungan dengan mereka. Ini sebahagian daripada pintu dakwah yang terbuka pada orang bukan Islam.

BH: Bagaimana peranan OIC setakat ini. Adakah ia memainkan peranan berkesan dalam isu ini?

TGHH: Sekurang-kurangnya OIC menjadi simbol yang masih dihormati oleh orang Islam walaupun hakikatnya ia lemah. Apa yang penting ialah pemimpin negara Islam mesti proaktif dalam tindakan mereka. Mereka mesti tunduk kepada kemahuan umat dan rakyat, bukan tunduk kepada kuasa besar dunia yang mempengaruhi mereka. Kita perlu sedar kedudukan pemimpin negara Islam bergantung kepada rakyat mereka, bukan bergantung dengan kuasa besar dunia. Kuasa besar dunia melindungi mereka kerana ada kepentingan. Sedangkan rakyat menghormati mereka (kerajaan) dengan ikhlas. Kalau sekiranya pemimpin ini tidak menghormati rakyat, mereka boleh dijatuhkan oleh rakyat pada bila-bila masa sahaja.

BH: Masyarakat mutakhir ini dilihat lebih sibuk dengan media sosial dan perkara lagha (tidak berfaedah), sehingga meminggirkan perkara jihad untuk Islam. Komen Dato’ Seri?

TGHH: Media sosial adalah alat untuk kita melakukan komunikasi dengan semua pihak. Ada perhitungan dosa dan pahala dalam Islam. Sekiranya kita manfaatkan dalam perkara yang menyuruh kepada yang baik dan membawa kepada kebaikan, menyedarkan dan menginsafkan masyarakat, membetulkan yang salah, ini dapat pahala. Sekiranya kita gunakan untuk kemungkaran, menyebarkan pembohonan dan fitnah, dapat dosa. Kita umat Islam mesti konsisten dengan dasar, konsep dan prinsip kita, dengan akhlak kita yang boleh dijadikan contoh oleh pihak lain.

BH: Bagaimana Dato’ Seri melihat peranan Malaysia dalam isu Baitulmaqdis ini?

TGHH: Malaysia perlu memainkan peranan salah satu negara Islam tanpa dinafikan Malaysia adalah sebuah negara umat Islam. Apa lagi perlembagaan kita dengan nyata dan tegas menyatakan Islam adalah agama persekutuan. Apa yang penting ialah kita terjemahkan Islam sebagai agama persekutuan melalui kenyataan, bukan sahaja dalam simbol, tetapi juga amalan kita dan hubungan antarabangsa. Oleh sebab itu daripada segi hubungan antarabangsa secara khusus, Malaysia mesti mengutamakan negara umat Islam serantau dan tidak putus dengan sesiapa sahaja. Ini konsep hubungan antarabangsa dalam Islam.

BH: Adakah KUIS akan mengadakan sebarang himpunan dalam masa terdekat berhubung isu Baitulmaqdis ini?

TGHH: Setakat ini satu perjumpaan ahli KUIS sudah diadakan di Istanbul baru-baru ini, tetapi saya tidak dapat pergi kerana saya uzur dan mungkin akan dibuat lagi di negara lain. Memang kita galakkan supaya protes terhadap Trump dilakukan di seluruh pelusuk dunia bukan sahaja di ibu negara, tetapi juga di bandar untuk menyatakan rasa umat Islam di seluruh dunia.

BH: Kata-kata akhir Dato’ Seri dari kerusi Naib Presiden KUIS?

TGHH: Walaupun KUIS menghadapi ujian apabila dituduh oleh pihak tertentu dan disenaraikan sebagai kumpulan pengganas, apa yang penting ialah supaya semua pihak berfikir secara rasional, kerana pertubuhan ini bersifat ilmu, akademik, bersifat badan bukan kerajaan (NGO) untuk masyarakat, yang menyentuh pelbagai isu dalam Islam, yang mengutamakan hujah, di mana kumpulan ini menggalakkan umat Islam supaya mendahulukan kedamaian dalam semua pendekatan terhadap pihak yang lain. Ini pendekatan KUIS. Walaupun tidak dipersetujui oleh kalangan kuasa pemerintah kerana dianggap ancaman kepada mereka. Itu satu hal yang lain.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

thirty + = 38