Hukum Demonstrasi Aman Untuk Palestin

 BAYAN LINNAS SIRI KE- 122: HUKUM DEMONSTRASI AMAN UNTUK PALESTIN

Mukadimah

Palestin merupakan salah satu tanah suci buat umat Islam seluruh dunia dan di sana juga diutuskan ramai para anbiya’ (nabi) dan rasul. Di samping itu juga, telah menjadi satu kewajipan buat umat Islam untuk mengasihi dan mencintai Bait al-Maqdis kerana kota suci ini disebut di dalam al-Qur’an sebagai ssebuah kota yang diberkati oleh Allah SWT sekelilingnya kerana tempat tersebut telah menjadi tempat perjalanan Nabi SAW pada peristiwa Isra’ dan Mi’raj:

 

Firman Allah SWT:

 

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

al-Isra’ : 1

Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari masjid al-Haram (di Makkah) ke masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

 

Menurut Syeikh Wahbah al-Zuhaili di dalam tafsirnya yang masyhur, masjid al-Aqsa di dalam surah al-Isra’ ini adalah Bait al-Maqdis. Dinamakan masjid al-Aqsa adalah disebabkan jaraknya yang jauh daripada masjid al-Haram. Adapun, ia juga merupakan masjid yang paling jauh daripada ahli Makkah di atas muka bumi ini yang dituntut atau disyariatkan bagi kita untuk menziarahinya. [Lihat: Tafsir al-Munir, 13/15]

 

Pada zaman Umar bin al-Khattab RA telah dibuka Bait al-Maqdis pada tahun 16 Hijrah sebagaimana yang dinyatakan oleh para pengkaji atau sarjana yang menulis tentang sejarah. Selain itu juga, Umar bin al-Khattab RA telah pergi ke sana dengan dirinya dan memperbaiki masyarakat di sana serta membersihkan tanah suci tersebut daripada golongan Yahudi dan Nasrani lalu membuka kota tersebut dengan membina sebuah masjid. [Lihat: al-Bidayah wa al-Nihayah, 55-57/7]

Di samping itu juga, kita dituntut untuk tidak menyusahkan diri dalam bermusafir melainkan pada tiga buah masjid sahaja iaitu masjid al-Haram, masjid al-Nabawi dan juga masjid al-Aqsa berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam kitab Sahihnya:

 

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ: المَسْجِدِ الحَرَامِ، وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَمَسْجِدِ الأَقْصَى

Maksudnya: “Janganlah kamu bersusah payah mengembara (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga buah masjid iaitu masjid al-Haram, masjid Rasulullah SAW dan juga masjid al-Aqsa.” [Riwayat al-Bukhari (1189)]

 

Melihat kepada penjelasan di atas, jelas menunjukkan kepada kita akan kelebihan dan fadhilat yang terdapat pada masjid al-Aqsa atau bumi Palestin itu sendiri. Justeru, kita sebagai umat Islam dituntut untuk sentiasa mengasihi dan mencintai tanah suci ini dan mempertahankannya daripada segala ancaman dan juga anasir yang tidak baik.

 

Hukum Melakukan Demonstrasi Aman

Baru-baru ini, berita yang amat mengejutkan umat Islam di seluruh dunia bahawa Kota Bait al-Maqdis telah diisytiharkan sebagai ibu negara Israel pada tanggal 7 Disember 2017 oleh presiden Amerika Syarikat dan ia telah menjadi tragedi yang amat buruk kepada umat Islam keseluruhannya.

 

Rentetan daripada peristiwa ini, maka kebanyakan umat Islam samada di negara Islam dan bukan Islam telah melakukan demonstrasi bagi membantah keputusan ini, termasuklah di negara kita sendiri. Berkaitan isu ini, kami melihat demonstrasi aman adalah dibenarkan selagimana ia tertakluk kepada beberapa dhawabit (garis panduan) dan jika demonstrasi itu diadakan tanpa mematuhi dhawabit ini maka hukumnya berubah daripada dibenarkan kepada tidak dibenarkan.

 

Antara dhawabit yang perlu dipenuhi dalam mengadakan demonstrasi aman ini adalah:

 

  • Tidak membahayakan nyawa dan keselamatan semua pihak.
  • Tidak merosakkan harta benda awam serta mengotorkan tempat perhimpunan.
  • Tidak mengganggu masyarakat awam yang tidak menyertai perhimpunan.
  • Tidak melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan imej Islam.
  • Mematuhi arahan pihak berkuasa.
  • Mengelakkan percampuran yang tidak terkawal antara lelaki dan wanita.
  • Bersurai dalam keadaan yang aman.

 

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Demonstrasi adalah wasilah daripada cara mentadbir dan menzahirkan pandangan. Ia juga termasuk dalam cara mengubah dan memberi tekanan kepada pihak tertentu. Jika sekiranya ini benar, maka perubahan adalah lebih baik dan ketika itu demostrasi adalah halal (dibenarkan). Seperkara lagi, hukum demostrasi adalah hukum berkaitan cara atau wasilah dan setiap cara atau wasilah itu mestilah mempunyai hukum, matlamat dan kesudahannya.

 

Begitu juga, cara seperti ini termasuk di dalam masalih al-Mursalah yang tidak terbentuk pensyariatannya berdasarkan nas yang khas. Ini kerana, umum nas dan maqasid al-Syariah menunjukkan ke arah itu. Ini adalah pendapat yang diutarakan oleh Syeikh Dr. al-Syarif Hatim bin Arif al-Auni berkaitan hukum demonstrasi secara aman.

 

Antara contoh yang boleh diambil berkaitan demonstrasi ini adalah, peristiwa di mana sahabat Nabi SAW keluar melakukan demonstrasi (bantahan) pada hari peperangan al-Jamal bagi menuntut keadilan terhadap darah Saidina Uthman bin Affan RA. Antara yang mengepalai demonstrasi tersebut adalah al-Zubair bin al-Awwam. Thalhah bin Ubaidillah dan juga Aisyah R.anha.

 

Untuk itu, seperti yang kami nyatakan bahawa demostrasi adalah salah satu wasilah maka hukumnya adalah berdasarkan matlamat atau maksud yang digunakan kerananya. Jika membawa kepada yang ma’ruf (baik) atau nahi munkar (mencegah kemungkaran) maka ia termasuk pada umum dalil yang memerintahkkan akannya (iaitu perintah agar menyeru  kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran).

Dalam isu Palestin ini khususnya di Bait al-Maqdis adalah jelas pembelaan terhadapnya adalah menjadi tanggungjawab bagi setiap orang Islam. Seterusnya isu palestin atau Bait al-Maqdis adalah isu pertembungan di antara Yahudi dan juga umat Islam.

 

Tambahan pula, isu kezaliman dan penindasan ini termasuk di dalam hal menolong atau membantu saudara-saudara seagama yang dizalimi. Selain itu juga, dengan demonstrasi akan membuka mata pihak musuh betapa seriusnya umat Islam dalam isu ini dan bantahan daripada pihak antarabangsa dengan berskala besar juga dapat memberi impak yang amat besar kepada Israel dan musuh serta menjadi tekanan yang amat berkesan kepada mereka.

 

Penutup

Kesimpulannya, kita sebagai seorang muslim yang mengaku beriman kepada Allah SWT dan rasul-Nya perlu mengambil berat dan cakna akan isu ini kerana ia melibatkan salah satu daripada kota suci umat Islam. Kami menyeru kepada umat Islam agar sentiasa bermunajat dan berdoa serta solat untuk menghilangkan kabus luka hati umat Islam berkaitan apa yang berlaku di Bait al-Maqdis. Semoga Allah sinarkan cahaya kebebasan untuk Bait al-Maqdis dan juga masjid al-Aqsa daripada cengkaman zionis. Amin Ya Rabb al-Alamin.

 

Wallahua’lam

 

 

Akhukum fillah,

 

S.S. Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

12 Disember 2017

23 Rabiul Awal 1439H

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

fifty four + = fifty seven