Analisis Surat Da’wah Nabi Kepada Rom

ANALISA SURAT DA’WAH NABI KEPADA ROM.

Nabi telah mengutus surat da’wah kepada Maharaja Rom, Heraclius. Ia sarat dengan mesej da’wah yang cukup berhikmah. Walaupun negara Islam Madinah baharu berusia 3 tahun dan hanya mempunyai kekuatan tentera kira-kira 3000 orang, Nabi mengajar kita bagaimana cara memelihara harga diri dan maruah Islam dalam berda’wah walaupun ketika berdepan dengan kuasa besar.

Dr. Raghib Sarjani menjelaskan bahawa isi kandungan surat Nabi menggambarkan betapa jelas, kuat, hebat dan penuh hikmah yang terkandung di setiap susunan kalimah yang digunakan oleh baginda.

⚫ Isi Kandungan Surat.

“Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Dari Muhammad hamba Allah dan RasulNya, kepada Heraclius Maharaja Rom. Salam sejahtera buat sesiapa yang mengikuti petunjuk. Adapun.

Dengan ini aku menyerumu agar memeluk Islam. Islamlah kamu, nescaya kamu selamat. Allah akan mengurniakan kamu dua kali ganda ganjaran. Namun jika kamu enggan, tanggunglah kamu dosa orang-orang Arisin”

(Firman Allah, surah Ali Imran ayat 64)

“Wahai Ahli Kitab, marilah bersama berpegang dengan satu kalimah yang sama antara kami dan kamu. Bahawa kita tidak mengabdikan diri selain kepada Allah, dan kita tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu pun. Tidak menjadikan sesama kita sebagai pemutus selain dari Allah. Jika mereka berpaling, ucapkanlah bahawa kami adalah orang-orang Islam” – riwayat Bukhari.

⚫ Mendahulukan Allah.

Nabi memulakan suratnya dengan lafaz Basmalah. Bukan hanya sebagai lafaz yang berkat. Bahkan ia merupakan kempen awal bahawa da’wah ini semata-mata membawa mesej dari Allah.

⚫ Menjelaskan Identiti.

Nabi tidak berselindung. Sebaliknya baginda memunculkan dirinya dengan jujur memperkenalkan nama sendiri, tanpa gelaran-gelaran tambahan.

“Dari Muhammad hamba Allah dan RasulNya”

Tergabung antara elemen jujur dan gah. Memperakui dirinya sebagai hamba Allah yang taat, pada masa yang sama memperingatkan Rom bahawa dirinya juga adalah Rasul yang dijanjikan. Membawa mandat dari Allah.

⚫ Tidak Memperlekeh Orang.

Walaupun Heraclius itu kafir, baginda tidak melancarkan perlekehan kepadanya. Sebaliknya Nabi tetap memanggil Heraclius dengan panggilan yang sewajarnya.

“Kepada Heraclius Maharaja Rom”

Sebutan ini sedikit pun tidak merendahkan kedudukan Nabi. Bahkan ia menggambarkan betapa tinggi harga diri Nabi yang pandai menghormati orang.

⚫ Mendoakan Hidayah Buat Sasaran Da’wah.

Nabi mengucapkan selamat kepada sesiapa pun yang mengikuti jalan hidayah. Tidak kira siapa pun dia. Sekaligus baginda menjelaskan bahawa da’wah ini bukan demi kepentingan sesiapa, melainkan demi keselamatan diri masing-masing.

“Salam sejahtera buat sesiapa pun yang mengikuti petunjuk”

⚫ Terus Terang.

Nabi menjalankan da’wah secara terus terang. Ia penting demi menghapuskan alasan kononnya da’wah Nabi tidak difahami. Baginda tidak berlengah dengan ayat berbunga dan gimik yang melencongkan mesej utama da’wah.

“Dengan ini aku menyerumu agar memeluk Islam. Islamlah kamu, nescaya kamu selamat”

Kenyataan yang cukup tegas. Perkiraan kawan dan musuh bergantung kepada sikap seseorang terhadap Islam. Jika dia menyahut seruan Islam, maka hubungannya selamat. Jika dia bermusuh dengan Islam, maka dia bermusuh dengan Nabi. Prinsip ini jelas.

⚫ Motivasi Pahala.

Heraclius merupakan seorang Ahli Kitab. Penganut ajaran Kristian Ortodok yang cukup menyanjungi Nabi Isa. Mereka masih menyimpan wasiat Nabi Isa, betapa perlunya menyahut seruan Nabi Akhir Zaman. Lantas Nabi menjelaskan, jika beriman, mereka akan beroleh bonus pahala berganda kerana beriman dengan ajaran Nabi Isa dan ajaran Nabi Muhammad.

“Allah akan mengurniakan kamu dua kali ganda ganjaran”

Pendekatan ini menjinakkan hati sasaran da’wah. Perlu diingat, motivasi di dalam da’wah mestilah dengan perkara yang benar. Bukan dengan janji kosong lagi tipu.

⚫ Diseimbangkan Dengan Ancaman.

Nabi tegas mengancam golongan yang degil enggan menerima Islam. Elemen ancaman merupakan pengimbang kepada elemen motivasi. Agar sasaran da’wah tidak hanyut dan longgar berlengah-lengah menerima Islam.

“Namun jika kamu enggan, tanggunglah kamu dosa orang-orang Arisin”

Dr. Raghib Sarjani menerangkan bahawa golongan Arisin adalah pengikut-pengikut Heraclius. Bermaksud jika Heraclius kekal kafir, lantas kekufurannya terus diikuti oleh pengikut-pengikutnya. Maka Heraclius mesti bertanggungjawab menanggung dosa kekufuran pengikut-pengikutnya.

⚫ Da’wah Nabi.

Jika kita melihat, kaedah da’wah Nabi sarat dengan unsur jujur, beretika, berterus-terang tidak berlengah serta dipakejkan antara motivasi dan ancaman. Betapa lengkapnya da’wah Nabi, lantas melenyapkan ruang alasan kononnya orang tidak faham mesej Islam yang dibawa oleh baginda.

Ikutilah baginda, kita akan pasti selamat.

Abdul Mu’izz Muhammad
4 Disember 2017.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

+ forty six = fifty two