Apa Yang Sedang Berlaku Di Arab Saudi?

Apa Yang sdang Berlaku Di Arab Saudi?

DI Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed bin Salman sedang segera mengukuhkan kuasanya dalam persediaan untuk menjadi raja menggantikan bapanya Salman bin Abdul Aziz – yang kini dilihat sedang menghabiskan hari-hari terakhirnya sebagai raja – melalui tindakan terbaru menahan pesaing dan pencabarnya atas alasan berkait korupsi.

Kemaraan pantas Mohammed ini telah dijangka, tetapi kepantasannya kebelakangan ini dan tindakan-tindakan berani yang dilaksanakan tetap mengejutkan, apabila nama-nama besar berpengaruh di Arab Saudi dan mempunyai hubungan peringkat antarabangsa yang luas turut ditahan.

Tindakan terkini Mohammed ini menyempurnakan pengukuhan kuasa sebagai bakal pengganti raja selepas sejak awal Salman ditabalkan sebagai raja, adat dan konvensyen yang telah berjalan untuk mengimbangi kuasa antara kelompok anak-anak Abdul Aziz selama ini telah diabai dan dilanggar.

Beberapa bulan lalu pada bulan Jun, Mohammed bin Nayef disingkir daripada kedudukan putera mahkota memperlihatkan dengan jelas lagi yang laluan untuk Mohammed bin Salman sedang dimudahkan malah dipercepatkan, selepas kedudukannya sebagai timbalan putera mahkota itu sendiri telah menunjukkan apa yang boleh dijangka bakal berlaku dalam masa yang tidak begitu lama.

Mohammed kini sedang menggerakkan agendanya sebagai persediaan untuk menjadi raja dan lebih penting daripada itu, mengepalai sebuah Arab Saudi yang baharu, yang sedang melaksanakan perubahan-perubahan drastik daripada usaha pembangunan teknologi kepintaran buatan, reformasi menuju ekonomi pascakarbon, hingga ke liberalisasi sosial yang kini kebebasan wanita sedang menjadi tumpuan utamanya.

Mohammed dilihat mahu mengemudi Arab Saudi memasuki satu era baharu, dan mahu memusatkan kuasa pada dirinya untuk lebih dapat menguasai dan memandu perubahan-perubahan yang dilaksanakan, yang secara langsung atau tidak akan mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai ketua negara.

Pewaris takhta ini, yang juga menjawat jawatan menteri pertahanan, telah memegang pusat-pusat kuasa utama yang boleh menjadi ancaman kepadanya, apabila Mohammed bin Nayef yang memegang kementerian dalam negeri disingkir, dan terbaru menguasai semua cabang pasukan keselamatan termasuk Pengawal Kebangsaan Arab Saudi.

Kemudian, beliau mengetuai jawatankuasa membanteras korupsi, yang menjadi senjata membolehkan tangkapan berpuluh tokoh berpengaruh termasuk pesaing-pesaing daripada kalangan putera lain termasuk Mutaib bin Abdullah dan putera bilionair al-Waleed bin Talal.

Tangkapan yang dilakukan jelas menampakkan persediaan awal dengan cara menghapuskan pesaing, tetapi juga memperlihatkan ketidakpastian apabila ada individu yang dianggap tidak menampakkan ciri pesaing turut ditahan.

Apa yang dilakukan juga dilihat sebagai satu pertaruhan yang berisiko kerana meramaikan lagi musuh, dan daripada kalangan yang berpengaruh di Arab Saudi sendiri, yang akan menyertai Mohammed bin Nayef dalam kalangan mereka yang disingkirkan dengan cara yang tidak terhormat.

Tindakan Mohammed juga telah mencetuskan kejutan dalam kalangan pelabur dan rakan bisnes lain, kerana tindakannya menahan puluhan individu terbabit mencetuskan satu keadaan ketidakpastian yang tidak disenangi komuniti bisnes dan pelabur.

Selepas ini, Mohammed memerlukan lebih lagi kekuatan dan kuasa koersif untuk meneruskan agendanya menguasai Arab Saudi, terutama menangani hal dalaman yang bakal muncul lagi selepas episod tangkapan beramai-ramai ini.

Selain isu dalaman, apa yang penting untuk diperhatikan kini ialah hala tuju dasar luar Riyadh kini, yang telah berjalan dengan lebih kepastian di bawah kawalan Raja Salman dan Mohammed sendiri sebagai pemain penting kerajaan bapanya.

Perubahan dan susunan dalaman yang dilakukan boleh dianggap sebagai satu persediaan untuk menggerakkan satu agenda dasar luar yang lebih agresif, dengan sekutu-sekutu rapat termasuk Amerika Syarikat, Emiriyah Arab Bersatu, Mesir dan juga Israel.

Dari Lubnan hingga ke Teluk Parsi dan seluruh dunia Islam, perkembangan ini akan memberi kesan yang meluas, yang kemungkinan akan mengulangi suasana sepanjang kemuncak kebangkitan Arab dan khususnya konflik di Syria, dengan sentimen sektarian yang ganas menguasai dunia Islam.

Mohammed bin Salman ialah menteri yang bertanggungjawab dalam memulakan operasi ketenteraan di Yaman pada 2015, yang dimulakan beberapa hari selepas Perdana Menteri rejim Zionis, Benjamin Netanyahu berucap di Kongres AS mendesak tindakan menangani apa yang dikatakan perluasan pengaruh Iran di Yaman.

Perkembangan di seluruh rantau Arab pada masa yang sama memberikan gambaran besar tentang agenda serantau Arab Saudi, bermula dengan perletakan jawatan Perdana Menteri Lubnan, Saad al-Hariri dalam keadaan yang mencetuskan tanda tanya, ekoran pengumuman dibuat di Riyadh dengan tergesa-gesa dan alasan ancaman Iran yang terlalu mudah dan kelihatan bertujuan mengesahkan naratif Saudi.

Sejurus itu, Menteri Hal Ehwal Teluk Arab Saudi, Thamer al-Sabhan menambah dengan mengatakan Lubnan telah mengisytiharkan perang ke atas Arab Saudi ekoran apa yang dilakukan oleh Hizbullah dan Iran di negara Syam itu, tindakan yang meningkatkan lagi tumpuan pada Hizbullah, Syria, dan Iran.

Tempoh pemerintahan Raja Salman menyaksikan hubungan dengan AS dan sekutu-sekutu serantau yang sehaluan terus rapat dan mengukuh, dengan semuanya kelihatan mencapai kata sepakat dalam hal menangani pengaruh Iran dan juga negara lain yang tidak sehaluan seperti Qatar.

Selepas Presiden AS Donald Trump dilaporkan berusaha menubuhkan satu pakatan ketenteraan anti-Iran yang turut disertai Israel, sekutu-sekutu Arab menunjukkan persetujuan, termasuk melalui kenyataan Menteri Luar Arab Saudi Adel al-Jubeir yang mendakwa Iran sebagai penyokong utama terorisme.

Pada awal 2016, Arab Saudi menjatuhkan hukuman mati ke atas Nimr al-Nimr, agamawan Syiah di negara itu sehingga mencetuskan protes besar-besaran di Arab Saudi sendiri dan negara-negara lain.

Mohammed kini dalam keadaan yang bersedia untuk melancarkan agenda dasar luarnya yang pasti melibatkan usaha menangani Iran dan sekutu, berdasarkan perkembangan terkini seperti disaksikan di Lubnan, dan kenyataan-kenyataan dari Riyadh sendiri.

Kesan daripada apa yang bakal terjadi, yang berpotensi melibatkan juga negara serantau dan sekutu lain, dunia Islam kini perlu bersedia berdepan satu suasana yang mencabar.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

twenty nine + = thirty one