Syarif Hussein, Keturunan Nabi YanG Mengecewakan Umat

SYARIF HUSSEIN, KETURUNAN NABI YANG MENGECEWAKAN UMAT

Apabila kita mengamati sejarah kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah, kita pasti akan bertemu dengan sebuah babak pemberontakan yang disebut sebagai Revolusi Agung Arab.

Siapakah watak yang memainkan peranan meledakkan pemberontakan yang menguntungkan pihak British ketika itu?

⚫ Syarif Makkah.

Syarif Hussein Bin Ali (1856-1931). Digelar sebagai ‘Syarif’ kerana berketurunan Nabi. Menjawat sebagai gabenor Makkah bermula pada tahun 1908. Kemudian mendapat mandat dari British untuk menjadi Raja Hijaz dari tahun 1916-1924. Turut digelar sebagai Hussein McMahon kerana keakrabannya dengan pegawai tinggi British yang bernama Sir Henry Mcmahon.

⚫ Revolusi Agung Arab.

British menggerakkan konspirasi untuk menyingkirkan Khilafah Uthmaniyyah yang digelar ‘Sick Man of Europe’ dari peta dunia. Maka Sir Henry McMahon, iaitu pesuruhjaya British di Mesir ketika itu melobi Syarif Hussein untuk bangkit memberontak melawan Uthmaniyyah.

Beliau dimotivasikan oleh British kononnya selepas jatuhnya Uthmaniyyah, maka beliau akan diangkat sebagai khalifah yang baharu. Amat lucu apabila British mahu mengangkat khilafah yang baharu. Namun itulah sejarah auta penjajah.

Semangat kebangsaan Arab diapi-apikan. Kononnya Arab sedang dijajah oleh Turki. Sementara British adalah sekutu yang boleh dipercayai. Syarif Hussein menikmati kencing British dengan penuh kepercayaan.

⚫ Orang Bagi Kita Ambil.

Dalam proses lobi tersebut, British menjanjikan bantuan politik dan bekalan senjata kepada kumpulan Syarif Hussein. Mereka tergamak mengambil bantuan senjata dari British, untuk dihalakan menentang Uthamaniyyah.

Pada logik Syarif Hussein, ambil sahajalah bantuan dari British demi kepentingan perjuangannya. Tetapi hakikatnya seawal dia menerima bantuan dari British, dia sudah dirantai menjadi proksi British yang hanya menjadi hamba pelaksana konspirasi Barat ke atas Islam.

⚫ Akrab Dengan Lawrence Of Arabia.

Penulis telah menulis sejarah ringkas ‘Lawrence Of Arabia & Kebodohan Umat Yang Melupakan al-Quran’ yang menceritakan serba sedikit tentang peranan intelijen British dalam menjayakan Revolusi Agung Arab.

Lawrence berjaya menambat hati Syarif Hussein bermodalkan kemahirannya menguasai bahasa dan budaya Arab. Maka Lawrence bertanggungjawab menjadi penghubung antara British dan pihak Syarif Hussein.

Demi menjayakan pemberontakan, Syarif Hussein menugaskan puteranya yang bernama Faisal untuk mengepalai revolusi. Faisal akhirnya dilantik oleh British sebagai penguasa Iraq.

⚫ Selepas Revolusi.

Setelah berjayanya pemberontakan pada 1916, British memungkiri segala janji yang diumpan kepada Syarif Hussen. Itulah tabiat musuh yang sentiasa menipu umat Islam yang bodoh.

British dan Perancis mengadakan perjanjian secara senyap-senyap membahagi-bahagikan wilayah Islam untuk dijajah oleh mereka. Perjanjian yang melakar peta baharu itu dikenali sebagai perjanjian Sykes Picot 1916.

Kemudian pada 1917, British mengeluarkan Deklarasi Balfour sebagai pemula kepada usaha penubuhan negara Zionis Israel pada 1948. Terlepasnya Palestin.

Uthmaniyyah kian lama semakin lemah dan akhirnya diisytiharkan termansuh pada tahun 1924. Syarif Hussein ditipu hidup-hidup bukan sekadar kempunan tidak diangkat sebagai khalifah, bahkan berputih mata apabila British menyerahkan Hijaz kepada keluarga Saud untuk didirikan Kerajaan Saudi.

British hanya sekadar mahu mengambil hati Syarif Hussein. Lalu mereka menyediakan sebidang tanah berbukit bukau yang kecil, tidak kaya dengan sumber bumi untuk diserahkan kepada legasi Syarif Hussein. Maka berdirilah negara Bani Hasyim Jordan.

Jika dihitung semua kesan yang terhasil, ia merupakan luka amat dalam yang terpahat dalam sejarah malang jatuhnya umat Islam ke tangan penjajahan Barat.

⚫ Ingatan Dari Nabi.

Apabila kita menilai sejarah bangsa Arab beragama Islam yang sanggup menjadi alat British seterusnya mengakibatkan kesan berantai yang kekal terasa hingga kini, kita tidak boleh menolak peranan Syarif Hussein sebagai pemula kepada onar. Sejarah malang ini kelihatan tidak jauh berbeza dengan ingatan Nabi:

ثم فِتْنَةُ السَّرَّاءِ دَخَنُهَا مِنْ تَحْتِ قَدَمَيْ رَجُلٍ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي يَزْعُمُ أَنَّهُ مِنِّي وَلَيْسَ مِنِّي وَإِنَّمَا أَوْلِيَائِي الْمُتَّقُونَ

“Kemudian berlangsungnya fitnah al-Sarra’. Asapnya berpunca dari dua tapak kaki seorang lelaki dari keturunanku. Dia mendakwa dirinya dariku, sedangkan dia bukan dariku. Sesungguhnya para pembelaku di kalangan orang-orang yang bertaqwa” – hr Ahmad, Abu Daud, al-Hakim.

Abdul Mu’izz Muhammad
11 November 2017.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

1 + six =