Apakah Pemerintahan Islam Perkara Cabang Atau Usul Agama?

ADAKAH PEMERINTAHAN ISLAM PERKARA CABANG ATAU USUL AGAMA?

Terdapat sebahagian hukum- hukum siyasah syariyyah dipindahkan daripada perbahasan cabang kepada usul, (Usuluddin), iaitu tajuk al- Imamah (melantik pemimpin tertinggi) dan al- Khilafah. Kedua- dua bab ini dimasukkan di bawah bab aqidah, tauhid atau ilmu kalam. Umum mengetahui bahawasanya Syiah Imamiyyah menganggap perkara Imamah adalah termasuk dalam bab Aqidah atau Usul Agama (Usuluddin).

Inilah yang menyebabkan para ulama Ahlus Sunnah membahaskan isu ini di dalam tajuk Aqidah, walaupun di sisi mereka, ia merupakan perbahasan cabang. Ini adalah kerana ia berkait rapat dengan amal dan bukannya perkara iktiqad secara asasnya.
Perkara ini menjadikan sebahagian orang mengambil mudah perkara tersebut dan menggunakan hujah dengan berkata: “Ini adalah perkara cabang agama bukan asal”

Kita menerima hujah tersebut tanpa ragu- ragu akan tetapi tidaklah sampai kepada tahap mengambil mudah kerana ISLAM BUKAN HANYA AQIDAH SEMATA- MATA, BAHKAN IA AQIDAH DAN AMAL kerana Iman adalah apa yang diakui oleh hati dan dibenarkan dengan amal.
Sekiranya kita melihat kefardhuan asas sekalipun, seperti solat dan zakat, kita akan dapati ianya adalah cabang agama bukan usul, kerana ia adalah amal (praktis) bukan iktiqad, tapi ia tetap merupakan antara rukun Islam dan syiar yang agung. Diikuti dengan pengakuan (iktiqad) akan kewajipannya dan beriman dengan “kerukunan”nya dalam agama. Oleh sebab itu, muslim yang mengingkari kefardhuannya atau mengambil ringan akannya dikira sebagai kafir, keluar dari agama (sekiranya menepati beberapa syarat yang ditentukan oleh ulama), kerana muslim tersebut telah mengingkari perkara Al- Maklum min Ad- Din Bi Ad- Dhorurah, maka tindakan tersebut merupakan penyelewengan kepada Allah dan Rasul.

Maka begitu jugalah kita katakan, perkara Imamah dan berhukum dengan hukum Allah ADALAH PERKARA CABANG AGAMA, TETAPI IKTIQAD AKAN KEWAJIPANNYA DAN BERIMAN DENGAN HUKUM ALLAH DALAM KITABNYA SERTA MENGIKUTI RASULNYA ADALAH PERKARA USUL AGAMA.

Allah SWT berfirman dalam surah An- Nisa’

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ يَزْعُمُونَ أَنَّهُمْ آمَنُوا بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ يُرِيدُونَ أَنْ يَتَحَاكَمُوا إِلَى الطَّاغُوتِ وَقَدْ أُمِرُوا أَنْ يَكْفُرُوا بِهِ وَيُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُضِلَّهُمْ ضَلَالًا بَعِيدًا

Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu. Dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh. (Ayat 60)

Sehingga ayat 65:

فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.

Dalam ayat lain, Allah SWT menyebutkan dalam surah An- Nur (ayat 47- 51):

(وَيَقُولُونَ آمَنَّا بِاللَّهِ وَبِالرَّسُولِ وَأَطَعْنَا ثُمَّ يَتَوَلَّىٰ فَرِيقٌ مِنْهُمْ مِنْ بَعْدِ ذَٰلِكَ ۚ وَمَا أُولَٰئِكَ بِالْمُؤْمِنِينَ * وَإِذَا دُعُوا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ إِذَا فَرِيقٌ مِنْهُمْ مُعْرِضُونَ * وَإِنْ يَكُنْ لَهُمُ الْحَقُّ يَأْتُوا إِلَيْهِ مُذْعِنِينَ * أَفِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ أَمِ ارْتَابُوا أَمْ يَخَافُونَ أَنْ يَحِيفَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ وَرَسُولُهُ ۚ بَلْ أُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ * إِنَّمَا كَانَ قَوْلَ الْمُؤْمِنِينَ إِذَا دُعُوا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ أَنْ يَقُولُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ)

Ayat 47: Dan (di antara orang-orang yang tidak dikehendakiNya ke jalan yang lurus ialah) mereka yang berkata: “Kami beriman kepada Allah dan kepada RasulNya serta kami taat”; kemudian sepuak dari mereka berpaling (membelakangkan perintah Allah dan Rasul) sesudah pengakuan itu, dan (kerana berpalingnya) tidaklah mereka itu menjadi orang-orang yang sebenarnya beriman.

Ayat 48: Dan (bukti berpalingnya mereka ialah) apabila mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, maka dengan serta-merta sepuak dari mereka berpaling ingkar (menolak ajakan itu jika keputusan tidak menguntungkan mereka).

Ayat 49: Dan (sebaliknya) jika keputusan itu memberi hak kepada mereka, mereka segera datang kepadanya dengan tunduk taat (menerima hukumnya).

Ayat 50: (Mengapa mereka bersikap demikian), adakah kerana hati mereka mengandungi penyakit (kufur), atau kerana mereka ragu-ragu (terhadap kebenaran hukuman), ataupun kerana mereka takut bahawa Allah dan RasulNya akan berlaku zalim kepada mereka? (Allah dan RasulNya tidak sekali-kali akan berlaku zalim) bahkan merekalah sendiri orang-orang yang zalim (disebabkan keraguan dan kekufuran mereka).

Ayat 51: Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: “Kami dengar dan kami taat”: dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.

Oleh yang demikian, berhukum dengan hukum Allah dalam setiap perkara termasuk dalam tuntutan Iman dan dikira sebagai usul agama.

Hakikat sebenarnya, pertembungan ini merupakan merupakan PERTEMBUNGAN ANTARA KITA DENGAN GOLONGAN SEKULAR. Mereka menekankan konsep pemisahan agama daripada masyarakat dan hal- ehwal kenegaraan dan mengehadkan agama hanya kepada praktis individu sahaja.

Adapun sekiranya perkara “keagamaan” tersebut dibenarkan maka hanya dalam lingkungan masjid(tempat ibadah) sahaja, tidak lebih dari itu. Tambahan pula, masjid tersebut menjadikan negara sebagai kiblat (terikat dengan peraturan tidak syarie), bukannya tempat ibadah yang bebas menyuruh kepada ketaatan serta mencegah kemungkaran.

Pertembungan antara kita dan golongan sekular BUKAN LAGI PERKARA CABANG, tetapi merupakan salah satu daripada isu- isu semasa berkaitan usul agama(iaitu iktiqad), kerana ia berkait rapat dengan Sifat Kesaksamaan Allah (Hakimiyyah Allah), Adakah ia merupakan hak Allah atau sebaliknya, dalam menetapkan sesuatu hukuman kepada makhluknya, menyuruh dan menegah sesuatu, menghalalkan dan mengharamkan?

Golongan sekular menafikan hak ini, bahkan mereka sendiri yang mengajar tuhannya, dan menyangka mereka lebih mengetahui akan ciptaan tuhannya. Maka tidak syak lagi, ini merupakan perkara asal aqidah.

Dr Yusuf Al- Qaradhawi
Kitab As- siyasah Asy- Syariyyah 2013
Muka Surat 16 – 18

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

+ 15 = sixteen