Kirkuk Gugat Kemaraan Kurdistan

Kirkuk Gugat Kemaraan Kurdistan

Oleh HARIS ZALKAPLI

Belum sampai sebulan referendum kemerdekaan Kurdistan Iraq dilaksanakan dan memperolehi sokongan lebih 92 peratus warga Kurdi wilayah itu, satu wilayah yang dipertikai telah mencetuskan pertempuran antara tentera Peshmerga Kurdistan dengan tentera Iraq dan militan Syiah, Hasd al-Shaabi atau Pasukan Mobilisasi Rakyat yang disokong Iran.

Tentera Iraq dan militan Syiah menawan semula Kirkuk dalam pertempuran kurang sehari, memasuki Kirkuk pada Ahad dan menjelang pagi Isnin telah berjaya menguasai lokasi-lokasi strategik di wilayah itu.

Perkembangan ini menjadi satu halangan terkini kepada usaha kemerdekaan Kurdistan Iraq, dan mungkin menjejaskan semangat warga Kurdi di wilayah itu serta menguji kepimpinan Masoud Barzani dan kerajaan wilayah autonomi itu sekarang.

Sejurus Baghdad mengumumkan kejayaan menguasai Kirkuk, meliputi kawasan minyak dan pangkalan tentera, pelbagai komentar muncul berhubung perkembangan ini, tetapi apa yang paling jelas ialah kesan kekalahan Kurdi di Kirkuk ini berpotensi mencetus masalah lebih besar lagi kepada Kurdistan dan paling utama, kepada Barzani yang mengetuai projek kemerdekaan Kurdistan Iraq pada masa ini.

Dalam tempoh kurang seminggu, amaran dari Baghdad, pergerakan tentera, dan pertempuran berlaku dengan pantas, menyaksikan pasukan Peshmerga yang selama ini bertindak cemerlang dalam menewaskan Daesh tewas dengan mudah, berundur dan menyerahkan Kirkuk yang merupakan kawasan kaya minyak yang didiami pelbagai etnik kepada penguasaan Baghdad.

Militia Peshmerga di Kirkuk berada di bawah penguasaan parti saingan Barzani pimpinan kem Talabani dan tidak berpendirian politik yang selari dengan Barzani, dan ini dikatakan mendorong mereka berundur dan menyerahkan Kirkuk kepada tentera Iraq.

Ini bermakna kesatuan Kurdi di wilayah itu tidak kukuh seperti yang mungkin dilihat melalui hasil referendum, dan memberi gambaran tahap sokongan terhadap Barzani yang hingga kini menguasai wacana kemerdekaan Kurdistan di Iraq, dan membuat semua keputusan berdasarkan agendanya.

Kirkuk bukan sebahagian daripada sempadan wilayah autonomi yang ditetapkan dalam perlembagaan 2005 Iraq, tetapi telah dikuasai oleh Kurdi pada Jun 2014 hasil kemaraan dalam kempen memerangi Daesh. Penguasaan Kurdi di Kirkuk, hingga bertindak mengibarkan bendera Kurdistan di bangunan kerajaan, ditentang keras oleh Baghdad.

Kejayaan tentera Iraq – dan juga bantuan Iran – menguasai semula Kirkuk ialah satu kegagalan besar pihak Kurdi, pada masa kegembiraan ekoran referendum yang melonjakkan semangat kemerdekaan Kurdistan Iraq sedang memuncak.

Perkembangan ini menunjukkan kesediaan penentang Kurdi bertindak, termasuk memulakan tindakan ketenteraan yang mungkin lebih sukar dihadapi berbanding militan Daesh.

Sekiranya penentang-penentang Kurdistan, terdiri daripada Iraq, Iran, dan Turki sedia bertindak hingga melibatkan konflik bersenjata, Kirkuk hanyalah gambaran kecil daripada apa yang berpotensi berlaku.

Kurdistan Iraq mendapat sokongan kuat daripada AS sejak perang menentang Iraq di bawah Saddam Hussein bermula 1991. Bermula tempoh itu, Kurdistan Iraq semakin mendapat bantuan AS dan sekutu, menyaksikan pertambahan autonomi dan kebebasan, serta dilindungi daripada tindakan kerajaan di Baghdad.

Bemula 2003 ekoran pemerintahan Baath dijatuhkan, Kurdistan Iraq terus mara dan akhirnya perlembagaan baharu Iraq mengiktiraf autonomi dan sempadan baharu Kurdistan Iraq di utara. Kemudian apabila tercetus kebangkitan di seluruh rantau Arab, Kurdistan terus mendapat manfaat dan meningkatkan usaha untuk merdeka.

Kempen ketenteraan antarabangsa terhadap Daesh di Syria dan Iraq membantu kempen kemerdekaan mereka apabila pasukan bersenjata Kurdi mendapat bantuan persenjataan daripada AS. Walaupun kelihatan tidak sebulat suara, Kurdistan Iraq mendapat sokongan untuk merdeka dari banyak pihak di Washington, yang kini sedang membina sebuah kompleks konsulat bernilai AS$600 juta di Erbil.

Sokongan ini dilihat menyumbang kepada rasa yakin di pihak Kurdi. Kurdistan Iraq atau lebih tepat lagi Barzani dan kerajaannya mula bertindak agresif termasuk dengan menguasai Kirkuk dan menuntut juga Mosul, sebuah lagi bandar strategik.

Apa yang terjadi di Kirkuk ialah susulan dan tindak balas kepada dasar kerajaan Barzani selama ini, yang mungkin terlalu yakin dengan sokongan AS. Kegagalan Kurdi mempertahankan Kirkuk turut dikaitkan dengan kegagalan Washington memberi bantuan kepada Peshmerga, dan disebut sebagai satu kegagalan AS dalam menghadapi kemaraan Iran di Iraq. AS dalam satu kenyataan menyusuli pertempuran di Kirkuk mendakwa kedua-dua Peshmerga dan Iraq sekutunya dan enggan berpihak.

Banyak pihak di AS memainkan naratif perang proksi, memperbesarkan peranan Iran, sebahagiannya untuk mendesak pentadbiran Trump bertindak dan membantu Kurdi.

Kelompok ini mengambil kesempatan atau menuruti pendirian keras terhadap Iran yang disuarakan Trump sebelum tercetus pertempuran Kirkuk.

Sudut pandang perang proksi semata-mata mengabaikan faktor kerajaan Iraq dan Perdana Menteri Haider al-Abadi, yang boleh difahami tidak mahu tempoh pemerintahannya mencatat sejarah buruk perpecahan Iraq.

Kepentingan pada masa kini melibatkan sumber minyak Kirkuk juga sesuatu yang sebenarnya jelas dan memberi motivasi untuk Baghdad bertindak, walaupun dengan peranan dan bantuan pihak luar yang minima.

Dalam hal melibatkan sumber hidrokarbon Kirkuk, kepentingan nasional melibatkan sumber pendapatan sukar untuk diabaikan oleh Baghdad, dan ia tidak boleh menunjukkan sikap bertolak ansur dalam hal ini, sekurang-kurangnya demi menjaga imej.

Kekalahan Kurdi di Kirkuk menunjukkan had sejauh mana kuasa-kuasa asing dapat atau sedia membantu, dan menunjukkan bukan semua kepentingan atau strategi Kurdi selari dengan kepentingan kuasa yang menyokong mereka.

Kirkuk juga menunjukkan imej kesatuan Kurdi yang dibawa oleh Barzani kini terjejas teruk dan berpotensi merebak lagi.

Episod ini juga menimbulkan semula ingatan pengkhianatan terhadap Kurdi yang berulang beberapa kali sepanjang usaha perjuangan kemerdekaan Kurdistan. Kehilangan Kirkuk memberi satu tamparan hebat kepada kebangkitan Kurdistan Iraq.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

+ eighty six = eighty eight