Rasulullah SAW Tolak Tajaan Abu Bakar?

RASULULLAH SAW TOLAK TAJAAN ABU BAKAR?

Semasa menelaah buku-buku Sirah tentang peristiwa hijrah baru-baru ini, terdapat satu point yang menarik dikongsikan oleh Dr Ali as-Sollabi melalui bukunya As-Sirah an-Nabawiyyah: ‘Ardhul Waqai’ wa Tahlilul Ahdath (Sejarah Nabi: Mengurai Peristiwa dan Menghurai Kejadian)

Kisah di mana Nabi SAW tidak menerima pemberian unta daripada Saidina Abu Bakar, untuk dijadikan haiwan tunggangan dalam misi hijrah. Nabi SAW hanya mahu menerimanya dengan bayaran kepada sahabatnya itu. Perkara ini sabit di dalam hadis yang direkodkan oleh Imam al-Bukhari.

Kisah ini mungkin ringkas dan hanya bahagian kecil daripada keseluruhan peristiwa hijrah. Namun ia memberi pengajaran yang sangat besar kepada mereka yang mendakwa sebagi pewaris perjuangan Rasulullah SAW hari ini.

Kata Dr Ali as-Solabi, peristiwa ini mendidik gerakan Islam supaya tidak mengharap kepada sesiapapun dalam setiap detik perjuangan ini. Walaupun gerakan Islam itu miskin tidak mampu menjadi tangan yang di atas sebagai pemberi, tetapu jangan sekai-kali menjadi tangan yang di bawah sebagai peminta. Kerana itu Nabi SAW berkeras untuk membayar unta tersebut.

Perkara sama ditekan oleh Dr Salih as-Syami di dalam kitabnya Min Ma’in Sirah Nabawiyyah (Daripada Mata Air Sejarah Nabi). Ianya adalah terjemahan praktikal kepada kenyataan al-Quran:

“وَمَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ ۖ إِنْ أَجْرِيَ إِلَّا عَلَىٰ رَبِّ الْعَالَمِينَ”

Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku); balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam.
[Ash-Shu’ara:109]

Betapa Nabi SAW mendidik pengikutnya supaya tidak mengikat jalan dakwah ini dengan tajaan pihak lain. Gerakan akidah dan iman ini tidak boleh tunduk dengan bahasa material. Walaupun yang ingin menaja itu bukan orang lain. Sahabat sendiri, dan manusia paling mulia selepas para Rasul!

Hari ini ramai tidak kisah tentang perkara ini. Asalkan dapat tajaan atau dana, semua dirembat. Hatta daripada kuffar pun disebat!

Alasan keharusan gerakan dakwah menerima tajaan daripada sesama muslim juga perlu dikaji. Kerana Rasulullah menolak tajaan daripada Abu Bakar RA, bukan orang lain.

Bukan tiada langsung keharusan menerima bantuan atau dana. Tetapi sisi-sisi penolakan ini perlu juga disebutkan. Supaya tidak tergadai jatidiri perjuangan ini, akibat dibeli atas nama bantuan atau dana.

20 Muharram 1437
11 Oktober 2017

(Alang Ibn Shukrimun)

*artikel ini sama sekali tidak mewakili pendirian rasmi pihak Media Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (cawangan Asia Tenggara).

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

+ eighty six = 93