Kebangkitan Kurdistan Rapatkan Turki Dan Iran

Kebangkitan Kurdistan Rapatkan Turki Dan Iran

Oleh: HARIS ZALKAPLI

Turki dan Iran telah melalui sejarah hubungan yang panjang, sejak zaman empayar, ke era moden merentasi beberapa fasa, hingga ke masa kini, masa yang menyaksikan perubahan-perubahan besar dalam politik serantau kawasan meliputi Turki yang bersempadan Eropah hingga ke Iran bersempadan Asia Tengah.

Turki dan Parsi mempunyai banyak persamaan dan perbezaan, dan masing-masing mempunyai sejarah yang kukuh sebagai bangsa dan kelompok etnik dan bahasa di seluruh rantau Asia Barat, Asia Tengah dan kawasan sekitarnya.

Dalam era negara bangsa, Turki dan Iran pernah berperanan sebagai sekutu rapat kuasa besar Amerika Syarikat di dunia Islam, memegang peranan sebagai negara yang memastikan kehadiran dan pengaruh AS di rantau Asia Barat dapat dikekalkan.

Hari ini, Turki dan Iran berada pada satu fasa yang mencabar dalam menguruskan hubungan dengan pelbagai aktor sama ada negara dan bukan negara di rantau Asia Barat, pada masa satu perubahan melibatkan pengukuhan dan kemerosotan kuasa sedang berlaku, disertai dengan pengukuhan aliansi antara kuasa-kuasa serantau.

Lawatan pemimpin Turki, Presiden Recep Tayyip Erdogan ke Tehran, Iran pada 4 Oktober lalu bertemu Ayatullah Khamenei dan Preisden Hassan Rouhani menandakan satu fasa baharu hubungan antara kedua-dua negara, walaupun hubungan antara kedua-duanya sentiasa berada pada tahap yang agak baik selama ini.

Lawatan Erdogan berlaku lebih seminggu selepas referendum kemerdekaan Kurdistan Iraq, yang ditentang kuat oleh kedua-dua Ankara dan Tehran selama ini, walaupun Turki mempunyai hubungan perdagangan dengan kerajaan Kurdistan Iraq.

Pertemuan Erdogan dengan pemimpin tertinggi Iran ini menyusuli lawatan Mejar Jeneral Mohamed Baqeri ke Ankara bertemu Jeneral Hulusi Akar pada pertengahan Ogos lalu, yang turut membincangkan isu Kurdistan.

Kemudian, pada 2 Oktober, Jeneral Akar membuat lawatan balas ke Tehran bertemu pemimpin tentera Iran, memperincikan perbincangan isu-isu ditangani bersama menjelang lawatan Erdogan ke Tehran dua hari selepas itu.

Isu kemerdekaan Kurdistan menjadi satu isu utama yang dibincangkan oleh Erdogan dan pemimpin Iran, memandangkan sikap Kurdistan yang dipimpin Masoud Barzani kelihatan semakin kuat untuk merdeka secara unilateral, dan mendapat sokongan Israel.

Kurdistan Iraq ialah satu kawasan di utara dan barat daya Iraq bersempadan dengan Iran dan Turki, dua negara yang akan berdepan cabaran dan gugatan sekiranya berlaku kemerdekaan Kurdistan.

Kedua-dua negara telah menghadapi cabaran dan ancaman daripada kumpulan-kumpulan Kurdi sejak puluhan tahun, dan kemerdekaan Kurdistan Iraq yang wujud sebagai sebuah negara berdaulat di tengah-tengah kawasan strategik diduduki jutaan etnik Kurdi semakin membimbangkan Ankara dan Tehran.

Selain Iraq, negara yang bakal berdepan kerugian utama akibat pemisahan Kurdistan, Turki dan Iran yang telah melalui sejarah panjang dengan politik Kurdi menyedari ancaman geopolitik yang besar bakal mereka hadapi sekiranya Kurdistan merdeka.

Kurdistan pada masa ini dikuasai politiknya oleh Parti Demokratik Kurdistan, KDP, pimpinan Masoud Barzani yang mewarisi kepimpinan KDP daripada bapanya Mustafa Barzani, pejuang kemerdekaan Kurdi yang membina hubungan rapat dengan Israel dalam usaha membina kekuatan politik dan ketenteraan.

Zionis telah berperanan membantu kumpulan tertentu Kurdi sejak selepas tertubuhnya negara haram Israel, termasuk membantu membina tentera Kurdistan Iraq, Peshmerga yang kini sedang meluaskan kawasan dikuasai di Iraq.

Israel juga telah menjalin kerjasama dengan Kurdistan Iraq untuk tujuan perisikan terhadap Iran. Peranan perisikan ini dibimbangi akan dapat ditingkatkan lagi sekiranya Kurdistan Iraq merdeka dan terus membina hubungan baik dengan Israel.

Kedua-dua Turki dan Iran melihat peranan Zionis dalam membantu Kurdi hingga mengukuhkan kuasa politik Kurdi dan membolehkan kumpulan-kumpulan bersenjata Kurdi muncul sebagai antara pasukan bersenjata terkuat di Asia Barat.

Erdogan dalam kenyataannya baru-baru ini menyebut peranan Israel dalam mendorong referendum kemerdekaan Kurdistan Iraq, kenyataan yang sebenarnya dipersetujui banyak pihak di Turki dan seluruh rantau Asia Barat.

Khamenei pula mengulangi kenyataan bahawa sebuah negara Kurdistan merdeka di Iraq ialah satu penubuhan “Israel kedua,” merujuk kepada kepentingan geopolitik Israel yang bakal dapat dicapai dan dikekalkan dengan tertubuhnya Kurdistan yang disokong kuat Israel.

Turki berdepan cabaran paling kuat dari segi politik daripada etnik Kurdi dan kumpulan bersenjatanya, Parti Pekerja Kurdistan, PKK, kumpulan yang juga mempunyai sekutu yang beroperasi dalam wilayah Iran.

Kedua-dua Ankara dan Tehran bekerjasama rapat dalam memerangi PKK di Iraq, negara yang menjadi pangkalannya. Kerjasama ini telah membantu mengekalkan hubungan baik antara Turki dengan Iran.

Melalui pangkalan di utara Iraq, PKK membantu dan melatih militan Kurdi Iran, yang dilabel pengganas oleh Tehran. Hal ini menyebabkan Turki melihat Iran sebagai kuasa penting yang diperlukan untuk menghadapi kebangkitan Kurdi, di dalam dan di luar Iraq.

Berbanding Iraq dan Turki, Iran menghadapi cabaran paling kecil nasionalisme Kurdi dari dalam negara. Kecuali militan PJAK, Kurdi di Iran lebih berasimilasi dan tidak mempunyai kesatuan politik seperti di negara lain.

Iran walau bagaimanapun berdepan ancaman luaran, dan cabaran ini dilihat semakin meningkat sejak Perang Teluk yang pertama pada awal dekad 1990-an.

Kedua-dua Turki dan Iran juga pada masa ini berada di kem bertentangan dengan kem Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu, dan Mesir, kelompok negara Arab yang rapat dengan Amerika Syarikat dan semakin terbuka kerjasama dengan Israel.

Dorongan ini menyebabkan kedua-dua Ankara dan Tehran semakin rapat. Pada masa sama, kedua-dua Turki dan Iran juga mempunyai hubungan perdagangan kuat melibatkan sumber gas, yang Iran menjadi pembekal gas kedua terbesar kepada Turki selepas Rusia.

Semasa Perdana Menteri Necmetin Erbakan, satu perjanjian membekalkan gas Iran ke Turki bernilai AS$23 bilion untuk tempoh 23 tahun ditandatangani oleh Erbakan dengan Iran pada Ogos 1996. Perjanjian ini menjadi satu titik penting dalam hubungan perdagangan tenaga antara kedua-dua negara.

Pertengahan Ogos lalu, satu perjanjian bernilai AS$7 bilion dicapai antara Iran, Turki, dan Rusia untuk menjalankan penggalian minyak dan gas di Iran. Perjanjian dalam sektor yang kritikal kepada semua negara terlibat ini bakal mendekatkan lagi negara terbabit.

Hubungan Turki dengan Iran telah melalui sejarah panjang yang menguji dan pada masa sama mengukuhkan, dan lawatan Erdogan ke Tehran baru-baru ini menandakan hubungan ini semakin kukuh, lebih-lebih lagi memandangkan kepentingan yang semakin selari dan cabaran serantau yang memerlukan kerjasama bersama untuk dihadapi.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

eighty four − 74 =