Percaya Kepada Islam Tetapi Tidak Yakin Islam Boleh Memerintah

PETIKAN KULIAH JUMAAT AYAH CHIK

PERCAYA KEPADA ISLAM TETAPI TIDAK YAKIN ISLAM BOLEH MEMERINTAH

Sebelum berlakunya peristiwa hijrah ke Madinah, Rasulullah SAW mengambil peluang daripada musim haji untuk bertemu dengan kabilah-kabilah arab yang datang ke Mekah mengerjakan haji. Baginda menawarkan kepada setiap kabilah supaya bersama dengan Islam.

Ada diantaranya yang mengakui kebenaran Islam, tetapi tidak yakin Islam akan mencapai kemenangan. Mereka bimbang seluruh dunia akan memusuhi. Mereka tidak yakin Islam mampu memerintah dengan baik. Mereka juga takut dengan ancaman yang akan datang bukan sahaja daripada kalangan bangsa arab sendiri, bahkan akan turut menghadapi kuasa besar dunia yang berhampiran, iaitu Rom dan Parsi.

Kepada mereka yang bersikap sebegini, Allah SWT telahpun berfirman:

وَقَالُوا إِنْ نَتَّبِعِ الْهُدَىٰ مَعَكَ نُتَخَطَّفْ مِنْ أَرْضِنَا ۚ أَوَلَمْ نُمَكِّنْ لَهُمْ حَرَمًا آمِنًا يُجْبَىٰ إِلَيْهِ ثَمَرَاتُ كُلِّ شَيْءٍ رِزْقًا مِنْ لَدُنَّا وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

Dan mereka (yang kafir) berkata: “Kalau kami menyertaimu menurut petunjuk yang engkau bawa itu, nescaya kami dengan serta merta ditangkap dan diusir dari negeri kami (oleh golongan yang menentang)”. Mengapa mereka (berkata demikian)? Bukankah kami telah melindungi mereka dan menjadikan (negeri Makkah) tempat tinggal mereka sebagai tanah suci yang aman, yang dibawa kepadanya hasil tanaman dari segala jenis, sebagai rezeki pemberian dari sisi Kami? (Benar, Kami telah menjadikan semuanya itu), tetapi kebanyakan mereka tidak memikirkan perkara itu untuk mengetahuinya (serta bersyukur).
[Al-Qasas:Ayah 57]

Padahal Allah telah menunjukkan keajaiban Islam kepada orang-orang arab sejak dahulu. Allah telah memilih tanah arab sebagai pusat penyebaran agama Islam. Bagaimana Mekah satu kawasan yang terpencil di tengah padang pasir yang kering kontang, tanpa sebarang sumber kehidupan, bertukar menjadi kota metropolitan dalam istilah hari ini.

Allah memerintahkan Nabi Ibrahim, untuk membuka bumi Mekah, sebagai persediaan tempat bermulanya dakwah Islam akhir zaman yang akan dibawa oleh Nabi Muhammad. Bukan sahaja air zam-zam yang dilihat pada zahir, bahkan bermacam sumber kehidupan yang lain. Perkara ini dijelaskan di dalam Surah Quraisy:

إِيلَافِهِمْ رِحْلَةَ الشِّتَاءِ وَالصَّيْفِ

Kebiasaan orang-orang Quraisy (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman), dan pada musim panas (ke negeri Syam),
[Quraysh:2]

Walaupun Mekah tidak ada sebarang tanaman, tetapi Allah ilhamkan kepada orang Quraisy berdagang ke Yaman dan Syam. Yaman pada zaman itu menjadi pusat pelabuhan negara-negara timur seperti India, China dan alam melayu. Syam pula pusat pelabuhan barat, iaitu Eropah.

Barang dagangan daripada Yaman dibawa pulang sebahagian ke Mekah, dan sebahagian lagi diperdagangkan pula ke Syam. Barang dagangan Syam pula dibawa pula sebahagian ke Mekah dan sebahagian lagi ke Yaman. Dengan urusniaga antara pusat pelabuhan timur dan barat dunia, Mekah menjadi kota metropolitan yang mempertemukan kesemua barang dagangan seluruh dunia.

Ini menunjukkan kekuasaan Allah mengatasi segala kekuasaan yang ada di dunia. Jika Allah Menghendaki, nescaya tidak ada apa-apa yang mustahil bagiNya. Mengajar umat Islam supaya yakin dan tidak takut untuk menegakkan agama Allah, kerana Allah pasti akan melindungi agamaNya.

Apa yang menjadi masalah, terdapat kumpulan Islam hari ini yang sangat lemah semangatnya. Mereka mempercayai Islam itu benar, tetapi bagi mereka, kita tidak boleh cerita tentang Islam ini, takut untuk menyebut berkenaan Islam. Nanti orang akan menentang kita. Sehingga melupai akidah kekuasaan Allah SWT.

Maka Nabi SAW menolak tawaran untuk memperolehi kerajaan tanpa akidah, dan tanpa melaksanakan syariat Islam. Dan inilah cerita yang terdapat di dalam sirah, berkenaan dengan sikap kumpulan yang berpendirian sebegini.

Masjid Rusila

8 Muharram 1439
29 September 2017

(Alang Ibn Shukrimun)

 

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

− four = three