9 Muharram, Muslim Mesti Beridentiti Tersendiri

9 MUHARRAM, MUSLIM MESTI BERIDENTITI TERSENDIRI.

Tanggal 9 Muharram, umat Islam dianjurkan untuk berpuasa. Ia juga dikenali sebagai hari Tasu’a (تاسوعاء).

⚫ Jangan Kelihatan Sama.

Ketika Nabi berpuasa pada hari Asyura'(عاشوراء) iaitu 10 Muharram, para sahabat menyuarakan kebimbangan:

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya ia adalah hari yang sama dimuliakan oleh Yahudi dan Kristian”

Maka Nabi menjawab:

إذا كان عام المقبل إن شاء الله صمنا اليوم التاسع

“Jika begitu untuk tahun mendatang, insyaAllah kita berpuasa pada hari ke sembilan (Muharram) pula” – hr Muslim.

⚫ Tersendiri.

Walaupun alasan berpuasa kelihatan sama dengan penganut Yahudi, iaitu memperingati peristiwa Nabi Musa dan pengikutnya selamat dari hambatan Firaun. Namun Nabi tetap mahu memastikan agar umat Islam tidak dilihat kebulur meniru dan berkongsi persamaan dengan Yahudi.

Islam bersifat tersendiri. Mesti menonjolkan identiti yang berbeza dari anutan lain. Tidak terikut-ikut meniru.

Begitu juga halnya ketika Nabi menolak cadangan para sahabat berkaitan degan kaedah memanggil orang ramai untuk solat. Cadangan meniup trompet dilihat sama dengan Yahudi. Cadangan membunyikan loceng dilihat sama dengan Kristian. Cadangan menyalakan api dilihat sama dengan Majusi. Akhirnya Nabi memilih cadangan agar azan dilaungkan sebagai kaedah mengisytiharkan masuk waktu solat sekaligus ia sebagai syiar Islam.

⚫ Sensitif.

Jika kita membelek nas al-Quran, pasti akan berjumpa dengan banyak ancaman agar jangan bermudah-mudah mengikuti golongan lain. Bahkan Nabi mengingatkan:

من تشبه بقوم فهو منهم
“Barangsiap yang meniru sesebuah kaum, maka dia adalah dari kaum tersebut” – hr Abu Daud.

⚫ Realiti.

Munculnya puasa Tasu’a menggambarkan betapa seriusnya Nabi menjaga identiti umat Islam agar jangan dilihat sebagai umat yang menciplak.

Tetapi hari ini, kita berdepan dengan krisis identiti. Bermula dari pemikiran, syiar, budaya, penampilan, pemakaian dan hala tuju habis terbabas bersimpang siur lari dari pembawakan Islam yang sebenar.

Pantang orang lain buat, umat Islamlah yang galak meniru. Seakan mencari jalan pintas untuk beroleh prestij hidup. Padahal hakikatnya hanya memperagakan identiti penciplak.

⚫ Kenangkanlah Nabi.

Apakah kita tidak menghargai usaha Nabi yang berusaha memimpin kita agar menjadi umat yang tersendiri? Jika kita mudah-mudah meniru golongan lain, seolah-olah cara hidup yang diajar oleh Nabi belum cukup memuaskan hati kita.

Abdul Mu’izz Muhammad

29 September 2017.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

eighty four + = ninety four