Sahabat:Suhaib Ar-Rumi

SAHABAT DI SISI RASULULLAH (SIRI 10)

SUHAIB AR-RUMI
Usahawan Ulung

Mungkin ramai yang mengenali sahabat ini. Tapi mungkin ramai tak tahu walaupun namanya dinisbahkan kepada ar-Rumi, namun dia bukan orang Rom sebaliknya seorang arab tulen. Ayahnya Sinan bin Malik dari kabilah Numairi manakala ibunya dari kabilah Bani Tamim.

Justeru mengapa ar-Rumi? Pernah satu ketika, ibunya telah membawa Suhaib yang masih kecil ke sebuah tempat pelancongan di Iraq yang ketika itu dibawah taklukan Parsi. Malangnya pada ketika itu Parsi telah diserang oleh Rom. Semua yang ada telah ditawan dan dibawa pulang ke Rom.

Di sana, tawanan telah dijual sebagai hamba. Suhaib berpindah randah dari satu tuan ke satu tuan sehinggalah meningkat dewasa. Disebabkan dirinya membesar dalam kelompok Rom, lidahnya tidak lagi mampu bertutur bahasa arab dengan fasih.

Walaupun begitu, jatidiri beliau sebagai arab yang hidup di padang pasir masih tidak hilang. Beliau tidak sukakan budaya orang Rom dengan maksiat dan kezaliman masyarakatnya. Beliau sentiasa mencari peluang untuk lari.

Pada suatu hari, beliau telah mendengar seorang pendita menyatakan sudah dekat masa kebangkitan Nabi akhir zaman daripada kaum arab di Mekah. Berita itu menambah lagi azamnya untuk kembali ke pangkuan bangsanya. Akhirnya beliau nekad untuk lari dan terus menuju ke Mekah.

Di Mekah, beliau memulakan hidup baru sebagai seorang yang merdeka. Beliau bergelar ar-Rumi kerana selain membesar di Rom, beliau juga berambut merah dan lidah beliau agak pelat dalam berbahasa arab.

Di bawah suaka Abdullah bin Jad’an, Suhaib membuka perniagaan hasil pengalaman ketika menjadi hamba dahulu. Dengan cepat, beliau mampu menjana pendapatan lumayan sehingga mengumpul harta yang sangat banyak.

Tetapi beliau tidak pernah lupa niat sebenar ke Mekah. Beliau sentiasa mengikuti perkembangan semasa menunggu kebangkitan Nabi yang disebut pendita Rom itu. Akhirnya selang beberapa tahun selepas itu, Nabi Muhammad SAW dibangkitkan dan beliau terus memeluk Islam sezaman dengan Bilal bin Rabah, Ammar bin Yaasir, Khabbab bin Arat dan beberapa sahabat lagi.

Ketika diperintahkan berhijrah, Suhaib berhasrat untuk menemani Rasulullah SAW dan Abu Bakar ke Madinah. Malangnya beliau telah dihalang oleh pemimpin Quraisy. Rumahnya dikawal siang dan malam sebagaimana Rasulullah dan beberapa sahabat lain. Walaubagaimanapun, Rasulullah dan Abu Bakar berjaya meloloskan diri tetapi Suhaib masih terkurung.

Akhirnya pada satu malam, beliau mendapat peluang untuk lari ketika pengawalnya sedang tidur. Beliau terus memecut untuk mengejar Rasulullah dan Abu Bakar yang telah jauh di hadapan. Namun dalam perjalanan, beliau dikejar dan cuba dikepung oleh sekumpulan Quraisy.

Menyedari perkara tersebut, Suhaib terus menuju ke satu kawasan yang tinggi berdekatan itu dan kemudian mengacukan panah ke arah musyrikin Quraisy menyebabkan mereka berhenti dari merapati Suhaib.

Kata Suhaib:
“Jangan cuba dekat. Kamu tahu aku orang yang tak pernah tersasar dalam memanah.”

“Kami tak akan benarkan kau pergi begitu sahaja dengan hartamu. Kau dulunya datang ke Mekah sehelai sepinggan. Kerana kamilah kau jadi kaya seperti sekarang.” Ujar salah seorang Quraisy itu.

“Kalau begitu, Mahukah kau lepaskan aku jika aku serahkan segala harta pada kamu semua?” Tawar Suhaib pula.

Pantas mereka bersetuju. Lalu Suhaib menunjukkan tempat hartanya disimpan dan beliau pun dibiarkan pergi sehelai sepinggan.

Beliau meneruskan perjalanan yang berbaki keseorangan. Setiap kali merasa penat, beliau akan teringatkan sosok Rasulullah yang sangat beliau rindui. Dengan cara itu, beliau kembali menjadi semangat dan kuat untuk meneruskan perjalanan.

Akhirnya beliau sampai di Quba’. Beliau dapati Rasulullah juga ada di sana. Baginda yang melihat kelibat Suhaib terus menyambut Suhaib kegembiraan dan berkata:
“Perniagaanmu telah untung wahai Abu Yahya! Perniagaanmu telah untung wahai Abu Yahya! Perniagaanmu telah untung wahai Abu Yahya!”

Hilang segala keletihan Suhaib tatkala disambut dengan senyuman oleh Rasulullah. Tidak sempat beliau ceritakan, Rasulullah sudah tahu segala yang berlaku sepanjang perjalanan beliau.

Suhaib turut mengukir senyuman dan berkata:
“Wahai Rasulullah. Tak ada seorangpun (yang tahu peristiwa tersebut) berjumpa dengan kamu sebelum aku. Ini mesti Jibril yang sampaikan pada kamu.”

Benar apa yang dinyatakan Suhaib. Sesungguhnya Jibril telah menyampaikan wahyu tuhan dari langit, yang menceritakan perihal Suhaib menerusi firman Allah SWT:

“وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْرِي نَفْسَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ رَءُوفٌ بِالْعِبَادِ

Dan di antara manusia ada yang menjual/mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula amat belas-kasihan akan hamba-hambanya.
[Al-Baqarah:Ayah 207]

Suhaib mengajar kita erti pengorbanan yang sejati. Beliau tidak kisah menjadi miskin kembali setelah kaya, meninggalkan segala harta kemewahan yang dimiliki, semata-mata demi menyahut perintah tuhan. Kekayaan tidak menyebabkan beliau buta dari menilai harga sebenar agama Islam.

Itulah dia perniagaan yang tak akan rugi sekali-kali. Allah telah berfirman bahawa sesiapa yang berurus niaga dengan Allah, maka keuntungannya adalah syurga yang tidak terperi nikmatnya:

“إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman jiwa dan harta benda mereka,dengan bayarannya berupa Syurga..
[At-Tawbah:111]

Alang Shukrimun

*Artikel ini sama sekali tidak mewakili pendirian rasmi pihak Media Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (Cawangan Asia Tenggara). Artikel ini dimuatnaik tanpa mengubah apa-apa dari yang asal. Penulis merupakan tenaga pengajar di Maahad Darul Quran, Rusila, Terengganu.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

twenty seven − twenty =