Bertasawuf Supaya Ikhlas, Bukan Tinggalkan Jihad

BERTASAWUF SUPAYA IKHLAS, BUKAN TINGGALKAN JIHAD

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
[email protected]

MARANG: Tujuan digalakkan manusia bertariqat dan bertasauf adalah untuk mengikhlaskan diri kepada Allah dalam melaksanakan ajaran Islam, bukannya meninggalkan politik dan tuntutan jihad.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kejatuhan umat Islam berlaku apabila mereka meninggalkan ajaran Islam khususnya politik, sedang musuh pula mengambil pendekatan dan strategi menyerang dalaman pemikiran umat Islam menggunakan ajaran Islam itu sendiri.

Terangnya, setelah musuh gagal menggunakan bala tentera menakluk orang Islam dan menghapuskan Islam, mereka menimbulkan salah faham orang Islam terhadap agamanya sendiri dengan ajaran yang betul, tetapi pembawaannya salah.

“Di antaranya tariqat tasauf. Digalakkan orang Islam bertariqat tasauf, jaga hati sahaja, bersih jiwa, jangan berpolitik. Maka bertariqatlah orang Islam, bertariqat-tariqat, meratib-meratib, bertasbih, tak peduli pada pemerintahan negara,” ujarnya pada Ijtimak Pilihan Raya PAS Negeri Terengganu di Rusila, di sini 30 Julai lalu.

Sedangkan menurutnya, agama ini menyeluruh meliputi Islam, iman dan ihsan, sebaliknya sekadar mengambil tasauf adalah mengikut syaitan sebagaimana dalam Syarah Hikam menyebut bahawa bertasauf tanpa fekah adalah kafir zandik dan berfekah tanpa tasauf adalah fasik.

Perkara tersebut ceritanya, berlaku di Turki di mana pemimpin tariqat, Fethullah Gulen menyebarkan tariqat supaya orang Turki tidak berpolitik, juga sebagaimana tariqat telah melumpuhkan umat Islam tidak berjihad di Baghdad menyebabkan mereka ditakluk bangsa Tartar.

“Munculnya Imam Nawawi, ‘Izzuddin bin Abdus Salam, Ibnu Taimiyah dan lain-lain, menggerakkan umat Islam supaya berjihad. Termasuk di rantau kita ini, ketika British dan Belanda datang menakluk, Siam menakluk Utara Tanah Melayu.

“Siapa tak kenal Syeikh Abdul Samad Palembang? Pengarang kitab Hidayatus Salikin; masyhur di kalangan mereka yang mengaji tasauf di pondok-pondok. Di mana kubur dia? Kubur dia di Patani, mati syahid di Patani, ini ahli tasauf.

“Tasauf apa ini tak berjihad, tak berjuang? Ini kena faham. Di mana tariqat sebahagian daripada Islam, bukan seluruh Islam,” tegur beliau dan menegaskan bahawa tasauf bertujuan supaya mengikhlaskan hati agar tidak _’ujub_ dan _riya’_ dalam melaksanakan perintah Allah.

Beliau memetik tindakan Rasulullah menangguhkan umrah dan memeterai perjanjian Hudaibiyah yang menjadi pengiktirafan ke atas Kerajaan Madinah, menunjukkan Baginda menutamakan pengiktirafan politik negara mendahului umrah.

Begitu juga katanya, tindakan Nabi menangguhkan Haji Baginda ke tahun ke-10 Hijrah kerana untuk meneguhkan pemerintahan negara dan politik umat Islam.

“Kena faham ini. Ini kerana pergi haji sunat, tinggal pilihan raya. Pergi umrah sunat, tinggal pilihan raya. Kuat PAS bukan main. Bukan makna haji itu tak wajib, ada wajib, ada sunat. Kita kena faham wajib ini ada dua bahagian; Wajib _Mudhayyaq_ dan Wajib _Muwassa’_.

“Wajib _Mudhayyaq_ yang sempit waktunya, Wajib _Muwassa’_ yang luas waktunya. Sempit waktunya bulan Ramadan, cukup-cukup sebulan, nak tangguh tak boleh dan sembahyang di akhir waktu nak habis waktu dah.

“Wajib _Muwassa’_ di awal boleh tangguh lagi, termasuk haji termasuk, wajib yang boleh ditangguh lagi. Hari ini, politik Islam dalam keadaan bahaya, kalau Islam tak memerintah, syariat tak dilaksanakan,” ujarnya menyebut beberapa masalah dalam negara yang berpunca dari tidak tertegaknya politik Islam.

Kerana itulah tegasnya, umat Islam mesti melaksanakan kewajipan jihad yakni bersungguh-sungguh mengembleng tenaga dan segala nikmat harta, kesihatan, kaum keluarga dan pengaruh serta menghadapi kepayahan untuk meninggikan Islam.

Jelas Tuan Guru, pelaksanaan jihad mesti mengikut fekahnya dan sama sekali tidak terpisah dari dakwah seperti dibuktikan oleh tindakan para Sahabat r.a selepas kewafatan Rasulullah s.a.w, di mana walaupun masuk ke negeri lain dengan peperangan, tetapi rakyatnya masuk Islam.

Katanya, terjadi demikian kerana tentera Islam berperang dengan hukum dan adab yakni memerangi pihak pemerintah zalim dan membebaskan rakyat tertindas, serta tidak membunuh agamawan, kanak-kanak, orang perempuan, masyarakat awam, selain tidak menyiksa tawanan.

Zaman dulu ujarnya, orang Islam masuk ke seluruh pelusuk dunia, termasuk Eropah hingga rakyatnya menganut Islam kerana melihat baiknya Islam, tetapi hari ini orang kafir melihat Islam dengan kejahatan kerana perbuatan pihak yang mendakwa berjihad, tetapi hakikatnya jahat termasuk mengebom masjid.

“Merobekkan rupa Islam yang sebenar. Ceritanya benar, tetapi pendekatannya salah. Ceritanya, terang-terang sebut, Presiden Syria zalim, betul dia zalim, kita lawan dia zalim, (tetapi) dekat dia ada Israel, Israel lebih zalim lagi.

“Kena lawan orang zalim ini (Presiden Syria), Amerika sanggup beri senjata, Eropah sanggup beri senjata. Maka boleh senapang suka sangat pergi berjihad di Syria. Berperang dengan askar-askar Syria; ada askar yang dipaksa, askar yang sembahyang. Berlawan sesama sendiri, Israel selamat. Ini dia.

“Tujuannya untuk menjahanamkan orang Islam. Di sinilah pendekatan ulama-ulama kita yang menubuhkan PAS dan pendokong gerakan Islam, untuk menjadi mata rantai perjuangan Islam, mengikut _waqi’_ mengikut realiti, mengikut situasi yang ada di Malaysia,” terangnya.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION