Neymar dan Dasar Luar Qatar

Neymar dan Dasar Luar Qatar

Oleh: Haris Zalkapli

Sejak penglibatan aktif Qatar dan Emiriyah Arab Bersatu dalam liga-liga bola sepak utama Eropah, sukan ini terus melonjak tinggi dalam peranannya sebagai alat dalam pelaksanaan dasar luar negara-negara terbabit. Kedudukan bola sepak sebagai sumber soft power kedua-dua negara menjadikan Eropah sebagai medan persaingan kuasa mereka. Qatar telah mengukuhkan namanya melalui pelaburan dengan kelab bola sepak Barcelona. Emiriyah pula, melalui syarikat penerbangan Emirates, melekatkan nama pada jersi Real Madrid.

Kedua-dua kelab ialah jenama terkenal yang selain liga utama Sepanyol, juga bersaing sengit dalam Champions’ League, pertandingan kelab-kelab terbaik Eropah. Qatar Sports Investments milik ahli keluarga diraja Qatar, telah membeli kelab Perancis, Paris-Saint Germain, PSG, pada 2011. PSG, walaupun juga sebuah kelab ternama, bukan pesaing utama dalam Champions’ League. Usaha memindahkan pemain antarabangsa Brazil, Neymar Jr. ke PSG boleh dilihat sebagai satu usaha membina lagi imej Qatar sebagai kuasa bola sepak dunia, lebih-lebih lagi memandangkan Qatar dijadual menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022. (Perkembangan terkini, perpindahan Neymar terhalang apabila bayaran ditolak oleh La Liga.)

PSG dimiliki Qatar boleh dipersembahkan sebagai satu kejayaan perluasan pengaruh negara yang sedang berkrisis dengan jiran-jiran di Teluk Parsi itu, walaupun syarikat penerbangan berpusat di Dubai, Emirates kekal menaja PSG walaupun Emiriyah berkrisis dengan Qatar. Kehadiran pemain seperti Neymar pasti diharapkan untuk meningkatkan lagi kejayaan PSG, dan meningkatkan semula populariti kelab itu. Apa pun yang berlaku, sama ada perpindahan berjaya atau tidak, perkembangan ini menjelaskan satu permainan hebat yang hanya mampu disertai negara-negara kaya wang tunai dan strategi dasar luar yang berani, dan menunjukkan satu perkembangan menarik dalam persaingan kuasa-kuasa dunia.

*Artikel ini sama sekali tidak mewakili pendirian rasmi pihak Media Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (Cawangan Asia Tenggara). Artikel ini juga dimuatnaik tanpa mengubah apa-apa dari yang asal. Penulis merupakan wartawan Harakah.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

nineteen − 9 =