Keputusan Mahkamah Rayuan Ke Atas Kes Pendaftaran Kanak-Kanak Orang Islam Di Bawah Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran Dan Kematian 1957 (AKTA 299)

KENYATAAN MEDIA
YBHG DATO’ MOHD YAZID BIN RAMLI
KETUA PENGARAH PENDAFTARAN NEGARA

KEPUTUSAN MAHKAMAH RAYUAN KE ATAS KES PENDAFTARAN KANAK-KANAK ORANG ISLAM DI BAWAH SEKSYEN 13 AKTA PENDAFTARAN KELAHIRAN DAN KEMATIAN 1957 (AKTA 299)

28 JULAI 2017 (JUMAAT)

1. Jabatan Pendaftaran Negara ingin menjelaskan tentang keputusan Mahkamah Rayuan ke atas kes pendaftaran kanak-kanak orang Islam di bawah Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) yang memutuskan mana-mana kanak-kanak yang dikandung semasa luar nikah boleh dibinkan kepada nama lelaki yang mengaku sebagai bapa.

2. Adalah dimaklumkan bahawa Mahkamah Tinggi sebelum ini telah membuat keputusan bahawa di bawah undang-undang Islam, adalah tidak dibenarkan untuk kanak-kanak dibinkan dengan nama orang yang mengaku diri sebagai bapa memandangkan kanak-kanak telah dilahirkan kurang daripada enam (6) bulan qamariah dari tarikh perkahwinan ibu bapa. Oleh itu, tindakan yang dilakukan oleh JPN adalah selaras dengan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.

3. Mengenai keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Mei 2017 yang memihak kepada pemohon seperti yang dilaporkan oleh media, JPN melalui Jabatan Peguam Negara telah menfailkan rayuan terhadap keputusan kes tersebut ke Mahkamah Persekutuan.

4. Sehubungan dengan itu, pelaksanaan semasa di JPN berkaitan penasaban anak tak sah taraf orang Islam adalah diteruskan seperti sedia ada. Sebarang pindaan terhadap pelaksanaan semasa hanya akan dipertimbangkan selepas keputusan Mahkamah Persekutuan diperolehi.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION