Diperdaya Dek Babi dan Anjing

DIPERDAYA DEK BABI & ANJING

Ketika Aliran Tua dan Aliran Muda bersatu di Sumatera Barat untuk menentang penjajahan Belanda, ia dilihat sebagai ancaman yang perlu ditangani segera.

Akalan Penjajah.

Maka Belanda mengadakan makar yang cukup licik demi memastikan umat Islam dalam kalangan Aliran Tua dan Aliran Muda kembali berbalah masalah khilafiyyah. Pada masa yang sama Belanda ingin ‘memukau’ umat Islam agar secara beransur-ansur meninggalkan solat dalam keadaan mereka tidak sedar.

Untuk itu, Belanda mengisytiharkan pertandingan menangkap babi. Kononnya untuk membersihkan perkampungan muslimin dari babi yang dianggap najis. Mereka yang berjaya menangkap babi akan diberikan ganjaran oleh Belanda.

Polemik Khilafiyyah & Najis Berat.

Maka berebutlah orang ramai ingin turut serta dalam pertandingan tersebut, masing-masing terliur dengan ganjaran yang dijanjikan.

Sedangkan kaedah menangkap babi memerlukan anjing buruan. Lantas mula timbul polemik khilafiyyah tentang hukum-hakam anjing. Justeru umat Islam kembali berbalah tentang masalah khilafiyyah. Belanda tersenyum.

Lama-kelamaan aktiviti menangkap babi menjadi kebiasaan. Menyebabkan gaya hidup membela anjing juga turut menjadi kebiasaan. Anjing banyak berkeliaran hingga dibiarkan ‘berhabitat’ naik ke atas rumah. Maka kehidupan mereka dipenuhi najis berat. Ibadat terganggu.

Meninggalkan Tiang Agama.

Dengan gaya hidup serba kotor itu, mengakibatkan masyarakat Islam semakin malas menunaikan solat. Malas kerana mereka berdepan dengan kesukaran untuk bersuci. Setiap kali ingin mendirikan solat, perlu samak anggota badan. Leceh.

Akhirnya Belanda berjaya mencapai misi mereka. Melagakan sesama umat Islam dengan polemik khilafiyyah, sekaligus melemahkan umat Islam dengan memastikan umat Islam meninggalkan solat secara beransur-ansur.

Kitar Semula.

Penjajah dahulu menjalankan strategi yang licik untuk memerangkap umat. Jika dilihat apa yang berlaku hari ini, hanyalah kaedah kitar semula yang berulang-ulang. Malangnya kita umat Islam buta sejarah.

– Sejarah ini diceritakan oleh Ustaz Fadli Ghani ketika penulis bermusafir dengannya. Beliau merupakan guru sejarah yang tidak kedekut ilmu. –

Abdul Mu’izz Muhammad
26 Julai 2017

*Artikel di atas sama sekali tidak mewakili pendirian rasmi pihak Media Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (Cawangan Asia Tenggara). Artikel di atas juga dimuatnaik tanpa mengubah apa-apa dari yang asal. Penulis merupakan Felo Akademi Al-Ghazali.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

seventy nine − = 69