Perjuangan Ulamak Seru Umat Bertafaqquh Dan Berwaspada

PERJUANGAN ULAMAK SERU UMAT BERTAFAQQUH DAN BERWASPADA

Oleh IZWAN ABDUL HALIM

KOTA BHARU, 21 Julai – Para ulama perlu memahamkan seruan ‘At Tafaqquh fid-Din’ di kalangan umat dalam semua urusan Islam dan mengingatkan mereka peringatan agar berwaspada supaya tidak melakukan perkara-perkara bercanggah dengan Islam.

Demikian penegasan diutarakan Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika merasmikan Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-4 (Rantau Asia) di Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, di sini sebentar tadi.

“Banyak kalangan kita memahami ‘at-Tafaqquh’ (sekadar) hukum ibadat, muamalat, munakahat, jinayat, itu sahaja tafaqquh. Tanpa memahami (bahawa) generasi awal Islam menafsirkan ‘at-Tafaqqahu Fid-Din’; semua ‘ad-Din’, semua ajaran ada dalam Islam.

“Akidahnya, syariatnya, akhlak ataupun tasawwufnya, mesti memahami semua urusan Islam, bukan hukum feqah (sahaja). Ini makna ‘Tafaqquh Fid-Din’. Dengan sebab itu, urusan ‘Tafaqquh Fid-Din’ merangkumi segala aspek ajaran Islam.

“Menunjukkan ulama-ulama yang ‘Tafaqquh Fid-Din’ itu bukan sekadar mengajar sahaja; buka kitab, mengajar, ceramah, habis di situ. Tetapi perkataan
“liyunziru”, ada ‘inzar’ di situ, (iaitu) amaran bahaya.

“Di sini ada aspek dakwah, aspek perjuangan yang perlu ditangani oleh ulama yang memahami ilmu itu. Di sini kekurangan yang berlaku kepada kita hari ini,” ujarnya merujuk ayat 122 surah at-Taubah itu.

Apatah lagi katanya, umat kini sedang menghadapi serangan media sehingga musuh berjaya menyebarkan Islamofobia yakni benci terhadap Islam, ‘al-Karohiyyah lil Islam’ yang disebarkan tanpa peduli kepada ajaran Islam itu sendiri.

Sedangkan menurut beliau, jika dikaji ajaran Islam, masalah Islamofobia dapat dihapuskan termasuk sekiranya dibuat perbandingan kumpulan lain daripada Islam, akan didapati mereka sebenarnya yang ganas dan bukannya Islam.

Tuan Guru mengemukakan tragedi Hiroshima dan Nagasaki yang menerima kesan ciptaan senjata nuklear hingga membawa kemusnahan kepada bumi dan manusia hasil daripada Tamadun Barat mencuri Tamadun Islam tetapi meninggalkan Islam dengan sekadar mengambil tamadun duniawi.

Katanya, walaupun Barat mengambil Tamadun Islam dan menyebarkan Islamofobia pada hari ini, maka perlunya Islam terus diperkenalkan secara ‘tafaqquh’ yakni dengan memahaminya melalui peranan para ulama dan pendakwah.

Masalah Dalaman Umat

Beliau yang juga Presiden PAS turut mengutarakan masalah dalaman dihadapi umat di mana sibuk dengan masalah khilafiah dan furu’ melibatkan akidah, syariah, tariqat dan politik sedangkan semua itu telah melahirkan mazhab-mazhab dalam Islam sejak awal lagi.

Menurutnya, permasalahan timbul soal mazhab furu’ dalam feqah Syafie, Hanafi, Hambali dan Maliki, sehingga masing-masing mazhab mempertahankan mazhab masing-masing.

“Padahal Imam Syafie mengaji dengan Imam Malik. Imam Syafie belajar dengan Imam Muhammad Hassan Asy-Syaibani mazhab Hanafi. Abu Hanifah berjumpa dengan Al-Baqir mazhab Imamiyyah Syiah, belajar, ini dalam sejarah dia. Imam Ahmad Bin Hanbal mengaji dengan Imam Syafie.

“Mazhab ini beza, tapi perguruannya, pengajiannya dapat menyatukan umat. Hari ini masalah khilafiyah membalahkan pondok dengan pondok, tok guru dengan tok guru, ulama dengan ulama. Bahas pasal qunut dan talqin, pasal masalah furuk, sehingga lupa hal-hal yang penting yang perlu diselesaikan oleh umat Islam.

“Masalah jenayah, dadah, politik pemerintahan Islam dilupakan. Masalah aqidah, melahirkan mazhab salaf dan khalaf tanpa mempelajari sejarah perkembangan akidah generasi salaf, generasi yang tidak ada masalah fahaman-fahaman falsafah.

“Selepas timbulnya fahaman falsafah, gelombang penterjemahan buku-buku asing, timbulnya mazhab-mazhab Jabariyyah, Qadariyyah, Muktazilah, maka lahirnya mazhab khalaf yang menghujahkan falsafah, lahir kalangan ahli sunnah. Kalau sudah baca kitab jawi, kitab Arab payah nak baca, kitab jawi, ‘Aqidatun Najin’.

“Saya mengaji kitab ‘Aqidatun Najin’ ini (sampai) lebu. Padahal saya mengaji Universiti Madinah, universiti yang paling kuat wahabi, saya belajar di Madinah. Madinah itu wahabi, (tetapi) saya tak ikut waabbi, saya baca ‘Aqidatun Najin’, baca juga ini,” jelasnya.

Tajdid & Pendekatan

Terangnya, pertembungan yang berlaku itu adalah dengan sebab perubahan masyarakat, disebabkan tajdid gerakan pembaharuan di zaman masing-masing.

Katanya, dalam mazhab Syafie sendiri antaranya Imam Nawawi dan Ibnu Katshir pegangan tauhidnya adalah mazhab salaf berbeza Imamul Haramain antaranya Imam Ghazali di mana feqahnya Syafie, tetapi tauhidnya kepada mazhab Khalaf.

Begitu juga tambahnya, Abu Hanifah fekahnya mazhab salaf iaitu sebelum zaman Asy-Syairah Maturidiyyah, tetapi mutakhir kini adalah daripada Hanafi mazhab Maturidiyyah.

Tegas beliau, orang zaman dulu tidak berkelahi, berbalah dan berpecah, tetapi sekarang berbalah mengenai salaf dan khalaf kerana tidak membaca sejarah dan ilmu ijtimak serta tidak membaca ilmu masyarakat.

“Kita menghadapi masalah pendekatan, ada yang ‘tasyaddud’, melampau. Tinggi sangat semangat, nak berperang sahaja, tak boleh pilihan raya ini, haram. Akhirnya berperang sama sendiri, berperang secara proksi. Apa yang berlaku di Syria, di Yaman, di Libya, peperangan secara proksi.

“Berperang sesama sendiri dengan senjata Barat, (guna) duit kita, bunuh (orang) kita, cerdik ke ini? Berperang sesama kita dengan senjata kita beli barang, bayar duit kepada orang Barat, perang sesama kita, Barat dapat duit, kita mampus. Ini berlaku di Asia Barat pada hari ini.

“Kita mengharapkan Asia Tenggara dilindungi oleh Allah. Ulama-ulama Asia Tenggara mesti memahami perkembangan politik, jangan baca kitab kuning sahaja, surat khabar kena baca juga, (tapi) jangan ditipu oleh surat khabar pula, ditipu oleh internet. Ada ulama yang kuat baca ‘facebook’, tak baca Quran. Quran tak baca, ‘facebook’ baca, ini satu hal,” nasihatnya.

Tegas beliau, mengikut perkembangan itu, di samping menghadapi serangan pemikiran atau ‘al-Ghazwul Fikri’, perlu juga mengatasi masalah orang Islam yang jahil dan bebal menganut Komunisme, Sosialisme dan Pragmatisme serta seumpamanya.

Kerana katanya, berlaku kumpulan Komunisme yang berada dalam hutan, tetapi melaksanakan ibadah Islam lainnya.

Malah ceritanya, pernah ditulis Pak Hamka di Indonesia terdapai Kiyai yang bersyarah di atas pentas Komunis kerana menganggap tidak ada kena mengena dengan akidah.

“Dia mengaji kitab akidah tidak ada Komunis dalam itu, tak ada Sosialis, yang adanya Asy-Syairah, Maturidiyyah, Muktazilah, Jabariyah, kampung dia tak ada, Muktazilah, jadi komunis. Di sini pun apa kurangnya? Ini kerana kita tidak mengikut perkembangan ‘at-Tafaqquh’ dalam masalah Islam yang perlu kita dalami, kita betulkan,” seru beliau.

Muhasabah & Bangkit Semula

Terdahulu dalam ucapannya itu, beliau menyeru agar dilakukan muhasabah diri dan kerja dilaksanakan dalam melangsungkan tugas Islam melihat sebab kejayaan generasi awal Islam yang tidak dicapai oleh generasi hari ini.

Menurutnya, generasi awal iaitu Rasulullah S.A.W dan para Sahabat hidup di tengah masyarakat jahiliyah yang paling keras hingga sanggup menanam anak hidup-hidup, berperang sesama sendiri, hidup dalam keadaan berpegang kepada undang-undang rimba,

Malah katanya, betapa keras hati mereka itu seperti keras batu-batu di padang pasir, namun generasi awal berjaya melembutkan mereka dengan Islam.

Terangnya, generasi awal yang menyampaikan Islam selepas kejatuhan Parsi dan Rom, masuk ke Benua India, Pakistan dan Utara India, Asia Tengah atau dikenali dengan Jalan Sutera.

“Bukan sahaja cahaya Islam tidak boleh dipadamkan, bahkan Islam meranapkan ajaran-ajaran yang lain. Sampai hari ini, kawasan itu majoriti umat Islam. Khusus bagi rantau Asia Tenggara, Islam masuk bersama dengan pendakwah-pendakwah, pedagang-pedagang dan peniaga, sehingga Rantau Asia Tenggara menjadi majoriti Islam yang terbesar dalam dunia.

“Hari ini dengan jumlah 300 juta umat Islam. Di mana rahsia kejayaan-kejayaan mereka? Kita hari ini pencapaian yang terlalu ‘slow’, lambat, mengapa? Sudah tentu di sana ada perkara yang tidak kena, yang perlu kita lakukan muhasabah. Saya sebut satu contoh yang menarik bagaimana pendakwah-pendakwah yang membawa Islam di Asia Tenggara ini adalah kalangan orang Islam bermazhab Syafie.

“(Tetapi) berdepan dengan penduduk Asia Tenggara yang menganut agama Hindu Buddha. Kalau kita baca feqah mazhab Syafie tidak menerima ahli zimmah, tak menerima orang bukan Islam melainkan ahli Kitab; Kristian, Yahudi dan Majusi, ini feqah mazhab Syafie. Namun pendakwah yang menegakkan pemerintahan Islam di Asia Tenggara, di Malaysia, di Indonesia, berjaya meng-Islamkan penduduk Hindu dan Buddha,” jelas beliau.

Tegas beliau, perkara itu menunjukkan di sana ada fiqhud Dakwah, fiqhus Siasah dan fiqhul Jihad, iaitu tidak semata-mata fiqhul Ahkam di mana ia sangat perlu difahami oleh ulama-ulama pada hari ini.

Beliau turut menyeru supaya memahami bahawa umat kini sedang mewarisi kerja Islam di zaman Islam sedang dikepung oleh bala tentera Ahzab di zaman terkini dengan cara yang lebih canggih daripada Ahzab di zaman dahulu.

Terangnya, kepungan politik, ekonomi, ketenteraan, media dan lain-lain sedang berlaku namun umat perlu terus yakin bahawa usaha musuh memadamkan cahaya agama Allah tidak akan berjaya.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

nine + one =