Mangsa Serangan Kimia Di Syria Alami Penderitaan Berterusan

Mangsa Serangan Kimia Di Syria Alami Penderitaan Berterusan

Majoriti mangsa serangan kimia di Idlib Syria yang terselamat kini masih dalam trauma dan berhadapan kesakitan untuk pulih.

Salah seorang aktivis dan saksi kejadian, Othman al-Khani berkata kejadian menyayat hati itu tidak dapat digambarkan.

“Kami melihat mangsa terseksa di mana serangan itu merosakkan paru-paru mereka.

“Paling sedih apabila menyaksikan kanak-kanak yang menjadi mangsa tanpa dapat memberikan apa-apa jenis bantuan,” tambah Khani memberitahu Al Jazeera.

Serangan udara Selasa lalu yang mensasarkan kejiranan Khan Sheikhoun menyebabkan sekurang-kurangnya 70 orang awam terbunuh dan 557 cedera.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, pihaknya akan menyiasat serangan itu yang dikategorikan sebagai serangan jenayah.

Hani Ahmed al-Qutaini, seorang lagi saksi, menyifatkan serangan itu sebagai pengalaman yang memeritkan.

“Apabila serangan pertama berlaku kira-kira jam 6:30 pagi, orang ramai sedang tidur di rumah mereka,tiada siapa yang tahu apa jenis serangan ini,” kata Qutaini yang juga seorang sukarelawan bersama Pertahanan Awam Syria.

Qutaini berada di rumahnya, beberapa kilometer dari tempat kejadian serangan itu ketika bom pertama melanda.

Katanya, mereka bergegas ke jalanan dan ketika menghampiri tempat kejadian, mereka terkejut melihat orang mengatakan bahawa ada bau yang sangat busuk di kawasan itu.

Tambahnya, setiap orang yang menghampiri tempat kejadian berasa pening dan pengsan.

Menurut Qutaini lagi, sebanyak empat serangan udara disasarkan ke kawasan sama dan beliau berkata mereka menyedari bahawa itu adalah serangan gas beracun.

“Kelengkapan kami semua tidak lengkap. Kami memakai topeng asas dan tidak mempunyai topeng anti-gas.

“Sebahagian daripada pasukan perubatan turut terjejas di mana segelintir dari mereka pengsan dan terpaksa meminta untuk berehat.

“Kami menemui mayat mangsa serangan di atas lantai. Kami hanya membisu, tanpa mampu berbuat apa-apa,” kata Qutaini.

Katanya, ia adalah satu pengalaman yang sangat menyakitkan.

Kesan gas begitu kuat. Terdapat tiga atau empat bom gas dalam satu kawasan, dengan jarak 500 meter antara satu sama lain.

Menurut pegawai perubatan tempatan, serangan itu menyebabkan orang ramai muntah dan mengeluarkan buih dari mulut mereka.

Salah seorang pekerja pertahanan awam tempatan yang cedera dalam serangan itu, Anas al-Diab mengatakan bahawa sehingga kini matanya sangat gatal dan merah dengan hanya boleh melihat kegelapan.

SUMBER: http://www.aljazeera.com/indepth/features/2017/04/idlib-gruesome-170405115057834.html

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

one + two =