Sikit-sikit Syiah, Sikit-sikit Wahabi

SIKIT-SIKIT SYIAH, SIKIT-SIKIT WAHABI

Dua sentimen yang perlu dihindarkan khususnya oleh orang mengaji agama dan pencinta agama.

1. Kalau benda pelik sikit, terus label wahabi. Terus label syiah. Sampaikan riwayat umur siti Aisyah kahwin dengan Nabi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari pun, dilabelkan sebagai syiah hanya kerana ulama syiah menyokong. Memetik pandangan Ibn Taimiah yang selari dengan imam mazhab juga ditolak hanya kerana beliau dianggap imam salafi wahabi.

Jangan mudah telan sahaja apa orang tulis dan kata. Perlu rasional zaman fitnah ini. Sediakan diri secukupnya untuk menerima ilmu secara adil dan komprehensif. Jangan terpengaruh dengan pemikiran mana-mana manusia. Cukuplah al-Quran dan Hadis sebagai pegangan paling tinggi.

2. Apa sahaja datang dari wahabi, ditolak mentah. Apa sahaja dari syiah, dibuang ibarat sampah. Sampaikan memuji Saidina Ali dan berpihak kepada beliau dalam krisis khalifah dahulu juga dikutuk hebat hanya kerana ia dianggap memberi kredit kepada Syiah. Sampaikan menyatakan sesuatu hadis sebagai daif, menerangkan sesuatu perkara sebagai bidaah juga turut dihentam keras, hanya kerana itu perjuangan wahabi.

Adillah dalam berpendapat. Adillah dalam menerima riwayat. Adillah dalam menghukum. Ada pendapat dari ulama syiah sebenarnya selari dengan ramai tokoh ahli sunnah wal jamaah walaupun tidak semua. Banyak juga pandangan kritis Ibn Taimiah dan para muridnya yang dijadikan panduan ulama dari mazhab 4 mutakhir ini.

Apabila mengkaji tentang sesuatu berita atau hukum, kembali kepada disiplin ilmu dan kaedah syarak yang asal. Kalau pendapat wahabi lagi tepat, terimalah ia walaupun bercanggah dengan pegangan kita yang asal. Tak perlu terpengaruh dengan sentimen sehingga lupa pegangan asal.

Paling penting adalah memahami permainan musuh Islam dalam memanipulasikan perbezaan antara umat Islam. Suatu perbezaan yang dahulunya rahmat dan asas ketamadunan, kini bertukar azab dan punca kemunduran.

Ironinya, banyak pendapat orientalis yang dikaji. Ada pandangan pemikir barat yang diterima. Banyak sekali polisi kuffar yang dipuji, kononnya bertepatan dengan Islam. Sebahagiannya tidak dinafi, tetapi berlaku adillah!

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّـهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
[Al-Maidah:8]

(Alang Ibn Shukrimun)

*Tulisan ini dimuatnaik tanpa mengubah apa-apa dari tulisan asal penulis. Tulisan ini juga sama sekali tidak mewakili pendirian rasmi pihak Media Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (Cawangan Asia Tenggara).

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

ninety nine − = 98