Irsyad Al-Fatwa Ke-141: Aurat Antara Muslimah Dan Wanita Bukan Muslim

IRSYAD FATWA

IRSYAD AL-FATWA KE-141: AURAT ANTARA MUSLIMAH DAN WANITA BUKAN MUSLIM

Ditulis oleh Admin PMWP Diterbitkan: 10 November 2016

Soalan:

Boleh jelaskan berkenaan berkenaan aurat muslimah dengan perempuan yang bukan Islam?
Jawapan:

Sebelum dibahaskan dengan lebih lanjut berkenaan isu tersebut, dikemukakan di sini beberapa takrifan berkenaan aurat.

Definisi Aurat

Perkataan aurat ialah merujuk kepada apa-apa yang diharamkan untuk didedah daripada anggota badan sama ada lelaki ataupun perempuan. Ia juga ditakrifkan sebagai apa-apa yang wajib ditutupi dan tidak boleh dizahirkan daripada anggota badan. Menurut Khatib al-Syarbini, aurat diertikan sebagai apa-apa yang haram untuk dilihat. (Lihat Mughni al-Muhtaj: 1/185)

Pandangan Ulama

Ulama fiqh berbeza pandangan berkenaan aurat perempun muslimah pada pandangan perempuan kafirah, sehinggakan ulama didalam mazhab syafie sendiri juga mempunyai beberapa pandangan.

Menurut pandangan majoriti ulama fiqh bahawasanya aurat perempuan muslimah pada pandangan perempuan kafirah adalah seperti aurat perempuan pada pandangan lelaki ajnabi, iaitu seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. (Lihat Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah: 1/47)

Sebahagian ulama mazhab syafei berpandangan bahawasanya aurat muslimah pada pandangan perempuan kafirah adalah seluruh tubuh yang selain daripda kepala, tangan dan kaki.Berkata Syeikh Ibnu Hajar Al-Haitami: Pandangan yang lebih sahih adalah haram perempuan kafir zimmi dan kesemua perempuan kafir walaupun kafir harbiy melihat kepada perempuan muslimah, tetapi harus dia melihat dari perempuan muslimah apa yang zahir ketika bekerja. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj:7/200).

Didalam kitab Siraj al-Wahhab, pengarang ada menyebut: Pandangan yang lebih sahih adalah haram perempuan kafir zimmiy melihat kepada perempuan muslimah, tetapi harus dia melihat dari perempuan muslimah apa yang zahir ketika bekerja.

Imam Al-Qalyubi menyebut: Tetapi boleh perempuan kafir zimmi melihat dari perempuan muslimah apa yang zahir ketika bekerja. Inilah yang muktamad, maka perlu diikatkan dengannya akan kalam pengarang. (Lihat Hasyiah Qalyubi Wa ‘Umairah: 3/212)Kata Imam Asy-Syarwani: Aurat muslimah nisbah kepada pandangan wanita kafirah, jika wanita tersebut bukan tuannya dan juga bukan mahramnya, iaitu anggota yang tidak zahir (nampak) pada ketika bekerja. (Lihat Hasyiah al-Syarwani Ala Tuhfah al-Muhtaj: 2/212).

Berkata Syaikhul Islam Zakaria al-Ansari: Perkataanya “Anggota yang zahir ketika bekerja” iaitu muka, kepala, tangan hingga siku dan kaki hingga lutut. (Lihat Asna al-Matalib: 14/280)
Kesimpulan

Aurat perempuan muslimah pada pandangan perempuan kafirah menurut pandangan majoriti ulama fiqh adalah seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. Manakala menurut pandangan sebahagian ulama mazhab syafie, termasuk sebahagian ulama mutaakkhirin mazhab syafie bahawa aurat perempuan muslimah pada pandangan perempuan kafirah adalah selain kepala, tangan dan kaki.

Kami berpendapat dalam isu seperti ini, pengawalan dan penjagaan aurat adalah amat penting tetapi dalam keadaan tertentu, jika sesama perempuan sekalipun perempuan bukan Islam maka ia adalah harus dengan syarat tidak membawa fitnah dan menjatuhkan maruah wanita muslimah.

Ini kerana keadaan realiti kehidupan kini begitu berbeza dengan zaman dahulu. Justeru, meraikan keadaan semasa yang bersifat realiti perlulah diambilkira.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

− six = three