Geopolitik Tanduk Afrika dan dasar luar UAE

Geopolitik Tanduk Afrika dan dasar luar UAE

Oleh: Haris Zalkapli

Cerita kebangkitan “Arab spring” sebahagian besarnya ialah cerita dasar luar Qatar, negara pendukung gerakan Ikhwan al-Muslimin yang hampir menyaksikan agenda kuasanya dicapai ekoran kebangkitan massa di seluruh Asia Barat dan Afrika Utara. Sekiranya Qatar disifatkan sebagai penggerak Arab spring (bersama dengan Turki), Emiriyah Arab Bersatu pula menyekat kebangkitan serantau yang digerakkan oleh kepentingan geopolitik ini.

Kisah dasar luar Qatar boleh dikatakan menjadi cerita paling menarik sepanjang kebangkitan Arab, dan kini, dasar luar yang paling penting diperhatikan ialah dasar luar Emiriyah. Dari Yaman hingga ke Libya dan Mesir, Emiriyah kelihatan mencapai matlamat-matlamat penting kuasanya, mengatasi Qatar dan juga kuasa serantau Arab Saudi, yang kedua-duanya telah semakin terhakis pengaruh di Mesir akibat kejatuhan Hosni Mubarak dan kemudian Mohamed Morsi.

Pada masa ini, Tanduk Afrika ialah kawasan yang paling menjelaskan perluasan kuasa dan pengaruh Emiriyah. Selain kawasan Teluk Parsi yang sentiasa panas, Tanduk Afrika juga menyaksikan persaingan sengit kuasa-kuasa dunia, dengan lokasi di Laut Merah, Teluk Aden, Laut Arab, dan Lautan Hindi yang menjadikannya kawasan yang penting untuk dikuasai, atau sekurang-kurangnya memastikan kehadiran di sini.

Selain Turki yang baru menubuhkan pangkalan tentera di Qatar, Emiriyah menjadi sebuah lagi negara kuasa serantau yang giat menubuhkan pangkalan tentera. Emiriyah telah pun mempunyai pangkalan tentera di Eritrea (yang membantu operasinya di Yaman), dan awal tahun ini menyempurnakan perjanjian untuk membina sebuah pangkalan tentera laut di Somaliland, negara yang telah mengisytiharkan kemerdekaan tetapi tidak diiktiraf antarabangsa.

Somaliland yang bersempadan Djibouti menambahkan kelebihan strategik kepada Emiriyah di Tanduk Afrika. Djibouti ialah lokasi pangkalan tentera Africom Amerika Syarikat, dan tidak jauh dari situ, terletak sebuah pangkalan tentera China yang sedang dibina. Sebuah lagi negara, Arab Saudi, juga sedang membina pangkalan di Djibouti, negara yang terletak di laluan paling sempit (choke point), Bab al-Mandeb di antara Tanduk Afrika dan Yaman di Semenanjung Arab.

Pelaksanaan dasar luar Emiriyah kini menjadikannya negara paling berpotensi untuk muncul paling berpengaruh di Somaliland, selain negara yang juga penting kepada Eritrea. Kemasukan agresif Emiriyah semasa Somaliland amat memerlukan kawan banyak membantu dari segi membina dan mengukuhkan pengaruh. Hasil strategi yang berbeza selepas bersama memulakan kempen ketenteraan di Yaman, Emiriyah kini membina pengaruh tersendiri di negara seberang Tanduk Afrika itu.

Emiriyah menyaksikan satu strategi dasar luar yang menarik selepas Qatar yang kini tersekat akibat percaturan yang dianggap terlalu agresif sepanjang kebangkitan Arab. Menarik juga diperhatikan masa yang sama permulaan perluasan pengaruh Emiriyah dan permulaan kemerosotan pengaruh Qatar selepas Arabs spring. Dua negara yang memperlihatkan strategi pelaburan global dan dasar luar yang hampir sama telah mencatat sejarah sebagai antara negara kuasa baharu (emerging powers) yang penting di peringkat antarabangsa pada masa kini.

*Tulisan ini dimuatnaik tanpa mengubah apa-apa dari tulisan asal. Tulisan ini juga sama sekali tidak mewakili pendirian rasmi pihak Media Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (Cawangan Asia Tenggara).

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

eighty eight − = eighty