Bagaimana Pengurusan Jenazah Janin Yang Gugur?

AL-KAFI #602 : BAGAIMANA PENGURUSAN JENAZAH JANIN YANG GUGUR?

Soalan:

Assalamualaikum wbt,

Saya keguguran anak minggu ini. Usianya lebih kurang 16 minggu, tapi bila diimbas umurnya dalam 12 minggu sahaja. Sebaik sahaja gugur, janin didapati masih di dalam kantung air ketuban, dan telah nampak kewujudan yang agak sempurna. Bagaimana cara yang dikatakan dengan memandikan? Adakah cukup seperti yang suami saya lakukan kerana diterangkan sebelum ini hanya sunat untuk dimandikan? Dan adakah sunat juga untuk dikafankan seperti manusia yang hidup, atau cukup jika dibungkus degan kain seperti suami saya lakukan kerana janin masih di dalam kantung berserta dengan urinya?

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami ucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam dipanjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Imam al-Khatib al-Syarbini menyebut dalam kitab al-Iqna` (Hlm. 290) pada membicara kes mayat yang tidak dimandikan dan juga tidak disolatkan:

[Janin yang gugur dalam keadaan tidak mengeluarkan suara] yakni tidak diketahui tanda hidupnya dan tidak jelas rupa bentuknya (seperti manusia). Tidak boleh untuk disolatkan ke atasnya dan tidak wajib memandikannya. Sunat pula menutupinya dengan kain dan mengebumikannya. Adapun jika diketahui hidupnya dengan suara atau selainnya atau jelas tanda-tanda kehidupannya seperti menggigil atau bergerak-gerak maka hukumnya seperti kanak-kanak yang besar maka wajiblah dimandikan dan dikafankan dan disolatkan ke atasnya, dan dikebumikan, kerana tanda hidup dan matinya telah wujud secara pasti. Jika tidak diketahui hidupnya tetapi terzahir rupa bentuk (sebagai manusia) wajib untuk mempersiapkannya (yakni dimandikan, dikafankan dan dikebumikan) tanpa solat. Solat berbeza daripada selainnya kerana selainnya itu lebih luas medannya daripada solat. Ini juga berdasarkan dalil bahawa kafir dzimmi boleh dimandikan, dikafankan dan dikebumikan tetapi tidak disolatkan ke atasnya.”

Maka difahami daripada ibarat di atas ialah, seperti mana yang disebut oleh Syeikh Muhammad al-Zuhali dalam al-Muʿtamad (1/629-630) :

  1. Jika janin yang gugur itu diketahui hayatnya, seperti keluar suaranya, menangis, dan kemudian mati, maka hukumnya sama seperti orang dewasa. Wajib dimandikan, dikafankan dengan tiga helai pakaian, disolatkan, dan dikebumikan.
  2. Jika janin yang gugur itu bergerak-gerak, atau menggigil, yang menunjukkan tanda hidup, tetapi tidak mengeluarkan suara, maka diambil kira kemungkinan wujudnya kehidupan. Justeru, janin itu apabila mati maka ia dimandikan, disolat, dan dikebumikan, atas dasar berhati-hati.
  3. Jika janin yang gugur itu tidak zahir padanya tanda-tanda hayat, sama ada tidak cukup empat bulan dan tidak zahir padanya rupa bentuk insan, atau cukup empat bulan dan zahir padanya rupa bentuk insan tetapi tidak bergerak dan tidak mengeluarkan suara, maka tidak boleh disolatkan. Tetapi wajib dimandikan, dikafankan dengan potongan kain dan dikebumikan.
  4. Jika wanita itu keguguran dan keluar seketul daging maka tidak sabit hukum kelahiran biasa. Justeru, tidak dimandikan, tidak dikafankan dan tidak disolatkan, hanya aula (utama) untuk ditutup.

Maka dalam kes puan, jika janin yang gugur itu sudah memiliki bentuk manusia, dan bergerak-gerak, lalu mati maka hendaklah dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan. Jika tidak bergerak, maka wajib dimandikan, dikafankan, tidak disolatkan dan dikebumikan. Ini kerana tidak ada dalil bahawa anak itu sudah hidup.

Semoga Allah Taala berikan kita kekuatan dan kesabaran terhadap kesusahan yang berlaku. InsyaAllah Allah gantikan dengan perkara yang lebih baik.

http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/al-kafili-al-fatawi/1553-al-kafi-602-bagaimana-pengurusan-jenazah-janin-yang-gugur

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

78 + = eighty six