Naib Presiden KUIS Kecam Pengeboman Rusia

Naib Presiden KUIS Kecam Pengeboman Rusia

Naib Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (KUIS) mengecam pengeboman terbaru yang berlaku di stesen keretapi bawah tanah St. Petersburg, Rusia pada 3 Mac lalu.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi melalui kenyataan terbaru beliau hari ini berkata, tragedi letupan bom tersebut telah mengorbankan belasan mangsa dan mencederakan puluhan orang awam yang tidak bersalah.

Beliau merakamkan ucapan takziah kepada seluruh mangsa dan keluarga yang terlibat dalam tragedi kejam dan tidak bertamadun ini.

Beliau menambah, ucapan takziah juga ditujukan kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin dan seluruh rakyat Rusia di atas tragedi berdarah ini.

Katanya, Islam sentiasa memerangi kezaliman apatah lagi yang melibatkan penduduk awam.

Tegas beliau, ajaran Islam secara konsisten mengecam sebarang tindakan pembunuhan dan kekejaman yang melibatkan orang awam yang tidak berdosa untuk apa tujuan sekalipun.

Justeru, beliau menggesa pihak yang bertanggungjawab supaya dibawa ke muka pengadilan untuk dikenakan tindakan seadilnya.

Dalam masa yang sama, Tuan Guru Abdul Hadi turut menggesa semua pihak untuk berfikir dan bertindak secara matang dalam apa jua tindakan agar dapat mengelakkan kejadian yang tidak bertamadun ini berulang.

Selain itu beliau juga menggesa supaya semua pihak tidak menuding jari kepada mana-mana pihak terutama sekali yang mempunyai kaitan dengan Islam sebagai dalang tragedi ini sebelum bukti kukuh diperolehi.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

+ 25 = twenty seven