Hidup Berjama’ah Dan Haram Perpecahan

JAMA’AH-CENTRIC DI ZAMAN MILENIUM SIRI 5: KEWAJIBAN HIDUP BERJAMA’AH DAN HARAM PERPECAHAN

Antara hadis paling menarik perihal jama’ah adalah hadis Huzaifah bin Yaman yang disepakati kesahihannya oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim al-Nisaburi.

Imam al-Bukhari menyebut dalam bab petanda kenabian dalam Islam (3336) dan bab cara urusan ketika tiada jamaa (6645). Manakala Imam Muslim pula menyebut dalam bab kewajiban bersama jama’ah Muslimin ketika zaman fitnah dan setiap keadaan, dan pengharaman keluar dari ketaatan dan berpecah dari jama’ah (3426).

Tajuk bab-bab ini menunjukkan kepentingan hadis ini membawa hukum yang wajib umat Islam ketahui kewajiban berjama’ah dalam setiap zaman walaupun berbeza latarbelakang. Hadis ini menyebut:

Sabda Nabi:

‎ تلزم جماعة المسلمين وإمامهم

Maksudnya: (Berkewajiban) bersama jama’ah al-Muslimin dan kepimpinan mereka.

Huzayfah bertanya:

‎ فإن لم يكن لهم جماعة ولا إمام

Maksudnya: Jikalau mereka tiada jama’ah dan pemimpin?

Berkata nabi:

‎ فاعتزل تلك الفرق كلها ولو أن تعض بأصل شجرة حتى يدركك الموت وأنت على ذلك ‏

Bermaksud: Lepaskanlah diri dari semua perpecahan walaupun kamu (terpaksa) memamah hulu kayu sehingga mati menjemput kamu dalam batang keadaan kamu sebegitu.

Hadis ini secara jelas menyebut bahawa jama’ah bukan sahaja membawa maksud kumpulan dan kelompok. Bahkan membawa erti kesatuan di bawah satu kepimpinan. Dengan erti lain, jama’ah merupakan kelompok yang teramai diterajui dengan satu sistem kepimpinan.

Pandangan mengenai kelompok yang teramai ini diambil dari pandangan al-Shatibi (2008) yang bersesuaian dengan athar Ibnu Mas’ud yang menyebut,

“[Wajiblah] melazimi ketaatan dan jamaah. Maka sesungguhnya ia adalah tali Allah yang Dia arahkan dengannya dan sesungguhnya
sesuatu kamu benci dalam jamaah adalah [lebih] baik dari sesuatu kamu suka dalam perpecahan”.

Dari athar ini dapat menggambarkan berjama’ah atau berkelompok adalah lebih baik dari perpecahan. Sandaran pandangan ini tentu sekali merujuk surah Ali Imran ayat 103 berkenaan tali Allah yang Allah arahkan berpegang dengannya. Firman Allah s.w.t.:

‎واعتصموا بحبل الله جميعًا ولا تفرقوا

(al-Qur’an 3: 103)

Maksudnya:
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai.

Pandangan ini mempunyai sadaran hidup bersatu padu sebagaimana riwayat al-Hakim (nombor hadis: 761) bahawa nabi Muhammad s.a.w. bersabda:

فعليك بالجماعة، فإنما يأكل الذئب من الغنم القاصية

Maksudnya:
Maka [wajiblah] atas kamu dengan ‘Jama’ah’, sesungguhnya serigala memakan dari kambing yang terasing”.

Maka, arahan al-Qur’an dan penerangan hadis dan athar sudah menunjukkan kesatuan adalah wajib dan terpuji, dan perpecahan adalah haram dan tercela. Hukum wajiban bersatu dan haram perpecahan ini akan berterusan sehingga akhir zaman.

Begitu juga zaman Millenium yang dianggap zaman elektronik, digital dan teknologi nano. Walaupun zaman Millenium berbeza pendekatan dari sudut teknologi dengan capaian segera di alam maya, kewajiban bersatu padu adalah berterusan.

Manusia dengan teknologi terkini dianggap sebagai manusia yang ‘superb’. Manusia di zaman Millenium ini bagaikan diberi kuasa luar biasa kerana komunikasi mereka diperkuatkan dengan komunikasi yang mudah dan pantas. Malah, semangat bermasyarakat dan bersosialisasi sangat kukuh yang menyebabkan manusia zaman Millenium ini mempunyai pelbagai alasan untuk menyendiri di alam realiti.

Hidup menyendiri sehingga menjauhi masyarakat merupakan penyakit sosial yang digelar para ilmuan psikologi sebagai ‘sosiophatic’. Ia merupakan penyakit yang mudah dihinggapi oleh masyarakat zaman Millenium kerana kemunculan teknologi baru seakan-akan menjadikan manusia hanya berkomunikasi dengan gadget telifon pintar.

Manusia zaman Millenium menghabiskan masa di hadapan gadget telifon dan komputer pada setiap minggu dan setiap hari yang hidup bersama-sama dengan gadget walaupun berterusan satu hingga empat jam lamanya. Situasi ini boleh menyebabkan manusia hanya pandai berhadapan dengan teknologi yang menyambung ke alam maya sahaja. Jikalau ia berterusan, manusia mudah sahaja dihinggapi penyakit ‘sociopathic’.

Oleh demikian, kehadiran nas yang jelas agar hidup berjama’ah adalah satu-satunya ubat untuk manusia di zaman Millenium bersama-sama dengan masyarakat dan kepimpinannya. Ia merupakan tali yang menghubung antara jiwa-jiwa manusia dan dihubung dengan lebih kemas.

Alangkah baiknya, hubungan ini diikat dengan ‘tali Allah’ yang merupakan jama’ah yang diikat dengan panduan agama Islam dan kepiminan Islam. Dengan panduan ini dan kepimpinan Islam, pasti akan bahagia di dunia dan di akhirat walaupu diuji dengan pelbagai cabaran dan ancaman di zaman Millenium.

Dr. Muhammad Atiullah bin Othman

*Tulisan ini dimuatnaik tanpa mengubah apa-apa dari tulisan asal penulis. Tulisan ini juga sama sekali tidak mewakili pendirian rasmi pihak Media Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (Cawangan Asia Tenggara).

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

seventy nine − = seventy