Inspirasi Kajian Strategi Perang Dalam Islam

WARRIOR ETHICS SIRI 2: INSPIRASI KAJIAN STRATEGI PERANG DALAM ISLAM

Seingat tahun 2000, masalah pemikiran bergolak dalam diri sejak 1994 sudahpun reda. Saya sediakan dua minggu pada awal tahun tersebut untuk perdebatan dalam diri mengenai isu-isu akidah dan kepercayaan yang berakhir dengan ketenangan dan keyakinan.

Pada awal Millenium ini juga telah timbul kebosanan kerana tiada lagi ombak yang membantai alam pemikiran. Oleh demikian, satu tempat yang paling patut dikunjungi adalah kedai buku, untuk mencari ombak baru yang patut ditempuhi. Pencarian sangat berjaya kerana dapat bertemu sebuah buku epik yang berjudul ‘The Art of War’ atau disebut dalam bahasa Malaysia ‘Seni Perang’.

Pada awal pembacaan, buku ini gagal difahami secara mendalam. Selepas tiga kali pengulangan pembacaan, saya mengambil keputusan untuk mengunjungi semula kedai buku. Karya ‘Seni Perang’ merupakan tulisan yang sangat ringkas tapi padat. Ia seakan-akan buku ‘matan’ dalam karya bahasa Arab. Masalah memahami kandungan karya ‘Seni Perang’ dapat diselesaikan apabila menjumpai ulasan dengan tiga jenis penjelasan iaitu penjelasan akademik, penjelasan strategi bisnes dan penjelasan ilustrasi kartun.

Hakikatnya, buku ‘Seni Perang’ sudah sangat popular di kalangan masyarakat China. Perbincangan mengenainya sangat mendasar dan mendalam. Sebaliknya, masyarakat Muslim terutamanya di Timur Tengah tidak mengambil tahu idea karya tersebut.

Mungkin punca utama umat Islam tidak mengendahkan karya tersebut adalah kerana rujukan al-Quran dan al-Sunnah sudah menjadi dasar dan dijelmakan dalam kehidupan masyarakat. Terutamanya sirah sepanjang perjuangan nabi Muhammad s.a.w. telah menjadi ukuran standard gerak geri umat Islam, rujukan selain dari Islam tidak mendapat perhatian secara langsung.

Di kaca tv, di masjid, di surau dan tazkirah agama sering memetik rujukan perilaku nabi yang agong ini sebagai dasar perjuangan dan strategi menjadikan nabi Muhammad sebagai inspirasi utama strategi ketenteraan Islam. Oleh demikian, bukan soal Islam tidak mengambil endah perihal strategi tetapi sosok tubuh dan perjuangan nabi Muhammad telah menjadi pegangan umat Islam.

Oleh demikian, penyusunan semula strategi perjuangan nabi Muhammad ini sangat signifikan agar menjadikan baginda sebagai inspirasi strategi ketenteraan dan perjuang Islam sepanjang zaman. Saya dapati terdapat pelbagai cara penyusunan yang sangat berbeza. Ada menyusun melalui karya sirah/sejarah nabi, ada pula melalui susunan bab hadis nabi terutamanya hadis nabi berkenaan perang, dan ada pula menulis berdasarkan ilmu fekah terutamanya bab jihad. Malah, ada menulis strategi disisipkan dalam karya-karya tafsir.

Penyusunan mendasar berdasarkan topik-topik strategi masih lagi kurang. Hanya pemimpin dan jeneral tentera yang berkecimpung dalam medan peperangan dan ketenteraan yang mampu menulis sedemikian. Oleh itu, karya-karya Muhammad Jamaluddin (1976), Abdullah Abdul Rashid (1990), Mustafa Ahmad Kamal (1995) dan Muhammad Farh (1998) sangat penting disusun.

Tambahan pula, tahun 2001 sehingga 2005 adalah tempoh saya menamatkan pembelajaran hadis sahih Muslim, dan sehingga 2007 adalah tempoh saya menamatkan pembacaan hampir keseluruhan enam karya-karya hadis termasyhur. Hasil pembacaan ini, saya sisipkan dalam topik-topik perbincangan strategi.

Bermula dengan topik persiapan individu, disambung topik kepimpinan, kemudian perisikan, pengaturan posisi, penggabungan dan pendirian terhadap musuh. Semuanya disusun dan diatur sepanjang tempoh lapan tahun. Akhirnya sudah dibukukan dan disempurnakan penulisannya dengan geran universiti dan boleh dirujuk dengan gaya bahasa akademik.

Dr. Muhammad Atiullah bin Othman

*Tulisan ini sama sekali tidak mewakili pendirian rasmi pihak Media Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (Cawangan Asia Tenggara).

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

− 3 = three