Iblis, Liberalis Yang Pertama

Iblis, Liberalis Yang Pertama

Al-Kahfi

Di dalam surah al-Kahfi, Allah merakamkan kisah kederhakaan Iblis. Jika diamati, terdapat 11 tempat di dalam al-Quran yang mengisahkan tentang Iblis. Tetapi ingatan versi surah al-Kahfi agak berbeza penekanan yang Allah berikan.

Fitnah Akhir Zaman.

Allah mengingatkan tentang sikap segelintir manusia yang suka menjadikan pengikut Iblis sebagai pendamping dan pemimpin mereka. Kita pun maklum, surah al-Kahfi memberi peringatan tentang gejala-gejala akhir zaman yang sewajarnya dibimbangkan.

“Patutkah kamu menjadikan dia (Iblis) dan keturunannya sebagai pemimpin selain dariKu sedangkan mereka adalah musuhmu?”

(Surah al-Kahfi, ayat 50)

Pemikiran Iblis.

Kita boleh mengamati kerangka pemikiran Iblis antaranya dengan ayat;

“Allah berkata, apakah yang menghalangmu dari sujud kepada Adam ketika Aku menyuruhmu? Iblis menjawab, aku lebih baik daripadanya. Engkau ciptakan aku dari api sedangkan dia engkau ciptakan dari tanah”

(Surah al-A’raf, ayat 12)

Disokong dengan ayat-ayat lain, sikap Iblis sememangnya super ego. Sikap tersebut amat berfungsi ketika menonjolkan pemikiran liberalnya.

Meliberalkan Diri Dari Taklifan Allah.

Iblis cuba berunding dengan Allah, sedangkan Allah adalah Tuhan Yang Maha Berautoriti. Iblis mengemukakan rasional berupa fakta bahawa dia dicipta dari api yang dianggap gagah, tidak sepadan dengan Adam yang dicipta dari tanah. Fakta tersebut tidak salah.

Namun dakwaan penuh fakta itu bertujuan untuk meliberalkan diri dari taklifan Allah. Meloloskan diri dari kewajiban sebagai hamba Allah. Dijayakan lagi dengan sikap egonya. Dia lupa bahawa Allah Maha Layak dan Maha Bijak.

Iblis merasakan bahawa dia boleh berbeza pandangan dan berdemokrasi dengan Allah. Bahkan Iblis cuba meletakkan syarat kepada Allah supaya menyediakan alasan logik lagi rasional terlebih dahulu sebelum mensyariatkan taklifan ke atas dirinya.

“Yang paling awal membandingkan agama dengan pandangan rasionalnya adalah Iblis”

(Hadis Riwayat Abu Nu’aym)

Tafsir al-Mannar

Syeikh Rasyid Redha merumuskan karektor Iblis antaranya:

⚫ Enggan menerima perintah Allah yang tidak selari dengan seleranya.

⚫ Tidak menganggap kalam Allah sebagai pemutus yang mutlak. Kononnya terbuka untuk perundingan dan perbincangan

⚫ Menganggap arahan Allah banyak mendatangkan mudarat. Maka seharusnya ditinggalkan sahaja.

Waspada

Jika dilihat karektor & kerangka pemikiran Iblis, kita dapati ia amat mirip dengan pemikiran liberal. Pemikiran tersebut dipersembahkan dengan gaya yang cukup intelek lagi cerdik, secerdik Iblis. Hakikatnya ia terkandung pelali yang membius rasa berTuhan kita.

Mendekati pemikiran Iblis pun bahaya. Apatah lagi menjadikan penganutnya sebagai pendamping dan teraju, lagilah berisiko untuk tersesat. Demikian pesanan Allah, bagi mereka yang beringat.

Abdul Mu’izz Muhammad
10 Mac 2017

*Tulisan ini sama sekali tidak mewakili pendirian rasmi pihak Media Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (Cawangan Asia Tenggara).

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

seventeen − = 16