Taujihat Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang Di Jabal Uhud, Makkatul Mukaramah

TAUJIHAT DATO’ SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG DI JABAL UHUD, MAKKATUL MUKARAMAH

Maksudnya,Ini adalah satu kenyataan, pengumuman daripada Allah kepada seluruh manusia dan petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa.

Berkait dengan peristiwa ini, Tuhan kata jangan kamu berasa hina, jangan kamu sedih, yakni dengan sebab ramainya yang syahid dan luka-luka termasuk Nabi sendiri. Kamu paling tinggi kalau kamu beriman. Jika sekiranya kamu mengalami luka, kecederaan dan kematian dalam Perang Uhud ini, sesungguhnya orang-orang musyrikin telah mengalami korban 70 orang yang sama dalam Perang Badar. Mereka juga mendapat luka.

Allah Ta’ala lakukan yang demikian itu kerana Allah Ta’ala nak pilih di kalangan kamu orang-orang yang syahid, menjadi saksi di hari kiamat dan Allah tidak mengasihi orang-orang yang zalim. Allah lakukan demikian untuk melakukan ‘Tamhiz’, menapis orang-orang yang beriman dan membinasakan orang-orang yang kafir. Adakah kamu mengira kamu boleh masuk syurga dengan percuma? Padahal belum ternyata dalam ilmu Allah, orang yang benar-benar beriman dan orang yang sabar berjuang untuk menegakkan agamaNya.

Ayat ini berkait dengan Uhud, yang sambungannya panjang lagi. Dan Nabi bersabda, “Bukit ini mengasihi kita, dan kami mengasihi dia”, Nabi kata. Nabi telah memilih Uhud menjadi medan peperangan untuk menghadapi tentera musyrikin yang datang menyerang untuk membalas dendam kerana ramainya pemimpin-pemimpin dan keluarga pemimpin yang dibunuh dalam Perang Badar termasuk Abu Jahal dan lain-lain lagi.

Mereka datang dengan penuh rasa dendam. Sebaik sahaja Nabi S.A.W. mendapat berita musuh datang untuk menyerang, Nabi mengadakan mesyuarat untuk menghadapi musuh yang datang menyerang itu. Ada dua cadangan, satu cadangan supaya menunggu musuh datang menyerang Madinah. Nabi bersetuju dengan cadangan ini dan didukung oleh pemimpin munafiq Abdullah Bin Ubai. Hujahnya, bila musuh datang menyerang Madinah, mereka boleh menentang di lorong-lorong rumah. Kaum muslimat dan kanak-kanak boleh membantu melalui jendela-jendela rumah.

Kalangan mereka yang tidak sempat dalam Perang Badar, yang diberi kelebihan oleh Allah Ta’ala merasa rugi kerana mereka tak pergi Perang Badar. Mereka mahu supaya peperangan itu di luar Madinah. “Kita tunggu musuh di luar Madinah. Alasannya, kalau kita menang Alhamdulillah. Kalau kita tewas, kita boleh berundur mengatur strategi untuk melawan lain. Kalau kita lawan di Madinah, kalau menang tak mengapa. Kalau tewas, Madinah ditawan oleh musuh. Majoriti bersetuju supaya ditentang musuh di luar Madinah.

Akhirnya, mereka membuat keputusan untuk datang ke Uhud ini menunggu musuh yang sedang menuju ke arah ini. Abdullah Bin Ubai, pemimpin munafiq mengambil kesempatan untuk memecahkan kumpulan orang Islam yang lemah iman dan yang munafiq. Memang peristiwa ini Allah Ta’ala nak tapis orang beriman dan orang munafiq. Kalangan yang mencadangkan supaya berperang di luar daripada Madinah merasa tersinggung kerana mereka menyanggah pandangan asal yang diberi oleh Nabi SAW, dan mereka jumpa Nabi SAW nak tarik balik cadangan mereka.

Masa itu Nabi sudah memakai baju perang, baju rantai. Nabi berkata, Seseorang rasul bila dia sudah pakai baju perang, dia membuat keputusan, dia tidak berganjak dengan keputusannya. Keputusannya ialah keluar di sini, di Uhud. Dan Abdullah Bin Ubai berjaya menarik 1/3 daripada tentera Islam. Daripada 1000 tinggal 600 lebih, dipecahkan oleh Abdullah Bin Ubai untuk menghadapi 3000 tentera musuh.

Maka Nabi datang ke sini menunggu kedatangan musuh dan mengatur satu strategi perang yang sangat menakjubkan. Bukan menakjubkan kita yang tak tahu, bahkan pakar-pakar ketenteraan. Orang yang bukan Islam pun, menakjubkan mereka Nabi seorang Rasul, dapat mengatur strategi perang yang sangat menarik, di mana Nabi telah meletakkan markaz operasi, tempat para syuhada’, maka operasi di sini. Musuh ada di depan, mereka beroperasi di sini, dan Nabi menugaskan 50 orang pasukan pemanah diketuai oleh Abdullah bin Jubir RA supaya mengawal bukit ini, Bukit Rumah. Tujuannya ialah supaya menyerang musuh ke sini, dan musuh tidak boleh menyerang dari belakang kerana akan dikawal oleh pasukan pemanah ini. Ini satu perkara yang menarik. Menentang musuh depan, dan mereka tak boleh serang ikut belakang kerana di belakang Bukit Uhud ini adalah pertahanan semula jadi, tak boleh dipandang dengan mudah. Di belakangnya ada Jabal Thur, sempadan Tanah Haram. Uhud masuk dalam Tanah Haram. Jadi, Nabi berpesan kepada pengawal, “Jangan tinggal bukit ini, sama ada menang ataupun kalah!”

Maka berlakulah peperangan. Dalam pusingan yang pertama, musuh kalah. Menjadi adat orang-orang jahiliyyah, untuk memberi semangat mereka bawa harta sama-sama dalam peperangan. Mereka bawa wanita, harta. Wanita palu gendang untuk bagi semangat, bawa harta. Bila mereka lari, mereka tinggalkan harta-harta berselerak di padang kawasan ini, tempat pertempuran yang pertama, di sini. Dan tentera Islam mengejar. Rasulullah duduk di sini, di markaz. Bukan semua kejar, sebahagian mengawal di markaz operasi, sebahagian mengejar musuh.

Kemudian mereka yang tinggal di sini sebahagiannya datang untuk memungut harta yang ditinggalkan oleh musuh. Mereka pungut harta yang musuh tinggal ini, menyebabkan mereka yang ada atas bukit merasa rugi kalau tak turun. Lalu ketua mereka Abdullah Bin Jubir R.A. mengatakan, “Nabi dah pesan jangan tinggal, tak boleh!”. “Takpa, musuh dah undur. Musuh dah undur.” Ketua mereka kata “Jangan!”, mereka tak ikut arahan oleh kerana tertarik dengan barang-barang yang ditinggalkan ini, mereka tinggal bukit. Tinggal dua orang, tiga orang sahaja di atas bukit ini.

Di mana pasukan berkuda yang dipimpin Khalid Al-Walid (masa itu dia belum Islam lagi) memerhati dari jauh melihat bahawa bukit ini sudah ditinggalkan lalu melancarkan serangan kilat dengan tentera berkuda yang tak boleh disekat. Dia tawan bukit ini dan terus menyerang markaz dari belakang, maka Nabi dikepung.

Di sini para sahabat menunjukkan bagaimana kesetiaannya sehingga mereka mengelilingi Nabi, menadah belakang mereka untuk dipanah. Sini, kita lihat bagaimana sahabat sayangkan Nabi, sanggup mati. Mereka tadah belakang supaya tak kena Rasulullah. Mereka keliling ramai-ramai termasuk muslimat, perempuan, ialah Ummu Musaibah RA bersama suami dan anak dia, berperang mempertahankan Nabi. Dan Nabi mendapat luka direjam oleh musuh, darah mengalir membasah tubuh. Dan seorang sahabat menjilat darah Nabi dan menelannya. Nabi kata, “Barangsiapa yang darah aku bercampur dengan darah dia tak masuk neraka,” Nabi kata. Ada sahabat ni, mati syahid, dan Hamzah juga syahid ditikam oleh Wahsyi secara curi dan mereka pertahankan Nabi. Kemudian, mereka tak berjaya bunuh Nabi. Kemudian, Nabi menggerakkan tentera berundur ke arah teluk (yang kita nampak teluk di situ). Diundur sedikit-sedikit, diundur ke arah teluk, dan mendaki sedikit menyebabkan musuh tidak boleh menyerang lagi. Tak boleh menyerang, dan mereka tak berani menyerang.

Masa peperangan itu disebar bahawa Nabi sudah wafat, sudah dibunuh. Bila dengar Nabi sudah dibunuh, maka ramai yang lemah semangat. Ada yang mengatakan, “Kalau Rasulullah sudah mati, kita mesti mati dengan Rasulullah! Mati dengan dia!” Maka bertempur habis-habisan. Ada yang mengatakan, “Balik ke Madinah.” Bila balik ke Madinah, kaum muslimat menunggu berita, bertanya “Rasulullah bagaimana?”. Mereka kata, “Rasulullah dah mati.” Lalu muslimat merejam batu lelaki ini. “Kamu mesti mati dengan Rasulullah! Mengapa kamu balik?”.

Mereka balik dan berperang balik ke sini (dan banyaklah secara detailnya), akhirnya mereka berundur di tepi tu dan Abu Sufyan yang mengepalai tentera tanya, “Adakah Muhammad masih hidup?”, Nabi kata “Diam”. “Adakah Abu Bakar masih hidup?”, Nabi kata “Diam”. “Adakah Umar masih hidup?”, Umar kata “Ya, aku masih hidup.” Umar sampuk “Aku masih hidup”. Dan Abu Sufyan kata, “Peperangan berpusing, ada hari kami kalah dan ada hari kami menang. Sekarang kami berjaya membunuh kamu.”

Saidina Umar kata, “Kita tidak sama, orang-orang kami yang mati masuk syurga, orang-orang kamu yang mati masuk neraka”, Saidina Umar kata.

Kemudian, akhirnya tentera musyrikin berundur dan Nabi turun ‘check’ mereka yang syahid, maka 70 orang. Satu riwayat kata 71 orang yang syahid. Termasuk Hamzah, yang dicincang, dipotong hidungnya, dibelah dadanya. Hindun Binti Utbah, yang ayah dia, adik beradik dia mati dalam Perang Badar. Nak balas dendam, nak ambil jantung dia nak telan, tak boleh. Akhirnya, dicincangnya mayat dan Anas Bin An-Nazor, dicincang lumat sehingga tak kenal rupa. Yang kenalnya, ialah adik dia, kenal melalui jari.

Dan di sana ada orang yang Nabi kata dimandi oleh malaikat. Hanzolah, seorang sahabat. Nabi kata Hanzolah ni dimandikan oleh malaikat. “Mengapa malaikat mandikan?”, orang tanya isteri dia. Oleh kerana dia baru kahwin, dia dalam keadaan junub, tak mandi wajib. Dengar seruan jihad, dia keluar dalam keadaan dia tak mandi wajib, malaikat memandikan jenazah dia.

Dan ada yang disebut juga Nabi kata, “Mayat ini masuk syurga. Yang ini masuk neraka!”. Yang masuk syurga ialah seorang Yahudi yang masuk Islam di saat hampir peperangan nak berlaku. Dia wasiat kepada Nabi, kalau dia mati, kebun dia diwakafkan. Saat itu ada orang Yahudi yang masuk Islam dan mati dalam perang ini tak sempat nak sembahyang. Masuk Islam tak sempat sembahyang, masuk syurga. Adapun yang masuk neraka itu ialah seorang yang berasal Madinah. Dia berperang kerana bumi Madinah, bukan kerana Islam, dia tidak Islam. Dia mempertahankan bumi Madinah, maka mati kerana bumi bukan kerana Islamnya, yang ini masuk neraka.

Maka, Nabi memerintah supaya syuhada’ ditanamkan di sini. Para ulama khilaf, adakah jenazah syuhada,(perlu) sembahyang ataupun tidak. Mazhab Syafie, tak sembahyang. Orang mati syahid tak dimandi, ditanam dengan darah dia, dan tak disembahyang jenazah dia. Mazhab lain mengatakan kena sembahyang. Kenapa? Kerana diriwayatkan Nabi datang dan sembahyang. Jadi Syafie kata bukan dia (Nabi) sembahyang, dia doa untuk para syuhada. Oleh kerana itu kita disunatkan ziarah para syuhada.

Dan terbukti setelah beberapa ratus tahun, berlaku banjir di kawasan ini. Tiba-tiba, mayatnya terkeluar di mana walaupun memakan masa ratus tahun, mayatnya tidak hancur. Tak hancur, dan darahnya masih mengalir, macam baru mati. Ini adalah bukti mereka adalah merupakan kalangan yang benar-benar diterima oleh Allah S.W.T. Oleh sebab itu, kita sunat ziarah macam Nabi ziarah. Jadi, itulah beberapa penjelasan berkait dengan Uhud untuk menjadi pengajaran kepada kita.

Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullah.

(Teks: MNA @ [email protected])

– Tulisan ini telah pun disiarkan pada 06 Mac 2015 dan ini meruapakan ulang siar bagi dimanfaatkan oleh para pembaca.

*Tulisan ini sama sekali tidak mewakili pendirian rasmi pihak Media Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (Cawangan Asia Tenggara).

Previous article

Kebebasan Yang Meliarkan

Next article

Feminisme VS Fitrah

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

twenty six + = thirty six