Hukum Memberi Nafkah Dalam Iddah

AL-KAFI #567: HUKUM MEMBERI NAFKAH DALAM IDDAH

Soalan:

Sekarang saya dalam iddah, lafaz cerai di mahkamah. Suami tidak memberi nafkah dalam iddah. Adakah saya halalkan sahaja atau buat tuntutan di mahkamah.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW dan seluruhnya.

Iddah dari sudut bahasa bermaksud pengiraan yang diambil daripada perkataan (adad) yang memberi makna bilangan kerana ia mengandungi tempoh suci ataupun bilangan bulan. Dari sudut istilah fuqaha pula iddah ialah suatu tempoh di mana perempuan menunggu bagi mengetahui kebersihan rahimnya atau bagi pegabdian kepada Allah S.W.T atau kerana rasa dukacita atas suaminya, maka ia adalah penantian itu sendiri. Lihat Wahbah Al-Zuhaili, Al Fiqh Al Islam Wa Adillatuh (7/777-778).

Ianya juga merupakan satu masa yang ditentukan untuk menamatkan apa-apa kesan daripada perkahwinan. Apabila berlaku perpisahan di antara seorang lelaki dengan isterinya maka hubungan perkahwinan antara isteri dengan suaminya tidak akan terputus kesemuanya hanya dengan berlakunya perpisahan, bahkan isterinya wajib menahan dirinya dan tidak mengahwini orang lain sehinggalah tamat tempoh yang telah ditetapkan oleh syarak tadi dan disyariatkan kerana asalnya dalam perceraian adalah talak raj’ie (talak satu dan dua) maka semestinya wujud peluang bagi pihak lelaki untuk rujuk kembali kepada isterinya.

Firman allah dalam surah Al-Baqarah 2:228

وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ ۚ

Maksudnya: Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri, (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid).

Nafkah dari segi bahasa ialah pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Pada syara’ pula makanan, pakaian dan tempat tinggal. Makna pada ‘uruf ahli perundangan islam (fuqaha) dikatakan pada makanan sahaja. Rujuk Al- Durr al-Mukhtar wa Hashiah Ibn ‘Abidin, 11/886).

Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah 2/233.

وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ

Maksudnya: Dan kewajiban bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu dengan cara yang ma’ruf.

 

Hukum Nafkah ‘Iddah

Hukum Nafkah adalah wajib berdasarkan al Quran dan juga Sunnah. Di dalam Al Quran telah dijelaskan mengenai nafkah ‘iddah berdasarkan firman Allah Taala dalam surah al-Talak 65:6

أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنْتُمْ مِنْ وُجْدِكُمْ وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ ۚ

Maksudnya:  Tempatkanlah isteri-isteri yang menjalani ‘iddahnya itu ditempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu, dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka ditempat tinggal itu dan tujuan menyusahkan kedudukan mereka supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu”.

Adakah boleh bagi isteri yang beriddah untuk menghalalkan nafkah yang tidak ditunaikan oleh suami?

Nafkah pada asalnya sesuatu perkara yang diwajibkan ke atas suami terhadap isteri. Akan tetapi jika si isteri menghalalkan nafkah yang wajib diberikan suami ke atas dirinya tidak menjadi masalah. Nafkah itu secara langsung tidak menjadi kewajipan ke atasnya. Jika isteri tidak menghalalkannya maka ianya dikira sebagai hutang menurut jumhur bahawa nafkah yang tidak dijelaskan oleh suami akan dikira sebagai hutang sekiranya suami enggan menunaikannya kepada isteri. Ia tidak akan gugur kecuali dengan pembayaran atau dengan pelupusan sebagaimana hutang-hutang yang lain. Ia juga tidak akan gugur dengan sebab berlalunya tempoh iddah tanpa membuat pembayaran. Dalil jumhur ialah sesungguhnya nafkah adalah gantian, bukan sesuatu pemberian tanpa gantian. Sesungguhnya nafkah itu diwajibkan oleh syara’ dengan berlangsung aqad perkahwinan sebagai balasan daripada kedudukan isteri menjadi hak isteri bagi suami dalam perkahwinan. Apabila nafkah merupakan gantian semata-mata, maka ia adalah sepert hutang-hutang yang lain yang wajib dibayar. Rujuk Wahbah Al-Zuhaili, Al Fiqh Al Islam wa Adillatuh (7/1004).

Kesimpulannya, nafkah pada asalnya adalah kewajiban suami keatas isteri dalam tempoh iddahnya. Tetapi jika isteri menghalalkannya maka ianya dikira langsai akan tetapi jika suami yang enggan membayar nafkah tersebut maka isteri boleh menuntut haknya di mahkamah. Walau bagaimanapun, pihak kami menasihatkan pihak puan merujuk bidang kuasa mahkamah syariah dan pejabat agama yang berhampiran untuk maklumat lanjut.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

forty − thirty four =