Penyakit Popularisme Berjangkit Dalam Gerakan Islam

SELF-CENTRIC DALAM ZAMAN MILENIUM SIRI 13: PENYAKIT POPULARISME BERJANGKIT DALAM GERAKAN ISLAM

Populisme boleh difahami dengan dua sudut iaitu politik dan ghairah terhadap populariti. Kedua-dua sudut itu hampir sama dari sudut mendapatkan kepercayaan dan populariti bagi meraih undi yang tinggi.

Pengamal politik populisme akan bertemu dengan kelompok lain terutamanya kelompok yang mempunyai prospektif undi yang tinggi bagi mendapatkan sokongan melalui konsensus politik. Golongan populis akan membuat tawar menawar yang digelar bilateral atau ‘win-win situation. Perjanjian ini tampak baik dari sudut meraih sokongan tetapi perjanjian ini merupakan penyakit golongan Populis yang akan melepaskan prinsip dan dasar perjuangan.

Di zaman Millenium ini, penyakit Populisme ini telah berjangkit dalam gerakan Islam. Perjuangan Islam jadi gadaian untuk mendapat sokongan orang ramai. Konsep negara Islam dan perjuangan Syariat Islam menjadi tawar-menawar dengan kelompok Sekular dan Liberal bagi meraih sokongan dan membentuk pakatan. Mereka berhujah bahawa Populis ini mereka tiada pilihan dalam negara demokrasi melainkan menerima Sekular dan Liberalisme, serta menolak perjuangan Islam.
Lalu, mereka memilih ‘demokrat’ dan membuang perkataan ‘Islam’ dalam perjuangan dan parti mereka.

Gerakan Islam seumpama ini berpenyakit Populis yang tiada bezanya dengan Sekularis dan Liberalis yang lain. Walaupun, kalimat mereka masih menggunakan kalimat Islam seperti keterbukaan Islam dan Maqasid Syariah, mereka sebenarnya adalah golongan Sekular dan Liberal. Mereka hanya mengubah nama mereka kepada ‘Muslim Demokrat’ tetapi sebenarnya mereka adalah penganut Sekular dan Liberal yang tegar.

Mereka ini sebagaimana disebut dalam Surah al-Nur:

وَإِذَا دُعُوا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ إِذَا فَرِيقٌ مِنْهُمْ مُعْرِضُونَ
وَإِنْ يَكُنْ لَهُمُ الْحَقُّ يَأْتُوا إِلَيْهِ مُذْعِنِينَ
أَفِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ أَمِ ارْتَابُوا أَمْ يَخَافُونَ أَنْ يَحِيفَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ وَرَسُولُهُ ۚ بَلْ أُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
(QS al-Nur 24: 48-50)

Maksudnya:
Dan apabila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya, agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka, tiba-tiba sebagian dari mereka menolak untuk datang. Tetapi jika keputusan itu untuk (kemaslahatan) mereka, mereka datang kepada rasul dengan patuh. Apakah (ketidak datangan mereka itu karena) dalam hati mereka ada penyakit, atau (karena) mereka ragu-ragu ataukah (karena) takut kalau-kalau Allah dan rasul-Nya berlaku dzalim kepada mereka? Sebenarnya, mereka itulah orang-orang yang dzalim.

Mereka mempunyai penyakit hati yang tidak berkeyakinan terhadap Islam dan Syariat Islam. Mereka hanya menerima perjuangan Islam apabila mempunyai kepentingan atau kemaslahatan kepada diri mereka sahaja. Oleh itu, ayat di atas sangat jelas menempelak mereka yang menggunakan nama perjuangan Islam sedangkan mereka mengutamakan kepentingan politik sahaja bukan kepentingan Islam dan politik Islam.

Penyakit ini juga hampir sama dengan sekumpulan anak gerakan Islam yang ghairah terhadap populariti diri sehingga gerakan Islam menjadi mangsa. Tanpa mandat dari gerakan Islam, mereka memulakan anisiatif sendiri bagi bermuafakat dengan golongan Sekular dan Liberal. Lalu terjadilah perjanjian terlarang di belakang tabir yang mengakibatkan gerakan Islam bakal tersepit dan terpedaya dengan permainan licik musuh yang menawarkan janji manis dan habuan lumayab.

Golongan Populis dalam gerakan Islam merasionalkan tindakan mereka atas dasar strategi dan taktikal politik. Mereka berhujah bahawa politik dipenuhi dengan penipuan dan helah. Malah, politik tidak harus dilihat lurus tetapi dipenuhi dengan pelbagai jenis sisi gelap yang bakal merosakkan imej gerakan Islam. Sebenarnya, politik mereka adalah politik Populis yang menggadaikan prinsip Islam. Politik mereka juga adalah politik khianat yang mengkhianati kemurnian Islam semata-mata keuntungan peribadi atau keuntung kelompok.

Politik Populis dalam gerakan Islam telah meletakkan imej gerakan Islam dalam keadaan bahaya. Kegairahan populariti politik menjadikan mereka seakan-akan dua wajah iaitu politik Islam di sebelah muka kanan dan politik Sekular di sebelah muka kiri. Maka terjadilah politik talam dua muka dan lidah bercabang mempertahankan maruah diri.

Golongan sebegini dapat dikenali dengan sikap mereka yang sangat terumbang ambing apabila tersepit antara kemurnian Islam dan laba politik. Mereka juga dapat dikenali dengan kesukaan mereka terhadap budaya popular. Mereka akan bersama-sama dengan tokoh popular dan artis ternama untuk mendapat perhatian dari orang ramai. Mereka juga tidak segan untuk muncul dalam program-program popular termasuklah program realiti.

Mereka sangat ghairah terhadap populariti a.k.a. ‘hubbu shuhroh’ yang membinasakan diri dan gerakan Islam. Penyakit ini sangat memberi kesan terhadap mereka agar menonjol diri apabila diberi sokongan. Akhirnya, penyakit ini memusnahkan diri sehingga menunjukkan sikap bongkak dan Narsisistik (keakuan). Malah, mereka juga bakal merosakkan gerakan Islam gara-gara keghairahan terhadap populariti dan sokongan orang ramai.

Dr. Muhammad Atiullah bin Othman

*Tulisan ini sama sekali tidak mewakili pendirian rasmi pihak Media Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (Cawangan Asia Tenggara).

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

− six = 1