Seputar Khabar Himpunan Saudara Islam Di Indonesia

Sejak semalam lagi, Masjid Istiqlal, Jakarta sudah dibanjiri ratusan ribu umat Islam dari pelbagai pelosok negara Indonesia, dan dijangka bakal menghimpunkan lagi jutaan rakyat Indonesia pada hari ini.

Ini merupakan himpunan bagi melangsungkan usaha terus-menerus membantah kezaliman rejim Ahok yang semakin bertubi-tubi menghina hak serta sensitiviti umat Islam di Indonesia, sekaligus himpunan ini bertujuan mendesak pihak pemerintah Indonesia untuk mengambil tindakan berat terhadap Ahok.

Kebiadaban Ahok yang terbaru adalah menghina serta mengancam kedudukan Kiyai Haji Maaruf Amin selaku Ketua Majelis Ulama Indonesia (MUI) sekaligus mengguris hati masyarakat umat Islam di Indonesia.

Kiyai Haji Maaruf Amin merupakan di antara sosok tubuh yang dihormati warga Nahdhatul Ulamak (NU) dan rakyat Indonesia amnya. Tokoh ini merupakan seorang ulamak yang banyak bertungkus-lumus membanteras penyelewengan pihak pemerintah Indonesia, bersama para ulamak Indonesia yang lain seperti Habib Muhammad Rizieq sebagai Ketua Front Pembela Islam (FPI), Kiyai Haji Bachtiar Nasir sebagai Ketua Gerakan Nasional Pengawal Fatwa-Majelis Ulama Indonesia (GNPF-MUI) serta beberapa tokoh yang lain.

Himpunan yang berlangsung di Masjid Istiqlal ini turut dimulakan dengan Solat Subuh Berjemaah pada awal subuh pagi tadi, juga disuburkan lagi dengan Tausiyah Nasional yang disampaikan oleh beberapa tokoh ulamak terkemuka Indonesia seperti Kiyai Haji Ariffin Ilham dan tokoh-tokoh ulamak yang lain.

Himpunan ini juga akan diakhiri pada esok hari, yang mana akan diakhiri juga dengan Majlis Zikir dan Majlis Khatam Al-Quran yang terbesar dalam sejarah negara Indonesia.

Catatan oleh:

Mohamad Zulkifli
11 Februari 2017
Jakarta, Indonesia

*catatan di atas sama sekali tidak mewakili pendirian rasmi pihak Media Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (Cawangan Asia Tenggara).

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

two + = twelve