Adakah Selain Dari Daging Babi Itu Halal?

IRSYAD AL-FATWA KE-166: ADAKAH SELAIN DARI DAGING BABI ITU HALAL?

Kami mukadimahkan dengan firman Allah SWT

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنْزِيرِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya)…”
(Surah al-Ma’idah: 3)

Al-Qur’an hanya menyebut lafaz lahm al-khinzir yang bererti daging babi. Justeru, timbul salahfaham dalam kalangan masyarakat samada benarkah hanya dagingnya sahaja yang diharamkan? Jika demikian, selain daging adalah halal?

Menurut Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, daging babi diharamkan kerana tabiat yang sihat memandangnya sebagai kotor dan pasti tidak menyukainya. Ini kerana, babi ini menggemari benda-benda yang kotor, jijik dan najis. Ilmu kedoktoran moden menetapkan bahawa memakan daging babi itu sangat berbahaya sekali khususnya di kawasan yang beriklim panas. Sebagaimana yang dibuktikan oleh penyelidikan ilmiah bahawa daging babi itu menyebabkan lahirnya cacing kerawit yang sangat berbahaya dan ulat-ulat yang dapat membinasakan.

Barangkali, dalam masa terdekat ini ilmu sains moden akan mendedahkan lebih banyak lagi rahsia pengharaman babi ini.[1] Ada sesetengah penyelidik berpendapat bahawa membiasa diri selalu memakan daging babi akan menarik perasaan cemburu terhadap hal yang terlarang.[2]

Walaupun sebahagian ulama’ seperti Daud al-Zahiri berpendapat yang haram adalah hanya daging babi dan bukan selain daripada daging, pendapat tersebut adalah lemah dan bertentangan dengan jumhur ulama’ (Lihat al-Nukat wa al-‘Uyun oleh al-Imam al-Mawardi, 2/10)

Berkenaan dengan persoalan di atas, ayat ini walaupun dengan maksud daging babi, tetapi ia mewakili keseluruhan babi. Ia termasuk dalam bab itlaq al-juz’i wa iradah al-kulli (Disebut sejuzuk tetapi dikehendaki keseluruhannya) sebagaimana firman Allah SWT:

وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ

Maksudnya: Dan ruku’lah bersama orang yang ruku’.
(Surah al-Baqarah: 43)

Dengan maksud, hendaklah kamu melaksanakan ibadah solat.

Begitu juga disebut dengan daging babi kerana itu yang kebiasaannya banyak digunakan untuk makan tetapi tidak menafikan pengharaman kepada bahagian yang lain seperti tulang, lemak dan lain-lain.

Kami mendapati pandangan al-‘Allamah Ibn Kathir dalam kitabnya Tafsir al-Qur’an al-‘Azim antara lain menyebut, yang jelas perkataan daging itu mencakupi semua bahagian mengikut Bahasa Arab dan kebiasaannya. Benarlah sabda Nabi SAW mafhumnya

مَنْ لَعِبَ بالنردَشير فَكَأَنَّمَا صَبَغَ يَدَهُ فِي لَحْمِ الْخِنْزِيرِ وَدَمِهِ

Maksudnya: “Siapa yang bermain dengan dadu, maka seolah dia mencelup tangannya pada daging babi dan darahnya.
(Riwayat Muslim, no. 2260)

Justeru, hadis di atas menunjukkan keumuman perkataan daging yang mencakupi seluruh organ tubuh termasuk lemak dan lainnya. Benarlah sabda Nabi SAW,

إن اللَّهَ حَرَّمَ بَيْعَ الْخَمْرِ وَالْمَيْتَةِ وَالْخِنْزِيرِ وَالْأَصْنَامِ”. فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَرَأَيْتَ شُحُومَ الْمَيْتَةِ، فَإِنَّهَا تُطْلَى بِهَا السُّفُنُ، وَتُدْهَنُ بِهَا الْجُلُودُ، ويَسْتَصبِحُ بِهَا النَّاسُ؟ فَقَالَ: “لَا هُوَ حَرَامٌ”


Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengharamkan jualbeli arak, bangkai, babi dan juga patung. Maka ditanya: ‘Ya Rasulullah, apa pendapatmu tentang lemak bangkai? Sesungguhnya ia digunakan untuk mengecat kapal, meminyaki kulit dan digunakan oleh orang ramai sebagai lampu penerang. Maka jawab Baginda SAW: ‘Tidak, bahkan ia adalah haram.”
(Sahih al-Bukhari, no. 2236)

Dalam Safwat al-Tafasir menyatakan: Disebut daging babi untuk menunjukkan bahawa ia haram dengan ‘ain dan zatnya walaupun disembelih dengan cara syar’ie. (Safwat al-Tafsir 1/301)

Daripada jawapan di atas, jelas menunjukkan kepada kita, daging babi dan keseluruhan babi  sebagaimana yang disebutkan dalam kitab feqah mazhab Syafie seperti Hasyiah al-Baijuri 1/196, adalah keseluruhannya haram. Semoga Allah memberi kefahaman yang baik kepada kita berkenaan dengan agama, Amin.

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
______________________________________

[1] Pada tahun 2009, munculnya virus H1N1 yang berpunca daripada babi. Begitu juga sebelum ini berlaku viru JE (Japanese Encehphalitis). Ia telah meragut banyak nyawa.

[2] Dr. Zakir Abdul Karim Naik dalam 20 Soalan Paling Lazim Tentang Islam berkata: Antara sebab pengharaman daging babi adalah: “Memakan daging babi akan menyebabkan tidak kurang daripada 70 jenis penyakit. Antaranya adalah:

  1. Helminthes seperti cacing bulat, cacing peniti, cacing kerawit dan lain-lain.
  2. Taenia Solium iaitu cacing pita. Tersimpan dalam usus dan sangat panjang.
  3. Trichura Tichurasis. Tanggapan salah tentang daging babi adaah jika ianya dimasak dengan betul, ovum-ovum akan mati. Dalam satu kajian yang dijalankan di Amerika, didapati 24 orang yang menghidap Trichura Tichurasis, 22 orang daripadanya memasak daging babi dengan betul.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

sixty eight − 58 =