Anak Yatim Terseksa Akibat Krisis Ekonomi

Oleh: Asmaa Yusof

Ratusan anak yatim Yaman terpaksa berhadapan krisis kekurangan dana kerajaan susulan tindakan pemberontak menawan ibu negara tersebut sejak 2014, lapor Abdullah al-Hindi, pengetua rumah anak yatim Dar Ri’ayat al-Aytam Yaman melalui agensi berita Al Jazeera bertarikh 5 Januari.

Memetik sumber sama, Dar Ri’ayat al-Aytam, rumah anak yatim terbesar yang terletak di Sanaa kini semakin terdesak.

Al-Hindi berkata, peperangan yang memasuki tempoh hampir dua tahun itu melemahkan ekonomi, dan perbelanjaan awam negara.

Mengulas lebih lanjut kesan kemerosotan ekonomi tersebut, Abdullah menambah rumah anak yatim kini makin terancam dan berkemungkinan akan ditutup.

“Rumah anak yatim kini mendapat ancaman penutupan kecuali terdapat penyelesaian segera serta perhatian serius dari pihak Keselamatan Kerajaan Negara.

“Jika krisis kekurangan dana berterusan, rumah anak yatim tersebut akan ditutup dan sebahagian kanak-kanak Yaman akan kehilangan tempat tinggal,” kata al-Hindi.

Al Jazeera dalam satu laporannya bertarikh 13 Disember lalu telah mengeluarkan statistik hasil kajian dikeluarkan UNICEF dengan menyatakan purata seorang kanak-kanak mati setiap 10 minit berpunca dari masalah kekurangan zat makanan, cirit-birit dan jangkitan pernafasan.

Selain itu, lebih 2.2 juta kanak-kanak memerlukan rawatan segera, dan sekurang-kurangnya 462,000 orang mengalami masalah kekurangan zat makanan yang teruk.

Guru di penempatan anak yatim, Rajeh al-Aqabi menambah, keadaan semakin meruncing setiap hari.

Jelas beliau lagi, jika tindakan segera tidak diambil, negara akan berhadapan situasi buruk yang berterusan.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

three + seven =